AINAL dan aku melangkah keluar dari pekarangan Masjid Makruf. "Assalamualaikum".  Sudah aku jangka, wanita separuh umur itu akan berdiri di pintu pagar untuk memberi salam.

"Waalaikumussalam".  Kami menjawab sambil berlalu meninggalkannya.

Jemaah yang lain satu-satu keluar dari pintu yang sama. Seperti kami, mereka juga menjawab salam wanita itu.  Yang bermurah hati menghulurkan sedolar atau dua dolar kepadanya. Tapi kebanyakannya kurang peduli dengan kehadiran wanita itu.

Setiap Jumaat, selepas selesai fardu Jumaat, wanita separuh umur itu (seterusnya aku gelarkan makcik) akan berada di situ kecuali jika hari hujan.  Dia akan memberi salam dan mengharapkan sedekah daripada para jemaah.

Aku tidak pernah menghulurkan wang kepadanya.  Aku sekadar menjawab salam dan memberikannya senyuman.  Itu juga merupakan sedekah.  Mungkin makcik menganggap aku bakhil. Biarlah.  Yang penting aku tidak lupa menghulurkan derma untuk tabung masjid.

Zainal juga tidak pernah memberi sedekah kepadanya.  Kami sependapat kita tidak harus menghulurkan sedekah kepada makcik kerana melakukannya seolah-olah menggalakkan perbuatan mengemis, dan secara tidak langsung menggalakkan sikap malas bekerja.

Bukan kami kedekut, tapi kami rasa mengemis bukan cara betul untuk mendapat bantuan kewangan.  Jika makcik memang perlukan bantuan, dia boleh mendapatkannya daripada badan-badan kebajikan masyarakat.

Kami tidak dapat memastikan sama ada makcik benar-benar miskin atau sekadar cuba mengambil kesempatan.  Di zaman sekarang, terlalu sukar untuk membezakan sesuatu yang palsu daripada yang asli.  Lebih baik berwaspada daripada terkena.

Yang pasti, sedikit pun kami tidak berasa belas kepada makcik. Malah, kami sangsi akan kehadiran makcik.  Makcik tidak kelihatan selekeh seperti pengemis lain. Mentelah lagi, kami pernah melihat makcik menjual karipap di Stadium Kallang sewaktu demam Piala Malaysia melanda peminat bolasepak di sini dua tahun lalu.

Kami cam benar bentuk tubuh dan muka makcik.  Sah!  Tidak salah orang.  Kulitnya yang sawo matang dan tahi lalat di dagunya menguatkan lagi keyakinan kami bahawa makcik yang kami lihat di masjid adalah makcik yang pernah kami lihat di Stadium Kallang.

Kami dapati makcik masih sihat seperti dua tahun lalu.  Buktinya makcik masih boleh berjalan tanpa bantuan seperti tongkat.  Tetapi, mengapa meminta sedekah?  Bukankah dia masih boleh mengambil dalal menjual kuih atau karipap seperti yang pernah dilakukannya?  Sekurang-kurangnya, dia boleh bekerja sebagai pembersih atau mencari makan dengan menjual kotak kadbod terpakai seperti yang lazimnya dilakukan nyonya-nyonya dan apek-apek yang daif.

"Makcik berhenti menjual karipap sebab bisnes merosot sejak Singa tarik diri daripada Piala Malaysia."  Zainal cuba berjenaka apabila soalan-soalan tadi aku ajukan kepadanya.

"Kurang tepat.  Makcik tukar profesion sebab peminta sedekah tak perlu bayar cukai pendapatan," balasku sinis.

"Masih belum tepat.  Makcik minta sedekah sebab tak ada orang suruh dia berhenti mengemis," tambah Zainal.

"Eh silap tu.  Apa bukti kau ada untuk mengatakan tak ada orang suruh dia berhenti mengemis?" Aku cuba memerangkap Zainal.

Zainal hanya tersengih.  Dia tahu kenyataannya tadi tidak kukuh.

"Mungkin ada orang pernah menyuruhnya berhenti tapi dia buat tak tahu," kataku.    Justru ketika itu bas nombor 51 sampai ke perhentian bas.  Kami menahan dan menaikinya.  Mujur ada bangku kosong untuk dua orang.  Kami segera duduk dan menyambung perbualan.

"Jawapan yang tepat ialah makcik mengemis sebab pihak berkuasa tidak menangkapnya.  Kalau makcik dah kena tangkap, tentu dia tidak akan berani mengemis lagi," kataku penuh yakin.

