UA belas tahun lalu, ketika berusia 10, saya terbaca sekuntum puisi yang tertulis pada sebuah poster decoupage milik kakak saya, Salma.  Saya masih hafal puisi itu.

'If any man seeks for greatness,

let him forget greatness

and ask for truth,

and he will find both.'

Sayangnya, saya tak tahu siapa yang mengarangnya kerana nama penyairnya tidak tercatat pada poster itu.

       Waktu itu, saya tak faham langsung puisi tersebut.  Suatu hari, kak Salma cuba terjemahkan puisi itu untuk saya.  Katanya, "Jika seseorang mencari keagungan, suruhlah dia lupakan keagungan dan cari kebenaran, nescaya dia akan menemui kedua-duanya."

       "Keagungan tu apa kak?  Rik tak faham."

       "Cakap mudahnya, seseorang tidak harus gila kuasa, harta atau nama.  Sebaliknya dia harus sentiasa merendah diri dan berbuat baik sesama manusia.  Itulah keagungan.

       "Rik, mungkin sekarang kau tak faham, tapi kau akan faham satu hari nanti," kata kak Salma.

       Kini, saya sudah dewasa. Saya sudah faham makna di sebalik kata-kata yang begitu mujarad suatu ketika dulu.

       "Kebenaran ialah perkara yang bukan bohong atau palsu.  Kebenaran ialah segala kenyataan sahih tentang sesuatu perkara.  Manusia harus mencarinya dan menyebarkannya buat kemakmuran seluruh alam.

       "Kebenaran sentiasa boleh ditemui oleh mereka yang tekun mencarinya," jelas kak Salma ketika saya masih hingusan.

       Entah mengapa, sejak mendapat penjelasan dari kak Salma, naluri saya mendesak agar saya menjadi pencari kebenaran.  Itulah yang selama ini saya cuba lakukan.

       Pada usia 18, saya mula persoalkan banyak perkara.  Saya sering tidak sependapat dengan orang di sekeliling saya, hingga mendapat gelaran 'Ganjil' waktu di bangku sekolah.

       Saya masih ingat perbualan antara rakan sedarjah saya Musa dan pelajar senior Salim, yang saya dengar secara tak sengaja.  Ketika itu saya baru nak masuk ke bilik air di sekolah bila terdengar suara mereka memperkatakan sesuatu tentang saya.

       Saya tak jadi masuk.  Sebaliknya saya berdiri di tepi tembok dan memastikan mereka tidak melihat saya.  Mujur ketika itu pintu bilik air terbuka, hingga perbualan mereka dapat saya dengar dengan jelas.

       "Si Ganjil tu dahsyat betul.  Dengan cikgu pun dia nak lawan," kata Musa.

       "Polemik lagi?" tanya Salim.

       "Semalam Cikgu Husin minta Ganjil berlakon untuk peraduan drama antara sekolah, alih-alih Ganjil buat hal."

       "Hal apa pula Mus?"

       "Ganjil tiba-tiba berkhutbah.  Dia cakap..."

       "Apa yang dia cakap?" Salim memotong.

       "Kau dengarlah, jangan menyampuk.  Okay, Ganjil cakap macam ni:

       "Cikgu, saya tak ada niat nak kurang ajar, tapi secara peribadi saya percaya berlakon adalah salah dari hukum Islam dan saya rasa, sebagai seorang pendidik, cikgu tak seharusnya menggalakkan drama atau lakonan."

       "Wah! Berani betul si Ganjil tu.  Habis Cikgu Husin cakap apa?" tanya Salim.  

       "Air muka Cikgu Husin berubah tapi dia cuba tersenyum.  Lepas tu dia kata: "Mavrik, kalau awak tak suka berlakon, itu hak awak.  Tapi awak tak perlu berfikiran sempit dan buat tafsiran sewenang-wenangnya.  Kalau, berlakon hukumnya haram, awak mesti berikan hadis atau firman dari Al-Quran untuk menyokong pendapat awak."

       "Ganjil terdiam bila Cikgu Husin suruh dia tukil hadis.  Tapi tak lama, lepas tu dia mula kasi syarahan.

       "Cikgu, maafkan saya kerana tak dapat menyokong pendapat saya dengan hadis atau firman Allah, tapi saya percaya seni lakon lebih banyak mendatangkan keburukan kepada masyarakat.

       "Dalam lakonan, segala yang hukumnya jelas haram secara automatik menjadi 'halal'.  Sebagai contoh, cikgu tentu akur bahawa bersentuhan kulit antara seseorang lelaki dan wanita yang bukan mahram, hukumnya haram.  Apalagi berpelukan, bercumbu rayu dan berkelakuan ganas dan tidak senonoh.  Mengapa masyarakat kita bersikap permisif dalam hal ini?" tanya Ganjil.

