EJURUS memasuki bilik pejabatnya, Rusdi mencapai sweater biru yang tersadai di kerusi pusingnya lalu menyarungkan baju pemanas itu ke tubuhnya dengan gopoh.  Jangka suhu berdekatan pintu di dalam bilik sekecil balkoni rumahnya itu mencatatkan 22 darjah Celsius. 

       "Bodoh punya management!  Menyusahkan orang saja!" dengus Rudi.  Seranah yang kerap tercetus dari bibirnya sejak mula bekerja sebagai pegawai penerangan di sebuah jabatan pemerintah.Sejak kebelakangan ini, Rudi kian menjadi pemarah.  Kedinginan bilik pejabat di tingkat empat bangunan pintar di pusat bandar, yang menggigit tubuh lidi Rudi hari demi hari, tidak dapat memadamkan bara kegusaran yang kian membesar di kalbunya.

       Rudi sudah tidak kuasa memberi maklum balas kepada pihak atasan untuk mengatasi masalah kedinginan kronik yang terpaksa ditempuhinya setiap hari.  Dia lebih rela derita dalam diam.  Jika banyak cerita, silap kata kena gam.  Atau lagi teruk jika pihak atasan memasukkan namanya dalam senarai orang-orang yang dianggap liabiliti kepada majikan, yang tunggu masa saja untuk dipecat.

       Sudah lama Rudi hilang semangat untuk bersuara sejak pandangan-pandangannya sering dianggap tidak layak untuk dilaksanakan oleh pihak atasan.  Dia pernah berikan pelbagai saranan untuk majukan sekitaran kerja.  Antaranya, menyarankan agar setiap bilik jamban di pejabat dilengkapi kemudahan paip air jirus.       Saranan itu ditolak bulat-bulat.  Pihak atasan kata, penjirus tidak perlu kerana setiap jamban sudah dibekalkan kertas jamban.  Kata mereka lagi, penjirus akan menambahkan kos penyenggaraan sebab penjirus perlu diganti jika rosak.  Tidak cukup dengan alasan tadi, mereka kata, penjirus juga akan meningkatkan bil air dan menyebabkan lantai basah, lantas menambahkan ketidakselesaan kepada pengguna.

       Marah betul Rudi bila cadangannya tidak diberi sokongan. Yang pasti, tiap kali terasa nak berak atau kencing di pejabat, Rudi hilang selera bila terlihat titisan kencing atau tahi melekat di lantai atau bertakung di mangkuk jamban.  Kalau ada penjirus, tentu masalah ini tidak timbul.  Kerana, jika sistem simbahan rosak, pemberak boleh guna penjirus untuk ghaibkan najis, fikir Rudi.

       Selain dari saranan untuk mudahkan pemberak khususnya, atau pengguna tandas amnya, Rudi juga pernah cadangkan agar pokok-pokok buah seperti rambutan, belimbing, mangga dan lain-lain ditanam di halaman bangunan pejabat untuk menggantikan pokok-pokok buluh halus yang kurang berfaedah.  Pada hematnya, pokok buah lebih praktikal dan berguna dari pokok buluh yang sekadar hiasan. Saranan ini juga ditolak mentah-mentah oleh pengurusan dengan alasan "pokok-pokok buah tidak termasuk dalam konsep desain oleh perunding reka tanah.  Tambahan pula, jenis pokok yang ditanam sekarang telah diluluskan oleh pengurusan kanan."

       Jawapan yang sungguh bodoh, bentak Rudi.  Kekecewaannya bila saranan itu ditolak hanya dikongsi Rudi dengan Hasril, teman sepejabatnya.  Sebelum mengemukakan cadangan itu, Rudi telah mendapatkan pandangan Hasril, yang amat bersetuju dengan idiyanya itu.

       Kata Hasril, jika ada pokok buah di halaman pejabat, lebih-lebih lagi jambu batu, yang boleh dipetik oleh kakitangan pejabat, tambah bersemangat dia datang kerja nanti.  Pokok jambu batu sentiasa memberi kesan positif kepada Hasril, yang gemar memanjatnya semasa kanak-kanak.  Kehadiran pokok itu pasti mengembalikan kenangan manisnya waktu kecil.