"Belum tentu.  Ada orang tak kenal serik," balas Zainal.  Lalu mengingatkan aku tentang banyaknya bilangan penagih dadah yang sering keluar masuk pusat pemulihan.

"Betul juga kata kau, Zai.  Selagi seseorang tak kenal serik, seberat mana hukuman pun tak akan meninggalkan kesan kepadanya."

"Mungkin berkesan jika undang-undang sekular digantikan dengan undang-undang Islam... " ujar Zainal.

"Tetapi Zai, aku rasa selagi masih ada orang yang menghulurkan derma, selagi itu makcik akan tetap berada di masjid itu."

Perbualan kami terhenti setakat itu kerana bas telah sampai ke destinasiku.

Setelah berada di pejabat, aku masih teringat makcik di masjid.  Wajah makcik seolah bermain di skrin komputer sehingga mengganggu konsentrasiku.  Entah mengapa, aku tidak dapat melupakannya.  Pendek kata, aku tidak dapat menghabiskan tugas aku pada hari itu.

Mengapa makcik harus mengemis? Apakah dia tiada saudara mara?  Adakah dia pendatang asing?  Mungkinkah dia menghidapi penyakit serius hingga tidak boleh melakukan kerja-kerja lain?  Mungkinkah dia anggota satu sindiket pengemis?  Di manakah tempat tinggalnya?  Soalan demi soalan berligar di benakku.

Aku tahu semua soalan itu akan terjawab jika aku dapat meluangkan sedikit masa berbual dan menemuramah makcik. Namun, aku belum berkesempatan melakukannya.  Insya-Allah, jika ada masa, minggu hadapan aku akan menegurnya.

Ya, aku akan cuba membongkar kisah hidup makcik.  Mungkin aku dapat menggali pengalamannya untuk faedah masyarakat.

Daripada raut wajahnya, aku kira makcik berusia dalam lingkungan enam puluh tahun.  Ini bermakna makcik berjaya melalui pahit getir zaman penjajahan Jepun.  Tentu ada sejarah menarik yang boleh diceritakannya.

Aku ingin tahu.  Apakah yang dilakukannya untuk menyara hidup pada waktu itu?  Adakah makcik turut sama berjuang untuk menuntut kemerdekaan?

Mengapa kini berakhir sebagai pengemis?  Mengapa berhenti menjual karipap?  Mengapa tiada badan kebajikan masyarakat yang mengambil tahu akan nasibnya?  Wajarkah perbuatan mengemisnya dibiarkan sahaja?  Dan pelbagai soalan lagi...

Andaikata makcik benar-benar daif dan perlukan bantuan, aku akan menolongnya dengan caraku tersendiri.  Aku akan bentangkan masalahnya di akhbar supaya kisah hidupnya mendapat perhatian masyarakat.

Banyak orang telah mendapat bantuan kewangan melalui cara tersebut.  Aku yakin, pihak berkuasa juga akan mengambil tindakan untuk menolongnya.

Dalam pada itu, aku bersyukur kerana masih berdaya mencari rezeki tanpa perlu meminta sedekah.  Biarpun gajiku sebagai seorang kerani kurang lumayan jika dibandingkan dengan gaji menteri atau pemain bolasepak profesional, aku tetap berpuas hati kerana sekurang-kurangnya aku masih mempunyai pekerjaan tetap.

Biarlah orang atasan memandang rendah terhadap kerja yang aku lakukan.  Pokoknya, aku bahagia.  Dan yang penting, aku tidak mengemis atau terlibat dalam kes rasuah dan pecah amanah seperti yang sering dilakukan oleh orang-orang terhormat.

"Hey, Taufik.  Dah pukul 5. Awak tak mahu balikkah?"  Suara Dilla, teman sepejabatku, menyentap ku dari lamunan.  Bahana memikirkan kisah makcik, tugasku pada petang itu tidak dapat aku selesaikan.

Pada malam itu pula, setelah selesai menunaikan solat Isyak, aku berasa amat gelisah.  Entah mengapa, wajah makcik menjelma lagi di benakku.

Aku berasa seperti ada yang tidak kena.  Lalu tergerak hati ini untuk membaca The Meaning of The Holy Quran oleh Abdullah Yusuf Ali, yang sudah agak lama tidak aku sentuh.  Aku memulakan dengan membaca Al-Fatihah dan seterusnya surah Al-Baqarah.

Buat seketika aku dapat melupakan makcik yang sejak tengah hari tadi mengganggu benakku.  Aku terus membaca sehingga ke ayat 271, di mana secara tiba-tiba aku berasa malu pada diri sendiri.