       "Mavrik, lakonan harus dilihat sebagai hiburan.  Manusia perlukan escapism.  Tanpa seni lakon, masyarakat akan miskin budaya," kata Cikgu Husin.

       "Cikgu, itu alasan yang lemah.  Sebenarnya kita boleh libatkan diri dalam pelbagai aktiviti lain yang tidak melanggar larangan agama.  Seni lakon bukan budaya Islam.  Kita mesti berpendirian tegas dalam hal ini.  Apa yang dianggap budaya oleh masyarakat, kadang kala boleh meruntuhkan manusia.  Jika benar seni lakon meninggikan peradaban manusia, mengapa tingkah laku sesetengah artis sendiri begitu mengecewakan?" tanya Ganjil.

       "Mavrik, tidak semua seniman rosak akhlaknya.  Mungkin awak lupa, sealim-alim ustaz pun ada yang menyeleweng," jelas Cikgu Husin.

       "Cikgu, dalam hal ini, saya tak salahkan golongan artis.  Sebenarnya, masyarakat yang harus disalahkan kerana bersikap permisif terhadap lakonan!" kata Ganjil.

       "Mavrik, awak sedar tak apa yang awak cakap?" tanya Cikgu Husin.

       "Sudah tentu cikgu.  Sebagai seorang Muslim, saya tak dapat terima hakikat bahawa lakonan itu 'halal' dan digalakkan pula oleh pemimpin masyarakat.  Saya rasa bertanggungjawab menegur setiap kemungkaran.  Saya betul-betul tak faham dengan sikap orang kita.  Mengapa kita ghairah mempraktikkan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran agama?  Adakah apa yang saya cakap ini salah cikgu?

       "Cuba cikgu fikirkan, sekiranya Nabi Muhammad s.a.w. masih hidup, saya percaya junjungan kita akan berdukacita melihat sesetengah pengikutnya hanyut dalam dunia lakonan yang penuh kepuraan," kata Ganjil.

       "Mavrik, awak terlalu fanatik!" kata Cikgu Husin.

       "Cikgu, usahlah anggap saya fanatik.  Saya hanya ingin sampaikan kebenaran," kata Ganjil.

       "Cikgu Husin geleng kepala dan suruh Ganjil bertenang."

       "Kau biar betul Mus.  Takkanlah Ganjil berani cakap macam tu?  Budak-budak dalam kelas tak sokong cikgu ka?"

       "Nak sokong macam mana?  Pendapat Ganjil ada kebenarannya."

       "Ganjil dah gila," tukas Salim.

       "Ya betul, Ganjil dah gila!  Apa yang Mus ceritakan semuanya benar," saya menyampuk dari luar sambil melangkah masuk.  Musa dan Salim terkejut besar ketika melihat saya.

       "Tahniah Mus!  Kau ada bakat besar untuk jadi juruhebah.  Pandai pula kau tiru gaya percakapan aku.  Dan kau Lim, kalau nak tahu cerita sebenar, aku boleh ceritakan dari A sampai Z.  Lepas tu, kau boleh buat kesimpulan sama ada aku gila atau tidak," perli saya.

       Musa dan Salim saling memandang dan terdiam.  Kemudian, tanpa saya sangka Musa menghulurkan tangannya untuk meminta maaf.

       "Maafkan aku Rik, aku sebenarnya tak berniat nak mengumpat kau atau memburuk-burukkan kau.  Malah, aku menghormati kau kerana berani bersuara walaupun kau tahu ada orang tak suka mendengar pendapat kau."

       Saya menggenggam tangan Musa dan memaafkannya.  Kemudian, Salim pula meminta maaf kerana menuduh saya gila.

       Sejak peristiwa saya ‘berkhutbah’ dalam kelas, saya mula dijauhi oleh semua rakan-rakan saya kecuali Fazil.

       Kata Fazil dia setuju dengan pendapat saya mengenai lakonan.  Cuma pada pendapatnya, soalan itu harus diselesaikan oleh ulama.  Katanya lagi, selagi ulama tidak tampil ke depan untuk menjelaskan pendirian mereka, usah harap masyarakat Melayu akan berubah sikap terhadap lakonan.

       Pada satu hari, Fazil mengenalkan saya kepada guru agamanya, Ustaz Makruf.  Menurut Fazil, Ustaz Makruf adalah lulusan dari sebuah universiti di Timur Tengah.

       Saya kagumi kefasihan Ustaz Makruf berbahasa Arab dan tertarik untuk belajar darinya setelah mendengar ceramahnya tentang sejarah Islam.

       Kata Ustaz Makruf, "Umat Islam zaman silam berjaya menjadi penyuluh peradaban dengan adanya deretan ulama dan ahli sains, seperti Ibn Sina, al-Khwarizmi, al-Ghazali, al-Farabi dan lain-lain."

