Hey,
terlanjur sebut nama serangga itu, ingin aku kemukakan beberapa
kemusykilan. Tapi, pertama-tama aku
minta kerjasama anda. Harap baca kisah
ini dengan ikhlas lagi perlahan. Di mana ada koma, berehat sejenak. Di mana ada noktah, berhenti sebentar. Di mana ada sengkang, tanda seru, tanda
tanya dan lain-lain tanda, buatlah apa-apa yang patut lagi perlu. Pokoknya,
baca dengan tertib dan perlahan.
Seolah menghadapi ujian lisan.
Atau seolah memandu kenderaan dengan kelajuan 50km/j. Nak tahu kenapa? Sebab, kalau baca macam ribut, nanti minda
berserabut. Tak percaya, cubalah. Sebenarnya,
kisah yang akan kuceritakan ini, sekadar berkisar pada isi warkah Exana. Jadi, jangan harap ada konflik atau suspen
serta kesedaran moral dan kejutan seperti yang sering terdapat dalam cerpen
penulis berpengalaman. Selain itu,
kalau coretan ini kurang nilai estetika, janganlah dijadikan peluru untuk
tembak aku. Sebab aku belum beli baju
kalis peluru. Untuk
makluman anda, aku baru belajar menulis.
Masih bertaraf penulis tunas.
Idea pun kurang bernas. Jadi,
berilah aku baja sokongan dan siramilah aku air galakan dan usah pula sembur
racun kutukan yang boleh menyukarkan penafasanku. Apapun, sebelum aku terus menceceh, aku
rasa ada baiknya aku bercakap fasal rama-rama dan kupu-kupu terlebih
dulu. Sebab banyak orang yang aku
interviu, tidak terkecuali guru-guru dan pakar bahasa Melayu, masih keliru
dan tak tahu membezakan rama-rama dari kupu-kupu. Dah bermacam kamus aku seymak. Menurut Kamus
Kawan, yang sering didewakan oleh sekelompok pecinsa, 'kupu-kupu'
ialah 'sejenis serangga yang kepaknya berwarna-warni
dan tergolong dalam spesis Lepidoptera'.
'Rama-rama' pula ialah 'sejenis
serangga yang bersayap lebar dan menarik (beraneka rona), kupu-kupu' Apa pula takrif kupu-kupu dan rama-rama
dalam kamus lain? Menurut Malay-English Dictionary oleh C.
Erudit, 'kupu-kupu' ialah 'butterfly;
kupu-kupu malam, prostitute.' Dalam kamus yang sama, 'rama-rama' juga
ditakrifkan sebagai 'butterfly'.
(Tapi, dalam bahasa Melayu, 'rama-rama
malam' belum boleh diterima sebagai istilah untuk pelacur sekalipun kupu-kupu
seiras dengan rama-rama). Untuk
pengetahuan anda, itu saja takrif yang diberi dalam kamus ini. Amat kontot jika dibandingkan dengan
penjelasan Kamus Kawan. Bagaimana pula takrif serangga itu
dalam Modern Indonesian Dictionary
oleh Dr Shazax? Alamak! Kamus ini pun serupa takrifnya. 'Rama-rama is butterfly'. 'Kupu-kupu' pun 'butterfly'. Langsung tak
ada keterangan lain. Dilihat secara
kasar, antara ketiga-tiga kamus, hanya Kamus
Kawan memberi takrif yang diskriptiv.
Inilah kelebihan Kamus Kawan
hingga popular di kalangan pecinsa. Namun pada hematku, penjelasan Kamus Kawan mengenai rama-rama dan
kupu-kupu, jauh dari memuaskan. Apakah
rama-rama dan kupu-kupu tiada beza?
Adakah ia dua jenis serangga yang serupa tapi tak sama? Inilah kekeliruan dan kemusykilan yang aku
nak bincangkan. Aku tahu, pasti ada perbezaan antara
rama-rama dan kupu-kupu. Dalam bahasa
Inggeris ada butterfly dan moth.
Dalam bahasa Melayu ada rama-rama dan kupu-kupu. Atau cakap mudah, rerama dan kekupu. Soalnya, apakah rerama itu butterfly
yang sayapnya berwarna terang seperti pelangi? Atau moth
yang sayapnya selalunya berwarna kelabu dan kusam? Jika rerama
ialah butterfly, kekupu seharusnya ialah moth.
Begitulah sebaliknya. Bagaimanapun, banyak orang kata kekupu bukan moth. Contohnya lagu
'Kupu-kupu' oleh Kembara (Seniman
Jalanan, 1984). Antara liriknya: Bayangkan kau saekor kupu-kupu/ sedang berterbangan/
dalam sebuah taman/ Kau tak tahu akan nasibmu/ kau hanya terbang/ mencari
madumu.../...warna sayapku mungkin gemerlap/ indah mata memandang bila ku
terbang/ tapi hanya masa akan menentukan/ bila kudijadikan perhiasan
dinding...