       Seperti Hasril, Rudi juga gemar memanjat pokok seperti belimbing dan rambutan semasa tinggal di kampung pada awal 1970an hingga pertengahan tahun 1980an.  Pelbagai pokok buah ditanam bapanya di halaman rumah kampung mereka.  Ada pokok rambutan, jambu batu, betik, durian belanda, belimbing manis (averrhoa carambola), belimbing besi (averrhoa bilimbi), pisang, kelapa, mangga, nangka dan pokok nam-nam (cynometra cauliflora).

       Bercakap fasal buah, banyak orang terpinga-pinga tiap kali Rudi sebut buah nam-nam.  Hampir semua rakan-rakan dan kenalannya tidak pernah mendengar nama itu, jauh sekali melihat rupa buah nam-nam atau memakannya.  Malah, kata bapanya, di kampung mereka, cuma keluarga mereka saja yang menanam pokok nam-nam. 

       Selain buah nam-nam yang rasanya masam-masam manis dan mempunyai biji yang leper, keluarga Rudi juga ada menanam pokok kari dan keluih (artocarpus communis).  Rudi tidak pernah ambil tahu nama-nama saintifik pokok-pokok yang ada di perkarangan rumah kampungnya dulu.  Yang dia tahu, semua pokok buah yang ditanam arwah bapanya, amat berguna dan telah berjasa kepada dirinya, keluarganya serta orang kampung yang sering meminta buah-buah itu untuk dibuat juadah dan masakan.  Buah keluih misalnya, boleh dimasak dan dibuat lauk lemak.  Bijinya amat sedap rasanya seperti buah berangan jika direbus.  Buah keluih, yang tergolong dalam spesies buah sukun, kini sukar ditemui Rudi walau di pasar sekalipun.

       Sesekali mengenang pembangunan yang melanda kampungnya dulu, Rudi berasa sedih bercampur marah dan terkilan kerana kehilangan sesuatu yang sukar diganti.  Rumahnya yang terletak di perkampungan Melayu dulu, terpaksa menyembah bumi bagi memberi laluan kepada estet perumahan pangsa. Apa yang sangat dikesalkannya ialah hilangnya suasana kampung yang penuh harmoni dengan jiran-jiran yang mesra dan bertegur sapa.  Hilang juga kebebasan untuk bercucuk tanam dan memelihara ayam itik.  Yang dimilikinya kini hanya bilik-bilik konkrit tanpa halaman, tanpa bumbung zink seperti rumah kampung, yang pasti mengalunkan irama lunak apabila hujan mencumbui bumi.

       Kini, hendak pelihara kucing pun menjadi masalah kerana undang-undang lebih memihak kepada pemilik anjing.  Rudi tahu tiada guna dibahaskan isu ini lagi kerana menukar undang-undang bukan semudah menukar fonsel.  Daripada mencari masalah melancarkan tunjuk perasaan menuntut hak memelihara kucing di flat, lebih selamat memberi makan secara curi-curi kepada kucing-kucing tanpa tuan di kolong-kolong blok.  Itulah yang dilakukannya apabila ada sisa lauk ikan atau Ayamas kegemarannya.   

       Semua ketidakpuasan hati Rudi tentang apa yang disifatkannya sebagai kebodohan pihak atasan berkumpul menjadi kebencian kepada establishment.  Tapi kebencian itu hanya dipendam dan diluahkan setiap empat atau lima tahun sekali.  Undinya yang sangat berharga, walau nilai sebenarnya sekadar setitis embun di sungai, tidak diberikan kepada satu pihak saja, tapi kepada setiap parti yang logonya tercetak di kertas undi kawasanundinya.  Biar undi rosak, itulah caranya melepaskan geram dan pada masa yang sama berasa adil kerana prinsipnya yang tidak mahu berpihak kepada mana-mana pihak.

       Semasa berumur awal dua puluhan, Rudi mempunyai cita-cita besar.  Dia ingin menjadi pemikir hebat yang dapat melahirkan idiya-idiya bernas demi membantu meningkatkan pencapaian sosio ekonomi masyarakat Melayu di negaranya. Tapi pengalaman dan hakikat hidup menyedarkannya bahawa impiannya terlalu sukar untuk dicapai.  Bukan kerana dia ketandusan idiya-idiya untuk dikongsi masyarakat, tapi kerana dia tidak berani menanggung risiko ditahan pihak berkuasa dengan alasan idiya-idiyanya meracuni fikiran dan memecahbelahkan masyarakat. 

