ACAM mana ni Profesor?  Nampaknya golongan alim makin termakan hasutan Dr Eric dan Cikgu Husin.  Sejak kebelakangan ini kelompok sekular tambah berjaya menarik ahli-ahli baru dari kalangan pengikut kita.  Kita tak boleh berdiam diri Profesor."

     "Dari mana awak dapat berita ini?"

     "Mana lagi, surat khabarlah!"

     "Habis tu, awak percaya?"

     "Profesor, berita ini berita sahih.  Lihat ni senarai nama-nama pengikut kita yang mula bersimpati terhadap kelompok sekular.  Antaranya Ustaz Sharel, Doktor Taufik, Encik Hamid, Encik Zainal dan beberapa orang anggota biasa.  Ada desas-desus mengatakan Hajah Noora juga sudah termakan hasutan Dr Eric dan Cikgu Husin."

     "Bertenang Fazil, jangan khuatir.  Nama-nama yang awak sebutkan tu tak mungkin berpaling tadah.  Mereka dah bersumpah untuk terus berjuang bersama kita.  Lagipun, mereka yakin kita di pihak yang benar setelah melihat sendiri kematian ngeri Profesor Surin tahun lalu!"

     "Tapi Profesor, saya ada bukti kukuh.  Lihat ini, gambar-gambar mereka yang dirakam waktu pementasan drama Sakinah.  Mereka ternyata turut memenuhi panggung.  Dan ini gambar Ustaz Sharel, sedang bersalaman dengan pengarah drama Sakinah.  Beliau dilaporkan memberi ucap tahniah kepada pelopor drama Melayu, sasterawan Rossac Akhlag."

     "Ya, ini memang Ustaz Sharel.  Tapi awak tak perlu bimbang.  Perjuangan kita hampir mencapai matlamatnya.  Saya yang hantar Ustaz Sharel ke sana untuk buat liputan dan jalankan kerja risikan."

     "Apa!?  Profesor yang suruh?  Tapi Profesor, banyak anggota kita yang terkejut dan keliru bila baca suratkhabar semalam.  Banyak yang gusar dengan tindakan Ustaz Sharel.  Beliau tak patut mengucapkan syabas pada sasterawan Rossac.  Tidakkah Profesor tahu drama Sakinah mengglamori dunia pelacuran kelas elit?"

     "Fazil, awak tak perlu khuatir.  Ustaz Sharel ke sana untuk mengumpul bahan bukti dan bukan untuk memberi sokongan moral seperti sangkaan orang ramai.  Saya pun tahu tentang plot drama Sakinah yang memang merisaukan ahli kita.  Maklumlah ada babak inses dan zina.

     "Bertenanglah, saya akan adakan usrah Jumaat depan untuk jelaskan duduk perkara sebenar.  Ustaz Sharel akan terangkan pada kita apa yang dilihatnya dan bincangkan cara-cara terbaik untuk membendung virus hedonis ini."

     "Jadi, ini semua memang rancangan Profesor?  Kenapa tak beritahu saya lebih awal?"

     "Hai, awak salahkan saya?  Bila kali terakhir awak hadir usrah kita?"

     "Errr, dah…"

     "Dah tiga usrah berturut-turut awak tak hadir!  Tapi, saya tak salahkan awak.  Saya faham awak sentiasa sibuk dengan tugas."

     Fazil terpinga-pinga dan rasa bersalah kerana sudah agak lama tidak mengikuti perkembangan Malay/Muslim Anti-drama Society atau lebih dikenali sebagai MADRAS.  Dia rasa bodoh apabila Profesor Mavrik sendiri jelaskan bahawa kehadiran Ustaz Sharel sudah dirancang.  Pelbagai pertanyaan timbul dalam kepala Fazil.

     "Wajarkah perbuatan Ustaz Sharel?  Adakah ini satu tanda bahawa Profesor mula berlembut akibat tekanan?  Sebelum ini Profesor pernah menyelar tokoh-tokoh agama yang berdakwah di kelab-kelab malam.  Mengapa kini biarkan anggota MADRAS menonton drama?

     "Jika benar nak jalankan risikan, kenapa mesti hantar Ustaz Sharel yang berpengaruh dan terkenal?  Bukankah ini boleh menimbulkan salah faham?  Hish, aku rasa tindakan Profesor kurang sesuai.  Sepatutnya dia hantar mujahid lain untuk merisik, bukan Ustaz Sharel.