Dari lirik ini, jelas bahawa kupu-kupu
yang dimaksudkan M. Nasir ialah butterfly,
bukan moth. Kerana lazimnya, butterfly (bukan moth) yang
selalu orang tangkap dan bingkaikan buat hiasan. Selain
M. Nasir, penyair T. Alias Taib juga ada bercerita tentang kupu-kupu dalam
puisinya 'Seιkor Kupu-kupu'. Lihat
petikan berikut: di dalam bingkai kayu/ sebuah cermin jernih/di dalam cermin
jernih/ seιkor kupu-kupu/ keras dan kaku/ keras dan kaku/ ditusuki peniti-peniti. Aku yakin, kekupu yang 'ditusuki peniti' dalam puisi yang terkenal kerana
aliterasi 'keras dan kaku' ini ialah butterfly. Tapi sesetengah orang pula berpendapat sebaliknya. Hingga soalan ini masih tergantung. Sepatutnya, takrif kupu-kupu atau 'kekupu' ialah 'sejenis serangga
bersayap mancarona yang selalu didapati di taman dan selalu dijadikan hiasan
dinding; yakni butterfly'. Manakala 'rerama' ialah 'sejenis serangga serupa kekupu tapi bersayap kusam (selalunya coklat atau kelabu) yang
boleh ditemui dalam rumah terutama waktu malam, iaitu moth'. Penjelasan di atas, pada hemat aku,
lebih tepat dari takrif yang diberi oleh Kamus
Kawan dan kamus-kamus yang aku sebutkan tadi. Oh
ya, ada sedikit lagi keraguan yang perlu dihuraikan segera. Sila lihat takrif perkataan 'gegat' dalam
mana-mana kamus yang anda miliki. Kamus Sinonim Inggeris-Melayu, English Malay Synonyms oleh Abdullah
Hassan dan Ainon Mohd, mencatatkan 'rama-rama; kupu-kupu' untuk menjelaskan
perkataan butterfly. Bagi perkataan moth pula, ia mencatatkan 'kupu-kupu; gegat' tapi tiada perkataan
'rama-rama'. Jadi, 'gegat' itu moth?
Atau serangga lain? Menurut Kamus Kawan, 'gegat' ialah 'sejenis serangga yang bertakat dengan
memakan kain, kertas, dan lain-lain; ubat gegat ialah kapur barus yang
digunakan untuk menghalau gegat.'
Adakah 'gegat' itu moth? Sebab kapur barus ialah mothball? Untuk menyelesaikan perkara 'remeh' tapi
penting ini, aku sarankan anda terima saja saranan aku. Yakni kita boikot Kamus Kawan sebab penjelasan dan takrif yang diberinya kerap kali
kurang tepat dan mengelirukan. Ini
baru bab 'rerama', 'kekupu' dan 'gegat'. Belum masuk bab 'kelui' dan 'keloi' atau
'xilofon' dan 'xilem' yang dulu dieja 'zailofon' dan 'zailem'. Belum sebut bab 'gusar' yang membuat banyak
orang berang dan marah. Untuk dapatkan kepastian, marilah kita
rujuk Kamus Paling Lengkap oleh Drs
Vaxelia (Sarjana Linguistik). Hah! Inilah
kamus Melayu paling terkini dan paling tepat, sesuai dengan namanya dan
diiktiraf sedunia. Antara ciri-ciri
menariknya ialah ia dilengkapi dengan gambar-gambar yang relevan. Penjelasannya ringkas dan disertakan dengan
takrif bahasa Inggeris. Kamus Kawan yang amat popular di
kalangan pecinsa, seratus kali
lebih rendah mutunya berbanding Kamus
Paling Lengkap Drs Vaxelia. Menurut Vaxelia, kekupu ialah butterfly. Rerama
ialah moth. Apa pula takrif 'gegat' dalam kamus
Vaxelia? Tidak lain
ialah silverfish! Adakah silverfish
serupa dengan moth? Bezanya seperti nyamuk dan
labah-labah! Satu boleh terbang
manakala yang satu lagi cuma boleh merayap.
Silverfish hanya boleh
merayap dan tak ada sayap. Ia juga tak
boleh berenang walaupun namanya 'ikan
perak' ikut slang budak sekarang, manakala moth boleh terbang.
Ringkasnya, kekupu, rerama dan gegat atau ikan perak adalah tiga jenis mahluk
yang berbeza. Dalam
kulit kacang
kekupu ialah butterfly manakala rerama
ialah moth. Gegat pula ialah silverfish dan tak ada kena mengena dengan moth. Tidak ada keraguan
lagi. Dalam soal semantik, hitam mesti
hitam. Putih mesti putih. Nuansa kelabu hanya buat kepala
berjerebu. Okay, tamat sudah bab rerama, kekupu dan ikan perak.