       Rudi juga sedar jasa pemikir-pemikir hebat selalunya disanjung dan dikenang hanya setelah mereka mati.  Ketika hidup, mereka lazimnya dianggap musuh oleh kuasa yang memerintah.  Nama-nama pemikir besar seperti Socrates, yang dipenjara ketika berusia 70 dan dihukum mati kerana pegangannya yang dilihat sebagai menyimpang dari agama yang dianuti masyarakat Athens kuno; Galileo, ahli falak Itali yang dipaksa oleh Inquisition pada 1633 untuk menarik balik pegangannya yang menyokong teori Copernicus bahawa bumi serta planet-planet lain mengitari matahari dan bahawa bumi bukan pusat jagat; bahkan Pramoedya, penulis Indonesia yang dipenjara di Pulau Buru selama beberapa tahun pada abad lalu kerana dituduh menyebarkan fahaman komunis, cukup untuk mengingatkan Rudi bahaya yang menantinya jika menentang arus.

       Semangat perjuangan Rudi telah pudar kerana sedar dirinya umpama melukut, yang tidak mampu mengubah dunia.  Dia tidak setega dan seberani Osama, yang pengaruhnya menghantui kuasa besar dunia.  Rudi akui dia pengecut.  Untuk menyatakan kekaguman dan sokongannya kepada Osama secara terbuka pun tidak mampu dilakukannya. Takut agen-agen CIA memantau gerak-gerinya dan menuduhnya sebagai anggota al Qaeda.

       Namun, sekalipun dia menganggap Osama sebagai wira kerana jasa pejuang itu membela rakyat yang tertindas waktu Soviet Union cuba menakluk Afghanistan, Rudi tidak setuju dengan taktik ganas merobohkan bangunan awam di mana-mana bahagian bumi.  Pergolakan dunia dengan ancaman pengganas di sana sini serta ancaman perang ke atas Iraq oleh Amerika, hanya membuat Rudi berasa kerdil kerana tidak berdaya melakukan apa-apa untuk menghalang perang.

       Segala peristiwa yang berlaku ke atas masyarakatnya dan ummah secara amnya, memberi kesan kepada Rudi.  Dia sedih melihat keinginan sesetengah ibu-bapa menyekolahkan anak-anak mereka di madrasah terhalang kerana bilangan murid ke madrasah telah dihadkan.  Walaupun faham motif di sebalik peraturan yang dikenakan, Rudi berpendapat hak memberi pendidikan kepada anak-anak terletak di tangan ibu-bapa, yang seharusnya diberi kebebasan memilih apa juga jenis pendidikan yang difikirkan wajar untuk anak mereka. 

       Lagipun, ibu-bapa yang harus membiaya ongkos pendidikan anak-anak mereka, yang tidak disediakan percuma.  Pada hematnya, masalah ini boleh diatasi jika madrasah menukar corak pengajaran dan mengikut konsep sekolah mission yang banyak terdapat di sini. Jika ini berlaku, pasti tidak terbit isu tudung yang pernah menimbulkan keresahan dalam masyarakat.  Lebih-lebih lagi bila diexploit pihak tertentu di seberang Tambak.

       Sebagai pegawai penerangan, tugas seharian Rudi ialah memantau laporan berita dan rencana dalam pelbagai akhbar serantau, baik dalam bahasa Melayu atau Inggeris.  Ini mendedahkannya kepada sudut pandangan yang rencam.  Rudi seringkali dapat melihat pandangan kedua-dua belah pihak yang berbalahan dalam sesuatu isu.  Justru, dia selalu perolehi maklumat yang seimbang mengenai pelbagai isu, bukan yang hanya berat sebelah kepada sesuatu pihak.

       Pendedahan seimbang ini secara bawah sedar mempengaruhi pemikiran, pendirian dan tindakannya dalam urusan seharian.  Pengalaman kerjanya selama lebih sedekad telah mematangkan Rudi tentang ehwal politik tempatan, serantau dan luar negara.  Sering pendiriannya berbeza dari sesetengah pemimpin negara, malah bercanggah, tapi tak dapat diluahkannya kepada umum demi menjaga periuk pangan.