     "Sekarang MADRAS kelihatan seperti patah taring.  Aku bimbang Profesor akan terus berlembut macam Yasir Arafat.  Lihat, sekarang ini Arafat makin hilang pengaruh kerana terlalu tunduk dan berlembut dengan pengganas Zionis.  Bukan itu saja, beliau seakan diperbodohkan oleh musuhnya yang sering melanggar perjanjian damai."

     "Ah, buat apa risau!  Aku punya prinsip sendiri.  Jika Profesor berlembut sekalipun, aku akan teruskan perjuangan tegar menentang virus hedonis agar ia tidak menjejas pertumbuhan rohani generasiku.

     "Biarlah aku dicap sebagai extrimis, fundamentalis, radikal, subversif atau apa saja.  Yang penting, aku yakin pendirian aku diredhai Allah.  Dialah yang maha kuasa dan perlu ditakuti, bukan golongan umarak atau ulama pro-Hollywood.  MADRAS tak harus tunduk sedikit pun kepada tekanan!"

     Jauh Fazil teroka alam fikirnya dalam perjalanan pulang dari menemui Profesor Mavrik.  Dia mula ragu dengan dasar dan prinsip beliau.  Sepanjang jalan, mindanya tertumpu kepada persoalan virus hedonis atau VHS yang amat digeruni ahli-ahli MADRAS.

     VHS lebih bahaya dari HIV yang menyerang fizikal seseorang.  Ini kerana penularan VHS lebih sukar dikesan dan melibatkan setiap anggota masyarakat!  Tambahan lagi, ia tidak mudah dikawal.  Malah, VHS boleh meruntuhkan seluruh peradaban seperti yang pernah berlaku ke atas kerajaan-kerajaan silam seperti kerajaan Rom, Byzantin, Turki Othmaniyah dan sebagainya. 

     "Mengapa Profesor cepat sangat mengalah?  Mengapa tidak tekal pertahankan dasar memboikot drama?  Ustaz Sharel dan beberapa ahli MADRAS ternyata melanggar prinsip dengan menonton drama Sakinah.  Setahu aku tiket menonton drama itu bukan murah. Paling rendah harganya $15 untuk pelajar.  Alangkah afdal jika wang itu disalurkan kepada dana masjid atau disedekahkan kepada orang susah.

     "Inilah yang buat aku gusar!  Di satu pihak, bijak pandai sering nasihatkan kita supaya berjimat dan derma kepada madrasah.  Kita dikatakan 'membazir' apabila sering mengerjakan umrah.  Kita ditegur kerana mengadakan majlis kahwin besar-besaran.  Tapi berpuluh ribu dolar habis untuk satu pementasan drama, bijak pandai sengaja buat bodoh!

     "Asatizah yang sibuk melaungkan nasihat supaya orang kita berjimat kenapa tutup mata dalam kes ini?  Tidakkah mereka sedar ada pementasan drama yang menelan belanja sampai 80 ribu dolar?  Bukankah wang sebanyak itu lebih elok didermakan kepada madrasah?

     "Inilah penyakit masyarakat Islam moden yang mabuk dunia.  Orang sibuk tingkatkan rohani, dituduh fanatik.  Orang kejar kebendaan sana-sini, dianggap pragmatik!

     "Nak tunggu sampai Tuhan turunkan azab seperti yang menimpa kaum Nabi Lut dan Nabi Nuh alaihisalam baru nak insaf?  Hai pemimpin bijak pandai, bukalah mata besar-besar.  Jangan jadi bijak keldai!

     "Aku rasa Profesor Mavrik dah lakukan kesilapan besar dengan mengamalkan dasar lembut.  Apapun alasannya, Ustaz Sharel tak perlu ucapkan syabas kepada Rossac.  Kenapa harus tunduk kepada tekanan?  Nabi Muhammad saw dan para rasul sebelum beliau tak pernah bertolak ansur menentang kebatilan.

     "Segala yang dinamakan maksiat dan kemungkaran, mesti diperang dan dihapuskan.  Tidak perlu kita tiru budaya Shakespeare yang ternyata sarat unsur-unsur maksiat.  Cukuplah kita dijajah secara fizikal.  Fikrah kita mesti dibebaskan segera!