Sebelum aku bercerita lanjut tentang warkah Exana, sila lihat penjelasan
perkataan-perkataan yang mungkin memeningkan kepala anda sejak tadi: seymak ialah
ejaan baku menggantikan 'semak' (periksa) mengikut Sistem Ejaan Melayu Raya
2027 (SEMR 2027). pecinsa ialah
pencinta bahasa, sinonim Inggerisnya logophile. Mula dipakai sejak 1995 oleh Shafique
Slamat, seorang pengkritik yang amat skeptikal tentang banyak perkara,
terutama seni lakon. diskriptiv ialah
penuh penerangan; ejaan baku menggantikan 'deskriptif' mengikut SEMR 2027. Mula dipakai oleh seorang penulis kreativ
pada 1997 dalam sebuah cerpennya, tapi kurang popular ketika itu kerana
masyarakat Melayu tiga dekad lalu amat geli dan paranoid terhadap huruf V dan
X. bertakat ialah
terus bernyawa atau dalam bahasa kunonya bertahan;
istilah Inggerisnya to survive. Mula dipakai sejak 31 tahun lalu oleh
penulis Shasel yang kontrovesyel dalam eseinya Kawal nafsu...
Dalam kulit kacang ialah idioma
Inggeris yang dimelayukan iaitu in a nutshell yang bermaksud,
kesimpulannya atau ringkasnya. Mula
diperkenalkan oleh penulis tunas bernama Amirov pada
April 2027. Eh, tahun inilah tu. Oh ya, siapa Amirov? Siapa lagi kalau bukan aku... ha ha ha. Baiklah, jokes aside, seperti yang aku janjikan, inilah isi surat Exana
untuk tatapan anda. Disiarkan dengan
izin beliau: From: Exana
Abdullah To: Amirov
Lerax Subject: Poster
Date: 10 April 2027
Brader
Amirov, Kabare? Tengah bizi ke? Ada perkara
penting Exa nak sampaikan. Exa sengaja
emel dan tak call sebab nak kasi brader surprise. Brader ingat lagi tak cadangan yang brader
emel kat Exa minggu lepas? Hari ini
dengan sukacita Exa umumkan yang visi brader telah jadi nyata. Mulanya Exa geli hati campur skeptikal
baca cadangan brader agar setiap masjid di negara kita pasang poster besar di
dinding masjid untuk menakutkan pengemis.
Tapi Exa buat juga apa yang brader sarankan. Untuk makluman brader, setelah Exa siapkan
poster yang brader cadangkan tu, Exa pun sedekahkan kepada beberapa buah
masjid. Alhamdulillah, di luar jangkaan, jauh
sekali dinantikan, Masjid Malcolm X dan Masjid Prince Shav telah menyampaikan
terima kasih mereka secara bertulis kepada Exa. sebenarnya
braderlah yang harus mendapat kredit, bukan Exa. Kata ketua LPM Malcolm X, sejak poster tu
ditampal kat masjid, pengemis musiman yang muncul setiap Jumaat, mula
'menghilangkan diri secara otomatik'. Pihak LPM Prince Shav pula akui yang
poster idea brader tu 'amat efektiv' hingga pihak LPM tiada lagi 'masalah
dengan pengemis asing'. Tahniah
brader! Kata seorang jemaah, "pengemis takut
kena keroyok, cepat-cepat mereka cabut." Hey, mana brader cedok slogan 'Bekerjalah
Kamu Sebelum Kamu Dikerjakan'? Ni
mesti dari slogan sembahyanglah kamu... kan? Brader, Exa tiba-tiba dapat idea taim
tengah tulis surat ni. Nampaknya Exa
kena pendekkan cerita. Macam ni, tiap-tiap hari Exa pergi masjid
Moulana dekat Boat Quay untuk solat zohor, Exa tengok bersepah kasut para
jemaah di sekitar pintu masuk masjid.
Rak-rak kasut banyak disediakan tapi banyak jemaah malas nak
gunakan. So, Exa ada idea baik. Exa nak siapkan satu lagi poster besar
untuk masjid Moulana dan masjid-masjid senasib dengannya seperti Masjid
al-Falah di pusat bandar. Exa nak
tulis slogan berikut: Attention congregation: Allah loves beauty, not
mess. Please place your footwear on
the racks provided. Thank you for your
cooperation. Amacam?
idea Exa best tak?
Tapi, kalau lepas tampal poster ni masih tak ada perubahan, Exa nak
gesa pihak LPM kenakan denda. Letaklah
$20 bagi setiap kasut atau selipar yang ditaruh sembarangan, berapa banyak
kita dapat kumpulkan dana masjid! Ok brader, Exa nak desain poster tu
sekarang juga. Nanti dah siap Exa fax
kat brader. Eh, lupa pulak nak
bilang. Hari Sabtu depan
Exa akan bawa murid tuisyen Exa berexkersyen ke Taman Rama-rama di
Sentosa. Brader nak ikut? Luv,
Exana
ps: rama-rama
butterfly ke kupu-kupu butterfly? TAMAT |
|
EXANA 1997 Berita Minggu, 12 Okt 1997 (ms 6) |