       Setiap kali Rudi hadapi 'percanggahan kepentingan' dan mengalami konflik dalaman kerana tidak bersetuju dengan sesuatu dasar pihak berkuasa, dia akan segera mengingatkan dirinya tentang sikap yang harus diambilnya demi mengelakkan diri dari terperangkap dalam air panas. Berkecuali.  Ya, itulah cara yang terbukti paling selamat dalam banyak keadaan.

      Tugas rasminya memerlukan Rudi menyokong setiap dasar pemerintah.  Ini dilakukannya sebaik mungkin walau ada masanya dalam hati, Rudi membantah.  Namun, kata-kata penyair Nicolas Boileau-Despreaux (1636-1711) -- "Who is content with nothing possesses all things."selalu mententeramkan jiwanya.

       Rudi cuba sebanyak mungkin menghargai dan bersyukur dengan apa yang ada.  Kehidupannya setakat ini boleh dianggap mewah dan bebas berbanding sesetengah rakyat di negara lain yang hidup di bawah dasar diskriminasi melampau kerajaan mereka.  Sekurang-kurangnya isterinya dibenarkan bebas bekerja untuk membantu menambah pendapatan keluarga.  Dan tidak pula dilarang dari memiliki lesen memandu kenderaan di sini.

       Suhu dalam bilik pejabat Rudi sudah meningkat panas sedikit sejak dia menghidupkan komputer dan lampu sorotan.  Kini jejari Rudi tak lagi sesejuk air batu dan dia berasa agak selesa apabila mengetuk huruf-huruf di papan kekunci komputer.  Sedang jejarinya pantas menaipkan ayat-ayat dalam proses menterjemahkan sebuah laporan kritikal oleh media asing ke atas negara ini, tiba-tiba muncul Lotus Notes alert dengan kekata 'You have new mail' di monitor.  Rudi tidak pula tergesa-gesa membuka mel yang baru masuk ke peti suratnya.  Sebaliknya, dia teruskan terjemahan yang tergendala sebentar dan segera menghantar hasil kerjanya kepada pegawai-pegawai atasannya.

       Setelah tugas rasminya beres, Rudi memeriksa peti suratnya dan mendapati ada sepucuk e-mail dari Kelab Kebajikan Pekerja, yang mengalu-alukan anggotanya membuat definisi tentang cinta sempena perhimpunan bulanan pekerja, yang kebetulan diadakan pada Hari Kekasih.  Takrif terbaik yang dipilih akan mendapat hadiah misteri.  Mulanya Rudi ingin saja memadam email itu kerana dia tidak minat menghadiri perhimpunan tersebut, kerana berasa tidak selesa menghadiri jamuan di mana arak dijadikan daya tarikan.  Dan seberapa terdaya tidak mahu bersubahat kerana ada hadis mengatakan tidak wajar bagi seseorang Muslim menghadiri majlis yang ada menyajikan minuman keras, seperti yang diriwayatkan Ahmad dan al-Tirmidhi.  Tapi nalurinya mendesak untuk meluahkan perasaan yang lama terbendung.  Ini peluang baik baginya menyuarakan bantahan terhadap perang, fikir Rudi.

       Secepat capaian jalur lebar, idiya mula mengalir turun dari minda Rudi ke dalam monitor: 

A dictionary's definition of love is 'warm liking or affection'.  From my observation, the presence of love usually brings out positive outcomes such as a happy marriage or a successful career, while one's unrestrained love of money or vices may bring out negative outcomes like greed and crimes. An absence of love between two parties may translate into enmity if hostility enters the relationship.

       Heck, I'm not going to crack my head trying to define what love really is, which is a futile exercise if you choose to disagree with my definition. As far as I'm concerned, all the leaders of all nations should love one another and not go about demonising some leaders or the people of certain countries by casting aspersions and hatred among nations. This is what the world badly needs than countless debates over issues like war and terrorism.

       Real love has long been kidnapped by blood-thirsty bandits, who disguised themselves as leaders of so-called civilised nations, who launched the first missile on a foreign land.  There is still hope nevertheless.  To rescue love and germinate it, let us all extinguish the fire of hatred in our hearts first and pray that another war will not break out, now and forever.

Rudi

Information Officer

12 Feb 2003

 

 

˜ TAMAT

 

 

 

 

˜ IDIYA 2003