ENGAHARI itu, lebih kurang sebulan yang lalu, seperti biasa aku makan di Pusat Makanan Hill Street bersama bekas rakan sekolahku, Hamid, yang kini bekerja sebagai seorang jurubahasa di sebuah mahkamah.  Pada hari itu, banyak perkara kami bincangkan selepas makan.

       Perbualan kami berkisar pada kisah lama waktu di bangku sekolah hingga menyentuh isu semasa dan pergolakan di Bosnia-Herzegovina.

       Sedang kami berbual tentang kezaliman puak Serb dan kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menangani krisis di Bosnia, tiba-tiba pager Hamid berbunyi.  Terhentilah perbualan kami seketika.

       Setelah melihat nombor yang tertera dalam pagernya, Hamid bersuara, "666, hantu mana pulak yang kacau aku ni?  Tak ada kerja lain, membazirkan bateri aku saja."

       Aku seronok melihat Hamid mengomel.  Lantas tergerak hati ini untuk mengusiknya.

       "Relax Mid, senang saja mengatasi masalah kau tu, serahkan saja persoalan ni kepada aku.  Pasti beres."

       "Macam mana caranya?"  Hamid bertanya spontan.

       Mendengar pertanyaan Hamid, aku tahu umpanku hampir mengena.  Dari nada suaranya, aku pasti Hamid sedang serius.  "Ini masalah kecil, cara menyelesaikannya mudah.  Jual saja pager kau tu atau hadiahkan saja kepada aku.  Habis cerita," jawabku selamba.

       Menyedari dirinya terkena, serta-merta Hamid menyemburkan kata-kata yang tak dapat aku tuliskan di sini.

       Bila keadaan tenang semula, aku melontarkan pertanyaan.  "Mid, berapa harga pager kau tu?  Nampaknya model terbaru."

       "Hello brader, kau dah ketinggalan bahasa, benda ni bukan pager, tapi kelui.  Kalau kau nak tahu, kelui ni aku beli dengan harga dua ratus ringgit.  Amacam, canggih tak?"

       "Canggih juga, cuma bahasa kau yang kurang canggih," aku cuba memulangkan paku buah keras. "Betulkah harganya dua ratus ringgit, bukan dua ratus dolar?"

       Aku sangka Hamid akan tersipu-sipu sebab tersilap menyebut ringgit sedangkan aku pasti yang dimaksudkannya ialah dolar.  Sangkaanku meleset.

       "Betul, harganya dua ratus ringgit.  Masa aku beli, aku bayar tunai dengan wang Brunei," jawab Hamid sambil mengeluarkan sekeping wang kertas Brunei dari dompetnya.

Perkataan ringgit jelas tercetak pada not yang dipegangnya.

       Melihat gelagatnya, aku terus ketawa.  Hamid pula tersenyum lebar.  Ternyata Hamid memang pandai berjenaka pintar.

       "Mid, siapa yang cipta perkataan kelui tu dan dari mana timbul perkataan tu?" aku bertanya penuh ghairah.

       "Entah, aku pun tak pasti.  Yang aku tahu perkataan tu dah digunakan oleh media massa, aku pun gunakan sajalah," jawab Hamid ringkas.

       Aku kurang puas hati dengan jawapan Hamid.  Sikap pasif Hamid menggunakan kata kelui seolah-olah mencerminkan sikap sebahagian masyarakat kita yang kurang kritis dalam menerima sesuatu idea baru.

       Aku bukanlah anti-pembaruan, cuma aku tak mahu orang kita bersikap pasif; hanya tahu menjadi pak turut.  Jika sikap pak turut dipandang ringan, akan buruk padahnya.

       Oleh kerana bersikap pasif dan kurang bersikap kritis, sebahagian masyarakat kita mudah terpengaruh dengan budaya tidak sihat.  Malah, ada yang mudah dipengaruhi ajaran sesat.

       Aku kecewa setiap kali timbul berita negatif tentang bangsa Melayu.

