Ucapan pengerusi bahas membuka tirai 3P
yang diadakan sempena Bulan Bahasa 1996 di auditorium Perpustakaan Bandar
Baru Cendekia. Setelah surah itu selesai
dilafaz oleh hadirin, perbahasan terus dimulakan. Agak berat mauduk bahas pagi ini. Namun, seberat-berat mauduk tidaklah
seberat hati hadirin meninggalkan bangku walau seminit untuk ke tandas. Hakikatnya, semua yang hadir tidak mahu
ketinggalan mengikuti setiap butir perbahasan. Pencadang, yakni Kelompok Rohaniah,
diwakili oleh Ustaz Sharel, Doktor Taufik dan Profesor Mavrik. Pembangkang pula, yakni Kelompok Sekular,
diwakili oleh Cikgu Husin, Doktor Eric dan Profesor Surin. Masing-masing kelihatan kemas dengan jas
hitam, kemeja putih dan lengkap berdasi. Sudah lama perbahasan ini dinantikan
penduduk Kota Maddia yang saban hari kian keliru melihat keruntuhan tamadun
mereka. Pagi ini mereka berasa bertuah
kerana apa yang diidamkan selama ini nampaknya bakal menjadi nyata. Mereka amat berharap agar 3P dapat
menghuraikan kebuntuan dalam mengatasi masalah sosial mereka. Ustaz Sharel berdehem beberapa kali
sebelum memulakan perbahasan yang dihadiri oleh lebih 500 penonton. "Assalamualaikum para hadirin
budiman. Sebelum membentangkan
hujah-hujah saya, biarlah saya huraikan dulu maksud mauduk yang akan kita
bahaskan iaitu Drama dan filem hiburan
perlu dibasmi demi membina masyarakat berhemah tinggi. "Pertama, saya akan jelaskan
takrif 'drama'. Perkataan 'drama'
berasal dari bahasa Yunani kuno yang bererti 'lakukan' atau 'buat'. Drama pada dasarnya adalah penceritaan
kisah hidup manusia yang disajikan kepada masyarakat sebagai hiburan. Lazimnya perkataan 'drama' digunakan untuk
persembahan lakonan di atas pentas. "Filem yang dimaksudkan dalam
mauduk bahas pula ialah wayang atau lakonan yang dibuat di luar pentas khusus
untuk hiburan penonton. Ia melibatkan
penggambaran melalui kamera dan disajikan melalui media elektronik seperti
projektor, video, televisyen dan sebagainya. "Masyarakat berhemah tinggi
bermakna masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dan menjauhi perbuatan
maksiat seperti judi, rasuah, pelacuran, zina dan sebagainya. Lantas, apakah kaitan antara drama, filem hiburan
dan masyarakat berhemah? "Dalam kajian kami, kebanyakan
drama dan filem hiburan, sama ada yang dihasilkan oleh penerbit tempatan atau
luar negara, lebih cenderung membawa keburukan kepada masyarakat. Justru, kami berpendapat, drama dan filem
hiburan perlu dibasmi demi membina masyarakat berhemah tinggi. "Drama
telah wujud sebelum kelahiran Nabi Isa a.s. dan bertakat atau survive
hingga ke hari ini. Menurut kajian
ahli sejarah, banyak tamadun kuno seperti India, Cina, Jepun, Afrika dan
Dayak Amerika tidak asing kepada drama yang dianggap sebagai hiburan. Namun, satu hakikat menarik ialah tamadun
Arab silam tidak pernah memiliki drama pentas walau dalam zaman
kegemilangannya. Dengan lain perkataan, drama tidak pernah menjadi sebahagian
budaya masyarakat Arab silam. Sedarkah
hadirin tentang hakikat ini? "Saya akan jelaskan mengapa drama
tidak pernah diminati masyarakat Arab silam.
Ada hujah mengatakan kaum Arab tidak tahu menikmati drama kerana
bangsa tersebut sering berperang lalu tiada masa untuk menghargai seni. Tetapi kita tahu bahawa orang Arab zaman
dulu telah maju di bidang kesusasteraan. Bahkan pada zaman Nabi Muhammad saw
para penyair dan penulis seperti Zaid bin Thabit amat dikagumi dan dihormati. Jelasnya, ada faktor lain yang menyebabkan
drama tidak pernah popular di kalangan masyarakat Arab silam!" Ustaz Sharel begitu bersemangat
menceritakan secara ringkas sejarah drama.
