HERE, the battle raged like hell.  And every dove had lost its will to fly... Lirik lagu  Castle Walls ciptaan Dennis De Young beralun-alun di gendang udzun Fahqis Taslam.  Anggota polis berpangkat sarjan itu semakin risau mengenangkan cuma tinggal seminggu dia dapat berada di sisi keluarganya sebelum memulakan tugas di Basra.

      Pemergian Fahqis ke Iraq yang sedang bergolak bukan kerana rela menyabung nyawa demi mempertahankan watan.  Dia pergi semata-mata kerana terpaksa menggantikan tempat seorang rakan kerjanya yang tidak lulus ujian kesihatan untuk bertugas di sana.  Memandangkan tiada orang lain yang layak, kata ketuanya, Fahqis akur dengan arahan untuk menjadi pengganti walau sebenarnya dia keberatan memikul tugas bahaya itu. 

      Fahqis akan berada di Iraq selama enam bulan untuk melatih pegawai  polis Iraq menjalankan tugas menjaga keamanan di sana. Kemampuannya berbahasa Arab walau minima, tetap menjadi aset hingga diarahkan menjadi jurubahasa tidak rasmi untuk pasukan polis yang bakal ke sana. Sebelum di'panah' menjadi jurubahasa tidak rasmi ke Basra, Fahqis kerap juga menjadi sumber rujukan rakan sekerjanya sebelum ini apabila mereka mempunyai apa-apa kemusykilan tentang laporan-laporan yang menggunakan bahasa Arab.  Kini Fahqis berpeluang menajamkan kemahirannya berbahasa Arab dengan 'percuma' walau diiringi risiko tinggi menemui malaikat maut di sana nanti.

      Kepiluan yang membengkak di kalbu Fahqis menjelang hari-hari terakhir sebelum berangkat, tidak dapat disembunyikannya lagi.  Isteri serta bayinya yang baru berusia tujuh bulan terpaksa ditinggalkannya buat tempoh yang tidak pasti.  Fahqis cuba menggagahkan diri dengan mengingati perkara-perkara positif.  Kerap kali dia mensaiki diri bahawa 'mungkin ada rahmat di sebalik segala yang terjadi'.        Namun, raut wajahnya tidak seceria dulu.  Kesugulannya tidak dapat disimpan-simpan.  Ia sukar dilenyapkan sekalipun Fahqis disajikan lauk sotong sambal tumis atau ketam masak lemak kegemarannya.

      Seberat-berat hati Fahqis meninggalkan isterinya, berat lagi hati isterinya merelakan pemergian suaminya.  Pernah isterinya bertanya: "Kenapalah bila ada kursus sambil makan angin di Eropah, bos abang hantar orang lain, bila ada tugas lebih bahaya di Timur Tengah, abang pulak kena arrow."

      Sukar bagi Fahqis meyakinkan isterinya seratus peratus bahawa dalam hal ini ketuanya tidak memilih kasih. Kerana, dia sendiri tidak pasti sama ada di'aniaya' atau tidak.  Setahu Fahqis, ada beberapa pegawai lain yang ghairah ingin ke sana, tapi tak pula diberi peluang.

      "Mungkin ada rahmat di sebalik pemergian abang. Ma jagalah anak kita baik-baik dan doakan keselamatan abang di sana."

      Isterinya hanya mengangguk hiba lantaran tiada pilihan lain selain berserah pada takdir.

      Pejam celik, sudah lebih lima bulan Fahqis di Basra. Telah ratusan kematian dan pengeboman disaksikannya sepanjang tempoh itu yang melibatkan rakyat Iraq dan askar-askar Bush serta askar-askar sekutunya.  Namun yang dilaporkan di akhbar hanya segelintir.

      Kebuasan dan kebiadaban askar-askar penceroboh semasa menjalankan tugas jarang mendapat soroton media.  Kerakusan askar-askar yang menggeledah rumah penduduk yang disyaki melindungi pengganas, langka sekali didedahkan kepada umum.

      Betapa terhina dan sedih Fahqis rasakan mendengar keluhan rakyat tempatan.  Yang saban hari mengadu kepadanya tentang ketidakadilan yang dialami oleh mereka dan saudara-mara mereka.  Tidak hairanlah, semakin ramai yang bangkit setiap hari menentang askar-askar penjajah.