       Dalam benakku tergambar kisah ustaz berkahwin sepuluh, gerakan Al-Arqam yang didapati menyeleweng, skim cepat kaya yang menyebabkan banyak orang kita papa, hingga ke masalah artis melacur dan remaja bohsia di negara jiran.

       Apa nak jadi kepada bangsaku?  Di manakah silapnya hingga kita masih dibelenggu pelbagai kepincangan sosial?  Dari masa ke masa ada saja berita negatif melibatkan orang Melayu.

       Kisah orang Islam ditangkap berkhalwat kerap dijadikan berita sensasi.  Yang menyedihkan lagi, belia kita masih banyak menjadi penagih dadah.  Kadar perceraian pasangan Melayu juga dilaporkan tinggi.  Selain itu, ada remaja kita menganggotai kumpulan kongsi gelap.  Jika dibiarkan terus, gelaplah masa depan mereka.

       Aku pernah berbincang dengan beberapa pemimpin masyarakat mengenai masalah orang kita.  Jawapan yang mereka berikan untuk mengatasi masalah sosial kita kelihatan mudah.

       "Pupuklah semangat cintakan ilmu dan rajin berusaha dalam setiap anak bangsa.  Insya-Allah terhurai sebarang masalah.

       "Jika seseorang diberi didikan sempurna, sama ada didikan duniawi atau ukhrawi, secara logik dia akan berfikir masak-masak sebelum mengambil sesuatu tindakan.  Dia tidak akan mudah melakukan jenayah atau melanggar batas susila kerana sedar natijah yang bakal dihadapinya.

       "Masyarakat Melayu mesti sentiasa digalakkan untuk lebih rajin membaca kerana minat membaca itu kunci ilmu.  Orang kita harus terus didedahkan kepada bahan bacaan bermutu dan yang membawa nilai-nilai murni.

       "Jika ini semua dapat dilaksanakan, bangsa kita akan lebih mudah menyahut seruan untuk bangkit menjadi masyarakat maju."

       "Hoi!  Apa yang kau menungkan tu?  Teringat mata airkah?"  Hamid menyergah.

       Baru aku perasan fikiranku telah melayang jauh.  Belum sempat aku jawab soalannya, tiba-tiba Hamid menampar pipiku.

       Aku sangka Hamid ingin menyedarkanku dari lamunan; rupa-rupanya seekor nyamuk telah hinggap di pipiku.  Sebaik saja ia terkena tapak tangan Hamid, sang nyamuk terus remuk dan jatuh ke lantai.  Aku tergaru-garu pipiku yang mula gatal.

       "Apa saja kau ni.  Nyamuk cudut pipi kau pun kau tak sedar," kata Hamid.

       "Nyamuk cudut?  Tak pernah aku dengar orang cakap macam tu," aku bertanya kehairanan.

       "Kau nak aku cakap nyamuk gigit?" jawab Hamid pantas.        

       "Merepeklah kau Mid.  Kan nyamuk gigit.  Mat Saleh pun cakap mosquito bites."

       "Setahu aku, nyamuk tak menggigit.  Ia cuma mencu-cuk dan se-dut darah kita.  Jadi, dari perkataan cu-cuk dan se-dut, aku sebutlah nyamuk cu-dut, bukan gigit," Hamid berhujah.

       Berderailah ketawa kami hingga pelanggan lain yang berada di meja bersebelahan memandang ke arah kami.  Tanpa menghiraukan pandangan mereka, aku meneruskan perbualan.

       "Mid, logik juga cakap kau tu.  Sejak bila kau dapat idea cipta perkataan cudut tu?"

       "Sejak aku baca buku The Guiness Book of Words.  Dalam buku tu, bermacam maklumat aku dapat tentang bahasa dan asal usul kata.  Setelah membacanya, aku dapati sesiapa saja boleh mencipta sebarang istilah.  Yang penting ialah penerimaan masyarakat.