Kegelisahannya sebelum berucap terus hilang apabila dia dapati hadirin
tampak terpaku mendengar penjelasannya. "Bangsa Arab yang berpuak-puak
mula bersatu sebagai bangsa yang bertamadun tinggi setelah kedatangan Nabi
Muhammad s.a.w. Rasulullah diutuskan
untuk meningkat kan tamadun manusia sejagat selain menghapuskan kejahilan bangsa
Arab. Ajaran junjungan kita diamalkan
oleh pengikutnya dengan penuh kesedaran.
"Masyarakat Arab yang terpesona
dengan keindahan bahasa Quran, sentiasa menjadikan al-Quran panduan hidup
mereka. Faktor ini yang menyebabkan
drama tidak disanjungi masyarakat Arab pada waktu itu. Mereka punya konsep dan perspektif
tersendiri tentang seni dan tidak pernah mengangkat drama sebagai budaya
penting. "Maka tidak hairanlah seni drama
yang lazimnya penuh kepuraan dan kebatilan tidak dianggap perlu oleh
masyarakat Arab silam. Lantaran itu,
drama tidak pernah diiktiraf sebagai seni Islam. Krinnnggg! "Kita harus melihat drama dan
filem hiburan daripada perspektif yang betul.
Sebagai masyarakat beragama Islam, perlukah kita menghidupkan drama
dan filem hiburan? Soalan ini telah
sering saya kemukakan kepada umum.
Lazimnya masyarakat mengatakan bahawa kita tidak harus berfikiran
sempit. Drama haruslah dianggap
sekadar hiburan atau escapism. "Saya akui bahawa Islam tidak
menghalang hiburan, tetapi ada batas-batas yang tidak boleh dilanggar. Apa yang setiap hari disodorkan kepada
masyarakat kita hari ini adalah drama dan filem hiburan yang tidak membina
pemikiran masyarakat, malah menghancurkan.
"Cuba teliti judul filem berikut: Permpuan, Isteri dan…, Nafsu Perawan,
Nikmat Cinta Terlarang. Judulnya
saja sudah cukup memberi gambaran tentang ceritanya. Semuanya membawa tema erotis yang boleh
melalaikan penonton. Filem begini
laris di pasaran hingga penerbit filem berlumba-lumba menghasilkan filem
demikian. Kesannya boleh menjejas
pemikiran masyarakat hingga bertindak tidak senonoh. Sudahnya mereka menjadi masyarakat
permisif." Krinnnggg! Loceng telah dua kali dibunyikan. Ustaz Sharel terpaksa berhenti setakat itu
walau banyak lagi yang ingin dikatakannya.
Beberapa hadis dan maksud firman Allah belum sempat dibentangkan untuk
menguatkan hujahnya. Kini, giliran Cikgu Husin membangkang
cadangan Ustaz Sharel. "Hadirin, apa yang dikatakan Ustaz
Sharel mungkin sebahagiannya benar.
Misalnya, tentang asal-usul drama.
Tetapi usahlah keliru dengan dakwaan beliau. Adakah hadirin percaya segala kata-kata
ustaz sedangkan kita maklum, sewaktu beliau mengajar di sebuah maktab rendah
dulu, beliau juga pernah menghasilkan skrip drama sebelum mendapat gelaran
ustaz! "Mungkin ustaz begitu lantang
menentang drama sebab impiannya untuk menjadi Shakespeare atau P. Ramlee
tidak kesampaian! Atau mungkin ustaz
cemburu melihat kejayaan sasterawan negara yang lebih dihormati dan
disanjungi masyarakat? "Yang nyata, ustaz tidak pernah hidup
di zaman Nabi. Bagaimana ustaz begitu
yakin bahawa kaum Arab silam tidak memiliki drama? Catatan sejarah selalu boleh
diputarbelit. Mungkin karya-karya
agung Shakespeare adalah terjemahan manuskrip Arab yang telah dicuri dari
arkib kesusasteraan tamadun Arab!?
Bukankah bangsa Arab tersohor dengan karya estetik seperti Seribu Satu Malam, Ali Baba, Pelayaran Sinbad dan lain-lain yang berupa khayalan? "Tidak pernahkah cerita-cerita itu
dilakonkan orang Arab? Seseorang ibu yang
menyampaikan cerita dongeng kepada anak kecilnya pun tidak lepas daripada
melakonkan watak-watak dalam sesatu cerita.