      Bayangkan, rumah-rumah rakyat biasa diceroboh sewenang-wenangnya oleh askar-askar yang langsung tidak menghormati adab orang Islam.  Sudahlah datang tak diundang, tanpa membuka but yang bersalut debu dan lumpur, askar-askar ini menendang pintu, memijak-mijak permaidani tuan rumah dan mengotori lantai dan dinding di bilik-bilik solat.

      Malah, ada yang mencampak, meludah dan mengoyak-ngoyakkan kitab-kitab suci semasa membongkar almari buku tuan rumah; memperlekeh protokol perang yang menetapkan bahawa simbol-simbol keagamaan mesti dihormati dalam apa jua keadaan.  Kes askar-askar yang mencabul kehormatan dan memperkosa penduduk tempatan kerap tertimbus di bawah laporan pengeboman diri yang dilakukan pihak tertindas.

      Fahqis tidak sabar ingin pulang dan menceritakan segala pengalaman ini.  Membara hatinya ingin mendedahkan keburukan yang dilakukan beberapa askar yang hilang kewarasan lantaran bosan berada terlalu lama di rantauan.  Banyak juga askar-askar penceroboh yang membunuh diri dan membunuh teman seperjuangan akibat tekanan yang tak tertanggung.

      Yang dihantar pulang ke tanahair akibat menjadi saiko makin tinggi angkanya.  Sakit mental yang dialami askar-askar ini sukar dirawat walau mereka diberi cuti rehat yang panjang.  Sumber-sumber dalaman melaporkan bilangan askar-askar yang AWOL kerana tidak sanggup meneruskan tugas di Iraq selepas tamat cuti rehat kian meningkat.  Dan ramai pula yang meringkuk di penjara setelah pulang ke pangkuan keluarga kerana trauma perang mendorong mereka bertindak ganas terhadap ahli keluarga mereka sendiri.

      Kesan dan kesia-siaan perang adalah persoalan yang sentiasa lekat di hati Fahqis.  Secara prinsip, dia menyokong doktrin anti-perang Jehovah's Witnesses yang diasaskan di Amerika oleh Charles Taze Rusell pada akhir kurun ke 19.  Pada masa yang sama dia tetap akur bahawa Quran menghalalkan perang yang bersifat membela diri.

      Begitupun, demi ingin mengelakkan diri dari dikerah menjadi askar dalam NS, Fahqis sanggup memohon jawatan polis dan melupakan cita-cita menjadi seorang guru.  Tapi, apa yang cuba dihindarinya sekian lama, tidak dapat lagi dijauhi bila keadaan dan waktu menghantarnya ke kancah perang.

      Namun, di tanah Basra yang sering merah dironai darah askar penakluk dan pejuang tempatan, penyair dalam diri Fahqis terbangkit hingga tercetus sajak Hanyir:

Yuda mencipta sungei petaka

Nadinya darah merah manusia

Juga hewan tak berdosa

Sejak bahari ke detik ini

Jagat dipimpin kepinding hanyir

Yang mabuk kuasa dan kaki dusta

Jelata yang lugu tak bisa bangkang

Kecuali mentaati perintah pak turut

Yang giat mencanang tarian maut

Senjata pemusnah yang diheboh

Hakikinya dimiliki pihak penceroboh

Yang terpalit: seekor cencorot gurun 

Lahan yang sarat emas hitam

Jadi rebutan neokolonialis rakus

Yang kalbunya sezulmat collapsar

Mungkin ini ketentuan Illahi

Lemah kan terus dikuasai

Gagah kan tetap menggagahi

Seorang pemetia di pinggir astaka

Bertinta ayer mata tak terseka

Hanya terdaya menyesali

Yuda bukan leraian saksama

Yang binasa rakyat biasa

Sedang kepinding semakin hanyir!

F Taslam

Basra, Iraq

Sep 2003

      Titisan demi titisan airmata Rahima membasahi helai-helai kertas yang dibeleknya.  Cereka yang tercakar di atas kertas fulskap yang dibacanya tadi kelihatan belum sempat ditamatkan suaminya, yang seminggu lagi akan berangkat ke Baitullah untuk melakukan umrah tanpa ditemaninya.

      Di atas sofa, suaminya sedang hanyut di alam mimpi dengan fonkepala tersumbat di udzunnya.  Keratan-keratan akhbar dan majalah tentang perang menentang pengganasan -- yang menjadi rujukan suaminya -- bertaburan di lantai.  Dipungutnya satu persatu.  Matanya kemudian tertumpu pada sleeve album klasik kumpulan Styx bertajuk The Grand Illusion. 