Maksud firman Allah, 2:271: "If ye disclose (acts of charity), even so, it is well, but if ye conceal them, and make them reach those (really) in need, that is best for you: It will remove from you some of your (stains of) evil.  And Allah is well-acquainted with what ye do."

Aku berasa sangat zalim kerana tidak mahu bersedekah kepada makcik.  Mungkin dia benar-benar dalam kesusahan.  Tatkala itu, timbul kesal dalam hatiku.  Dan secara tiba-tiba, aku teringat perbualanku dengan Zainal tidak lama dahulu.

  "Zaman sekarang, banyak sungguh penipu profesional.  Baik ahli politik, peniaga, tokoh agama, broker saham, pemain bolasepak hinggakan penulis dan pengemis.  Semuanya aku tak percaya."

  "Kau tak boleh samakan semua orang Zai.  Mungkin hanya satu atau dua yang menipu.  Jadi, tak adil berburuk sangka terhadap yang lain."

  "Sebenarnya aku amat kecewa sebab kena tipu oleh kawan baik sendiri.  Sekarang susah untuk aku mempercayai sesiapa."

  "Sudahlah tu Zai.  Tak usahlah kau ungkit lagi kes skim cepat kaya tu.  Jadikan ia satu pengajaran.  Lain kali, berhati-hati apabila menyerahkan wang kepada seseorang."

  "Senanglah kau cakap, sebab bukan duit kau yang hangus."

  "Aku pun pernah kena tipu macam kau Zai.  Tapi, taklah sampai terus tidak mempercayai mereka.  Aku percaya setiap individu boleh berubah jika mendapat taufik daripada Allah."

  Tiba-tiba suara Zainal hilang dan suara makcik pula menembusi lamunanku.

  "Taufik, makcik tahu kau tak suka melihat makcik mengemis.  Tapi, makcik tak pernah memaksa sesiapa pun untuk menghulurkan sedekah.

  "Makcik bukan penipu seperti yang kau sangkakan.  Makcik sebenarnya memberi kau peluang untuk menambah pahala.

  "Kau sendiri maklum, memberi lebih baik daripada menerima.  Jadi, usahlah ragu-ragu untuk memberi sedekah kepada orang seperti makcik.

  "Sebenarnya makcik meminta sedekah bukan untuk diri makcik tetapi untuk kegunaan semua orang.

  "Makcik tak berkecil hati jika kau masih keberatan untuk memberikan wang sedekah kepada makcik.  Tapi makcik harap kau dapat tunaikan permintaan makcik yang satu ini.  Sedekahkanlah Al-Fatihah untuk makcik setelah makcik pergi."

  Aku tiba-tiba tersentak apabila terdengar suara anjing menyalak di luar rumah.  Aku dapati aku telah terlayang sebentar tadi.  Lalu aku terus terjaga dan tidak dapat melelapkan mata hingga pagi.

  Keesokan harinya aku terlewat ke pejabat.  Fikiranku masih lagi dihantui igauan semalam.  Semakin aku cuba melupakannya, semakin jelas wajah makcik bermain di benakku.

  Aku hilang semangat untuk bekerja apabila melihat timbunan dokumen yang sepatutnya aku selesaikan semalam.

  "Mahu tak mahu, kau mesti bereskan tugas kau Fik, jika tak mahu menjadi pengemis seperti makcik."  Suara hatiku seolah-olah mengejek aku.

  Sedang aku menguruskan dokumen-dokumen itu, aku mendapat panggilan telefon dari Zainal.

  "Hello Fik, ada berita tergempar.  Kau ambil akhbar Melayu hari ini dan lihat muka surat dua.  Aku tak dapat berbual panjang, nanti aku telefon lagi."

  Aku segera mendapatkan akhbar tersebut daripada Dilla yang kebetulan sedang membacanya.  Dan terus melihat ke halaman dua:

$500,000 untuk dana Masjid Makruf

...Allahyarhamah Hajah Saleha Said yang hidup sebatang kara sempat mendermakan wang sebanyak $500,000 kepada dana pembinaan semula Masjid Makruf.

...Allahyarhamah juga sering mendermakan wang kepada badan-badan kebajikan seperti Darul Ihsan semasa hidupnya. 

...Doktor mengesahkan punca kematiannya akibat diserang sakit jantung. Jenazahnya akan dikebumikan selepas zohor.

  "Inna lillahi, wa inna illaihi rajiuun."

  "Fik, kenapa wajah kau tiba-tiba pucat?" tegur Dilla.  "Kau kenal makcik Saleha?"

 

˜ TAMAT

 

 

 

 

˜ MAKCIK 1995

 

Berita Minggu, 25 Feb 1996 (ms 10)