Misalnya dari raut muka, intonasi suara, pergerakan tangan dan
sebagainya. Adakah hukum berlakon
seperti itu salah? Beranikah ustaz
Sharel mengeluarkan fatwa mengatakan berlakon itu haram, sedangkan dalam
Quran, setahu saya tidak ada ayat yang mengharamkan lakonan! "Usahlah melihat lakonan dari
sudut negatif. Sebenarnya banyak
pengajaran yang boleh kita ambil daripada menonton drama dan filem
hiburan. Melalui drama dan filem,
masyarakat boleh diajak berfikir tentang kehidupan. Contohnya, bagaimana untuk menyelesaikan
sesuatu masalah, bagaimana untuk hidup rukun, bagaimana untuk mencapai
kejayaan dan sebagainya. "Lazimnya cerita yang digarap
menyampaikan utusan bahawa kebaikan akan mengatasi kejahataan. Inilah falsafah yang cuba diterapkan ke
dalam pemikiran masyarakat. Usahlah
ustaz hebohkan keburukan drama sedangkan ustaz gagal memahami utusan yang
disampaikan. "Mengapa ustaz tidak luangkan masa
menonton drama bermutu seperti Anak
Nazar Tujuh Keramat atau menonton filem-filem kisah nabi seperti The Ten Commandments, The Message dan sebagainya. Filem perjuangan seperti Malcolm X juga banyak memberi
pengajaran dan menimbulkan keinsafan.
Begitu juga Forrest Gump
yang mengajar kita agar menghadapi hidup dengan tenang dan tidak berputus
asa. "Saya rasa tidak munasabah
membasmi drama dan filem hanya kerana terdapat segelintir drama picisan. Saya sendiri meluat menonton filem yang digarap
secara semberono. Pokoknya, saya
bersikap selektif. Saya hanya menonton
drama dan filem bermutu. Saya percaya
kebanyakan penonton juga begitu." Krinnnggg! Cikgu Husin tersenyum puas mendapat
tepukan gemuruh daripada penyokongnya.
Kini giliran Doktor Taufik mengemukakan hujahnya. "Terima kasih Cikgu Husin kerana
membuat saya terfikir tentang kemungkinan Shakespeare menciplak karya-karya
penulis Arab. Ini satu hipotesis yang
boleh dikaji. Tapi, saya lebih
berminat menarik perhatian hadirin kepada sebuah laporan majalah Inggeris, Perspective, yang diedarkan di
seluruh dunia. "Menurut satu rencana edisi
Januari 1996, masyarakat Islam sedang menuju kehancuran walau terdapat
anggapan bahawa Islam sedang bangkit.
Saya tukil bahagian akhir rencana tersebut. Untuk tidak memutarbelitkan fakta dan
meyakinkan cikgu Husin, saya bacakan tulisan John Russell dalam bahasa
aslinya: "Evidently, the people of Maddia City are becoming more liberal. Cohabitation has become a norm among the
society. According to official
figures, the number of AIDS patients in Maddia City is among the biggest in
the world. The crime rate in Maddia
City surpasses all the big cities in Southeast Asia. In short, Maddia City is experiencing a
spiritual drought. Apparently, the
teachings of Islam, the official faith of the society, are gradually being
forgotten." "Apakah implikasi laporan
tersebut? Bagi saya, pertama,
masyarakat kita sedang sakit tenat di mata bangsa asing. Kedua, ajaran Islam sebagai benteng
kemungkaran, kini kian dipandang remeh.
Misalnya, sebahagian anggota masyarakat kita tidak lagi memandang
berat soal halal/haram sesuatu perkara. "Ketiga, masyarakat kita kurang
kritis atau lebih cenderung bersikap pasif dan apathetic. Keempat, kita
ketandusan ulama berwibawa seperti Allahyarham Abdullah Yusuf Ali,
penterjemah al-Quran yang mahir pelbagai bahasa. Kesannya, pandangan ulama kurang dihormati
hingga penyakit sosial semakin sukar diubati.
Namun, kita masih belum terlambat.
Kemarau rohaniah yang sedang melanda masyarakat akan segera berakhir
jika kita beriltizam memperbaiki keadaan.
"Oleh itu, kami cadangkan agar
masyarakat mengubah tanggapan mereka terhadap drama dan filem hiburan yang
kebanyakannya menyuburkan budaya hedonis.