       "Kita boleh ibaratkan mencipta perkataan sebagai membuat kuih untuk dijual.  Kalau kita ingin menjualnya kepada orang ramai, kita mesti pastikan kuih yang kita usahakan itu menarik bentuknya serta enak," jelas Hamid.

       "Aku faham maksud kau Mid.  Tapi kau tak boleh jual kuih sebarangan tanpa lesen.  Tindakan kau boleh membahayakan kesihatan pembeli."

       "Itu aku tahu.  Soalnya sekarang, pembeli bebas membuat pilihan.  Penjaja memang tidak boleh memaksa pembeli.  Tentang lesen yang kau katakan, sebenarnya ada dua jenis.

       "Lesen pertama boleh diibaratkan sebagai ijazah yang dimiliki seseorang penjaja.  Ia boleh diterjemahkan sebagai credentials penjaja.

       "Kedua, poetic licence iaitu kebebasan mengembangkan kreativiti dalam berkarya.

       "Penjaja yang bertanggungjawab seharusnya bijak menggunakan kedua-dua lesen yang ada pada mereka dan tidak menyalahgunakannya."

       "Jadi, apa rancangan kau nak popularkan perkataan cudut tu?"

       Hamid menggaru dagunya seperti seorang pendita sedang berfikir.

       "Senang saja, aku akan gunakan perkataan tu dengan rakan-rakan dan keluarga  aku sepertimana aku menggunakannya dengan kau. Kalau mereka suka, biarlah mereka saja mempopularkannya.  Kalau mereka tak suka, tak jadi masalah."

       "Mid, aku setuju.  Secara tak langsung kau dah sumbangkan sesuatu kepada masyarakat dengan perkataan ciptaan kau tu.  Kalaulah kau pelakon popular, tentu peminatmu akan menyokongmu seratus peratus."

       "Itulah yang sedang aku fikirkan.  Ada pendapat mengatakan orang lebih suka tumpukan perhatian kepada siapa yang berkata dan bukan apa yang diperkatakan.

       "Sekalipun sesuatu idea itu baik, jika ia diilhamkan oleh seseorang yang tak terkenal, lazimnya ia sukar untuk diterima umum.  Begitulah sebaliknya."

       "Betul tu Mid, tapi itu kan dah adat.  Kalau kau rasa kau mampu lakukan pembaharuan, lakukanlah dengan jujur dan sungguh-sungguh. Insya-Allah, kau akan berjaya."

       Aku merenung wajah Hamid dan teringat kenakalannya waktu di sekolah.  Hamid telah banyak berubah sejak meninggalkan bangku sekolah.

       Menurut Hamid, pengalamannya menjalani Perkhidmatan Negara telah mendewasakannya dari segi pergaulan dan cara berfikir.

       Misalnya, Hamid berjaya menghentikan tabiat merokoknya setelah sedar merokok hanya membazirkan wang dan membahayakan kesihatannya.  Dulu dia merokok kerana dipengaruhi rakan-rakannya.  Kini dia pula menasihatkan rakan-rakannya supaya membuang tabiat bodoh itu.

       Hamid juga lebih bijak mengisi masa terluang.  Kini dia lebih suka bersukan pada hujung minggu daripada melepak bersama rakannya di kolong blok atau menghabiskan masa di disko.

       "Hoi! apa lagi yang kau menungkan?" Hamid menyergah.  "Dah pukul dua ni.  Jom belah."

       Pager Hamid berbunyi lagi waktu kami beredar dari pusat makanan tersebut untuk kembali ke pejabat masing-masing.  Sekali lagi nombor 666 muncul dalam alat itu.  Aku tergelak apabila melihat air muka Hamid.

 

˜ TAMAT

 

Kata 'kelui' berasal dari dialek Kedah, bererti memanggil.

 

 

 

 

˜ DIALOG DENGAN HAMID 1994

 

Berita Harian, 23 Ogos 1995 (ms 7)

Berita Harian, 30 Ogos 1995 (ms 7)