       Saya amat kagum mendengar penjelasan Ustaz Makruf mengenai larangan melukis imej manusia.  Katanya, "Larangan ke atas seni melukis imej manusia harus dilihat dalam perspektif yang luas.  Ia bukan sekadar untuk mencegah umat Islam dari melukis wajah Rasulullah dan mendewakannya.  Ia boleh juga ditafsirkan sebagai pencegahan terhadap pornografi."

       "Kenapa ustaz kata begitu?" tanya saya.

       "Sebab, di kalangan pelukis, pasti ada yang tidak bertanggungjawab.  Pelukis yang rosak akhlak akan melukis imej wanita atau lelaki bogel dan mengatakan bahawa lukisannya adalah seni.  Bayangkan apa akan terjadi jika masyarakat terpengaruh dengan fahaman tersebut."

       "Tentulah pornografi akan bermaharajalela," kata saya.

       Kemudian Ustaz Makruf menerangkan bahawa biarpun Rasulullah melarang seni melukis manusia dan haiwan, kreativiti seniman Islam tidak mati.  Sebaliknya, mereka berjaya menghasilkan seni arabesque yang indah tanpa melukiskan imej manusia.  Mereka juga mengembangkan seni kaligrafi yang hingga kini masih diminati.

       Apabila saya tanya pendapatnya tentang seni lakon, Ustaz Makruf mengatakan bahawa seni drama seperti yang ada pada hari ini, tidak pernah wujud pada zaman kegemilangan Islam.  Menurutnya, penulis Islam zaman itu lebih banyak menghasilkan tulisan berbentuk ilmiah.

       "Allah sudah berikan kita Al-Quran dan sunnah Rasul untuk dipraktikkan.  Oleh itu, kita tak perlukan skrip drama dan filem untuk dilakonkan," kata Ustaz Makruf.

       Ustaz Makruf sentiasa menasihatkan saya dan pengikutnya supaya jangan menjadi golongan hedonis yang hanya mementingkan keseronokan dan hiburan.

       Setelah tiga tahun menjadi pengikut setia Ustaz Makruf, saya lebih bersemangat untuk terus mencari kebenaran.  Saya semakin yakin mengharungi liku-liku hidup.

       Satu hari, saya mendapat berita memeranjatkan.  Ustaz Makruf ditangkap polis atas tuduhan merogol seorang pengikut wanitanya.

       "Rik, apa pendapat kau tentang kes ustaz?" tanya Fazil.

       "Mustahil ustaz sanggup melakukannya.  Aku yakin ustaz telah difitnah. Maklumlah ada orang sentiasa iri hati tengok orang lain senang."

       "Aku pun fikir macam tu," kata Fazil.

       Saya bertambah yakin bahawa Ustaz Makruf tidak bersalah kerana beliau sendiri menafikan tuduhan tersebut dan minta dibicarakan.

       Setelah dibicarakan selama enam minggu, Ustaz Makruf didapati bersalah dalam kes tersebut.  Dia dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan rotan 24 kali.

       Hati saya hancur bila mendengar keputusan itu.  Orang yang saya sanjung rupanya syaitan bertopeng aulia.  Saya tak dapat menerima kenyataan itu.

       Sejak hari itu, saya jadi bingung dan kecewa.  Hanya Allah saja yang tahu betapa hampanya saya ketika itu.  Saya malu berhadapan dengan teman-teman, jiran-jiran dan saudara mara saya kerana sebelumnya, saya selalu memuji-muji Ustaz Makruf bila berbincang mengenai agama.  Malah, saya selalu mengajak mereka mendengar syarahan Ustaz Makruf.

       Akhirnya saya mengasingkan diri dari masyarakat dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.  Menurut keluarga saya, saya mula berkelakuan ganjil sebulan selepas kes Ustaz Makruf disiarkan di akhbar.

       "Rik, masa kau sakit, kau selalu laungkan azan kuat-kuat bila kau nampak kami tengok televisyen.  Kami terpaksa hantar kau ke Hospital Woodbridge bila kau mula bercakap seorang diri," kata kak Salma.

       Saya disahkan pulih setelah dirawat selama lebih enam bulan.

       Kini saya selalu berdoa agar Allah berikan saya ketenangan untuk menerima perkara yang tak dapat saya ubah, keberanian untuk mengubah perkara yang mampu saya ubah dan kebijaksanaan untuk mengharungi hari muka.  Amin.

 

˜ TAMAT

 

 

 

 

˜ MAVRIK 1995

 

Berita Minggu, 19 Nov 1995 (ms 10)

Jurnal Sastera UKM (edisi sulung), 1997