Tentu hadirin masih ingat betapa masyarakat kita gempar pada suatu
masa apabila beberapa pelakon filem ditangkap pihak berkuasa kerana melacur. "Kes ini bagaimanapun tidak
memeranjatkan bagi saya, kerana dalam sejarah awal drama Inggeris misalnya,
pelakon wanita kebanyakannya terdiri dari pelacur dan perempuan
simpanan. Kajilah biografi Aphra Behn,
antara pelakon wanita dan penulis skrip drama yang moralnya sering
dipersoalkan. "Yang nyata, drama dan filem
hiburan gagal menyemai sifat zuhud dalam anggota masyarakat." Krinnnggg! Kini giliran Doktor Eric menyanggah
pendapat Doktor Taufik. "Pertama, saya mohon maaf jika
pandangan saya mungkin menyinggung emosi hadirin yang beragama Islam. Sebagai seorang atheis, saya akui saya
kurang arif tentang hukum berlakon dari pandangan Islam. Selama ini saya sangka Islam membenarkan
lakonan kerana saya dapati masyarakat Melayu begitu mengagungkan seniman P.
Ramlee. Selain itu, saya juga dapati
ada pemimpin masyarakat Melayu yang menggalakkan seni lakon di kalangan
masyarakat Melayu/Islam. "Setelah memikirkan hujah Ustaz
Sharel dan Doktor Taufik, saya dapati isu ini semakin komplex kerana
melibatkan perspektif yang berbeza.
Saya melihat isu ini dari sudut sekular semata-mata manakala pencadang
melihatnya dari sudut spiritual. "Tetapi, saya tetap tidak setuju
jika drama dan filem hiburan dianggap sebagai punca keruntuhan akhlak. Filem hiburan boleh menyampaikan mesej
murni secara efektif seperti yang disentuh oleh cikgu Husin tadi. Lakonan juga perlu untuk mengiklankan sesuatu
produk. "Jika lakonan dibasmi, apa akan
terjadi kepada mereka yang berlakon sepenuh masa untuk menyara hidup? Bagaimana dengan nasib industri perfileman
yang menyediakan banyak ruang pekerjaan?
"Untuk membina masyarakat berhemah
tinggi, yang perlu dibasmi bukan drama dan filem hiburan, tetapi sikap
mementingkan diri sendiri! Inilah yang
harus diberi perhatian. "Tanpa menonton drama atau
melibatkan diri dalam dunia lakonan sekalipun, seseorang akan rosak akhlaknya
jika bersikap mementingkan diri sendiri.
Misalnya, mereka yang menganggotai kongsi gelap dan terlibat dalam
jenayah. Orang-orang seperti ini
lazimnya tidak berminat terhadap teater dan tidak tahu menghargai seni. Baikkah akhlak mereka? "Ironinya, kita dapati ada orang
yang memperalatkan agama untuk memenuhi kepentingan sendiri. Contohnya, orang 'alim' yang mengembangkan
nikah mutaah dan ustaz palsu yang menyebarkan ajaran sesat. Hadirin juga tentu masih ingat kisah tragis
pemimpin spiritual, David Koresh di
Amerika dan Shoko Asahara di Jepun yang menimbulkan huru-hara kepada
masyarakat. "Saya
percaya baik atau buruknya akhlak seseorang bergantung kepada hatinya, bukan
agamanya. Oleh itu, pada hemat saya,
drama dan filem hiburan tidak perlu dibasmi.
Apa yang seharusnya kita buat ialah menghasilkan karya-karya bermutu
agar dapat merangsang pemikiran masyarakat. Krinnnggg! Penyokong Kelompok Sekular memberi
tepukan gemuruh kepada Doktor Eric.
Penyokong Kelompok Rohaniah pula hanya dapat menahan geram. Kini, giliran Profesor Mavrik menggulung
hujah bagi pihak pencadang. "Apabila menyebut filem, ada 3
jenis filem yang tergambar di benak saya.
Pertama filem aksi seperti James Bond yang selalu ditayangkan di
pawagam. Kedua, filem dokumentari
seperti National Geographic yang
sering ditayangkan di televisyen. Ketiga, filem kartun seperti Mickey Mouse dan Donald Duck yang digemari pelbagai lapisan masyarakat. "Filem yang perlu dibasmi tentulah
filem hiburan yang banyak melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan
wanita. Saya tidak menentang filem
bercorak dokumentari atau kartun selagi isinya tidak bercanggah dengan
nilai-nilai Islam. "Saya setuju dengan Dr Eric bahawa
drama 'bukan punca keruntuhan akhlak'.
Tetapi, itu dilihat dari sudut pandangan bukan Islam. Saya juga setuju dengan Cikgu Husin bahawa
filem seperti Malcolm X dan Forrest Gump boleh membentuk pemikiran
positif. Tetapi dalam filem yang sama,
ada diselitkan adegan berzina.