      Lantas dia susuri lirik-lirik di dalamnya.  Sebak yang sukar digambarkan menghimpit-himpit jantungnya kala membaca lirik Man in the Wilderness oleh Tommy Shaw. "I'm a lonely soldier off to war, sent away to die -- never quite knowing why..." 

˜ ˜ ˜

      "Cerpen The Grand Illusion yang ditulis dengan bahasa yang mudah dan gaya yang menarik oleh rakan penulis anda adalah contoh sebuah 'cerita-dalam-cerita'.  Penulis memulakan dan mengakhirkan cerita dengan menukil lirik-lirik dari album kumpulan Styx yang telah memberi inspirasi kepadanya.

      "Anda pernah dengar lagu-lagu yang ditukilnya?  Saya sendiri belum pernah dengar walaupun saya tahu kumpulan Styx terkenal dengan lagu 'Babe' dan 'The Best of Times'.  Hah, lepas bengkel ni saya nak cari album The Grand Illusion sebab nak dengar sedap atau tidak lagu-lagu Castle Walls dan Man in the Wilderness.

      "Antara kekuatan cerpen ini ialah ia memberi kejutan kepada pembaca di akhir cerita.  Mulanya kita sangka watak Fahqis benar-benar wujud tapi rupanya ia cuma rekaan suami Rahima yang digambarkan sebagai seorang penulis.  Tapi, siapa nama suaminya yang sebenar tak pula dijelaskan dalam cerita ini.

      "Cerpen ini turut dimuatkan dengan puisi yang ada menyelitkan kata-kata klasik dan yang jarang digunakan.  Misalnya, 'yuda', 'astaka', 'pemetia', 'lugu' dan 'kepinding'.  Saya sendiri terpaksa rujuk kamus sebab kurang pasti makna 'kepinding'.  Sekarang baru saya tahu.  Kepinding tu rupanya kutu busuk.

      "Ha ha, rupanya pemimpin dunia terdiri dari kutu busuk.  Penulis nampaknya begitu marah kepada golongan pemimpin hingga melahirkan sajak Hanyir yang sarat sindiran.  Banyak perlambangan dan ungkapan menarik yang diterapkan dalam sajak ini.  Misalnya 'tarian maut', 'cencorot gurun' dan 'sezulmat collapsar'. 

      "Pembaca dapat tafsirkan 'cencorot' yang dimaksudkan tak lain ialah Saddam Hussein, yang ditemui bersembunyi dalam lobang macam tikus.  Perang pula dianggap sebagai 'tarian maut' -- satu kegiatan sia-sia yang tak perlu diadakan.  Ungkapan yang paling saya suka ialah 'sezulmat collapsar'.  Dengan kata lain 'sehitam black hole'.  Mungkin itulah tempat paling gelap dalam seluruh jagat. 

      "Cerpen ini boleh diperkuatkan lagi jika penulis menyelitkan lebih banyak dialog antara Fahqis dan isterinya.  Tulisan yang hanya berbentuk naratif membuat sesetengah pembaca cepat bosan.  Dialog akan mempercepatkan jalan cerita dan membuat watak-watak dalam sesuatu cerita lebih hidup.

      "Secara keseluruhannya, cerpen ini boleh dikatakan bagus.  Syabas kepada penulis yang telah berjaya menyampaikan mesej anti-perangnya dengan cara yang amat kreatif.  Penulis berpotensi melangkah jauh jika dia gigih menghasilkan karya-karya yang mutunya setaraf atau lebih baik dari cerpen yang telah kita bincangkan."

˜ ˜ ˜

      Ulasan yang amat memberangsangkan dari Profesor Khalil yang membimbing bengkel penulisan cerpen anjuran Gerakan Penulis Generasi Saiber tadi membangkitkan semangatku untuk terus berkarya.  Musafir Lara, penulis muda yang turut menyertai bengkel ini melontarkan senyuman sokongan kepadaku.  Selain penganjur, hanya dia seorang sahaja dari 30 peserta bengkel yang tahu bahawa akulah penulis yang dimaksudkan Profesor Khalil.

 

˜ TAMAT

 

 

 

 

˜ GRAND ILLUSION 2004