Bukankah itu contoh jelas bahawa lakonan boleh mencemarkan
keperibadian pelakon? "Jika bangsa Arab yang suatu
ketika dulu begitu jahil boleh menjadi bangsa agung tanpa mengangkat drama
dalam budaya mereka, mengapa bangsa Melayu dan umat Islam amnya masih
berkiblatkan Hollywood yang sentiasa cuba merosakkan pemikiran orang Islam
melalui pelbagai cara? "Sedarkah hadirin bahawa orang
Kristian sendiri pernah menutup pentas drama dalam tahun 1642 hingga
1660. Kajilah sejarah drama Inggeris. "Banyak filem hiburan yang
ditayangkan di pawagam-pawagam hari ini diimport dari Amerika. Kaum apakah yang memonopoli industri
perfileman di sana? Fikrah masyarakat
Islam telah terjajah sejak Barat mengeksport budaya hedonis melalui filem ke
serata dunia pada awal kurun ini. "Yang menyedihkan, masyarakat Arab
moden juga tidak terlepas dari pengaruh budaya drama. Misalnya, dalam laporan akhbar Utusan Tenggara 20 Jun 1996,
'Akhir-akhir ini ramai penerbit dan pelakon Mesir didakwa di mahkamah kerana
memaparkan adegan sex atau dedah aurat bagi menarik penonton.' "Lantaran itu, masyarakat Islam
mesti jelaskan kepada bukan Islam bahawa kita memiliki budaya tersendiri yang
berteraskan Islam. Pergaulan bebas
antara lelaki dan wanita dalam drama dan filem hanya meninggalkan kesan
negatif kepada mereka yang cuba menghayati ajaran Islam. Krinnnggg! "Seperkara lagi, usah terpedaya
dengan dakwaan sesetengah pengeluar filem bahawa mereka menghasilkan filem
untuk membina masyarakat. Saya tukil
pengakuan pelakon Tamil terkenal, Jaishanker, yang dimuatkan dalam majalah Movieland, edisi Oktober 1992. 'Cinema is only a show business and the
people in it are there only to earn money!' "Ingatlah maksud firman Allah
dalam surah Asy Syu'araa, 'Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang
yang sesat. Tidakkah kamu melihat
bahawa mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawa mereka suka
mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan.' "Penulis dan penyair harus sedar
tanggungjawab mereka dan usah terlalu ghairah berdrama. "Hadirin, oleh kerana masa tidak
mengizinkan, saya terpaksa pendekkan bicara saya. Apapun hujah pembangkang, kami berpegang
teguh kepada pendirian bahawa drama dan filem hiburan perlu dibasmi demi
membina masyarakat berhemah tinggi." Profesor Surin tidak sabar menanti
giliran untuk berucap. Sebaik saja
Profesor Mavrik duduk, beliau terus berdiri dan menghentak meja dengan buku
limanya. Semua hadirin terperanjat
melihat gelagatnya. "Hadirin sekalian, usahlah
terpengaruh dengan sikap fanatik Profesor Mavrik. Kita perlu membasmi faham fanatik dan
belajar mengikuti perkembangan zaman. "Drama dan filem hiburan mesti
diteruskan jika kita mahu bergerak ke depan!
Profesor Mavrik seharusnya melihat drama dan filem dari sudut
positif. Bukankah drama dan filem
boleh dijadikan media untuk berdakwah?
Kita boleh menyeru penulis Melayu/Islam menghasilkan filem bermutu
seperti The Message dan Malcolm X. "Saya berani pertahankan pendirian
saya bahawa lakonan dibenarkan oleh Islam jika niat utama penulis skrip ialah
untuk membina pemikiran masyarakat dan bukan untuk mengaut keuntungan
kebendaan sahaja. Jika kata-kata saya
ini salah, saya rela terima padahnya." Tiba-tiba, seluruh auditorium
bergegar. Semua lampu terpadam. Suara Profesor Surin hilang
serta-merta. Kesunyian yang mengerikan
menyelubungi auditorium buat beberapa saat sebelum hadirin mula
tertanya-tanya apa yang terjadi. Apabila lampu bernyala semula, para
hadirin terkejut besar. Ada yang
pengsan dan ada yang menjerit histeria.
Profesor Surin tercegat kaku seperti patung. Muka dan seluruh tubuhnya rentung. Seperti disambar halilintar… ˜ TAMAT ™ |
|
˜ BAHAS ™ 1996 Berita Harian, 23 Ogos 1996 (ms 10) Berita Harian, 30 Ogos 1996 (ms 5) |