     Introspeksi Fazil terbantut bila terasa ada orang menepuk bahunya dari belakang.  Apabila menoleh, dia dapati Musa yang mengejutkannya.

     "Masya Allah, kau rupanya Mus!  Nasib baik aku tak melatah dan kasi kau sebijik.  Apa kau buat kat sini?" 

     "Relaxlah Zil, aku tengah cari bahan berita.  Tiba-tiba aku nampak kau jalan menonong macam zombie.  Apa yang kau fikirkan?"

     "Oh, macam-macam.  Sampai nak pecah otak aku ni."

     "Zil, kalau kau tak keberatan, kita singgah kedai kopi sekejap.  Boleh kau ceritakan apa yang ganggu fikiran kau," cadang Musa.

     Musa yang sudah lama tak bertemu Fazil, rasa bertuah terserempak dengannya malam itu.  Fazil juga gembira bertemu bekas rakan sekolahnya yang kini bekerja sebagai seorang wartawan.  Setelah memesan minuman masing-masing, Fazil mulakan perbualan. 

     "Mus, meluat aku baca laporan akhbar semalam.  Kau kenal kan Ustaz Sharel, mujahid anti-drama dan orang kanan MADRAS.  Semalam ada berita tentang dia tengok drama."            

     "Oh, jadi itu yang merisaukan kau.  Eh, aku dengar MADRAS dah berlembut.  Apa kena dengan Profesor Mavrik?"

     "Inilah yang mengecewakan aku.  Dulu mati-mati Profesor Mavrik suruh kita boikot drama, tahu-tahu dia suruh Ustaz Sharel tengok Sakinah."

     "Drama R(A) yang dikarang oleh sasterawan Rossac Akhlag tu?"

     "Ya, drama yang paling aku menyampah dan aku rasa paling tak bermoral dalam sejarah sastera Melayu."

     "Hai, marah betul nampak, bawa bertenang Zil.  Minum kopi ni dulu."

     "Memang aku tengah marah.  Orang bijak pandai ingat kita ni budak-budakkah?  Tak tahu mana baik, mana buruk!  Mereka sibuk cakap pasal keruntuhan akhlak dan perlunya pelihara nilai-nilai Timur.  Bila kita sepakat boikot drama, demi memelihara nilai-nilai murni, mereka tuduh kita kolot dan buta seni.

     "Dah lah begitu, macam-macam lagi gelaran negatif bijak pandai kasi.  Kita fanatiklah, tak tahu sesuaikan diri dengan masyarakatlah, dan macam-macam label yang berbau fitnah.  Sepatutnya bijak pandai bersyukur ada orang yang masih sudi tegur kesilapan mereka dan beri nasihat.  Tapi tidak.  Sebaliknya, mereka kutuk kita sebab kononnya tak pandai menghayati seni."

     "Zil, aku faham perasaan kau yang tengah meluap tu, tapi janganlah cakap kuat sangat.  Semua orang tengok kat kita."

     "Biar semua orang dengar.  Biar semua tahu betapa bodohnya sesetengah pemimpin kita."

     "Fazil, cakap pelan-pelan, nanti ada orang 'FBI', kita juga yang susah."

     "Mus, jangan takut, orang 'FBI' tak akan tangkap aku sebab aku cuma seekor semut.  Mereka hanya tangkap tebuan yang suka menyengat."

     "Memanglah mereka tak tangkap semut tapi mereka picit sampai mati."

     "Kalau aku mati kau pasti jadi jutawan."

     "Apasal pulak?"

     "Kau boleh tulis novel tentang perjuangan seorang revolusioner menentang drama yang akhirnya menjadi mangsa kecaman golongan sekular.  Aku percaya cerita ini pasti hebat.  Ada konflik, ada drama, ada kemarahan, ada penindasan, ada ketidakadilan, malah ada potensi memecah box-office jika difilemkan.  Aku puas jika ditakdirkan mati sebagai mujahid yang menentang pergaulan bebas dalam drama dan filem."

     "Janganlah cakap pasal mati Zil.  Perjuangan kau belum selesai. Aku percaya lambat laun masyarakat akan terima wawasan MADRAS.  Pokoknya kau tak boleh patah semangat atau hangat-hangat tahi ayam.  Kau mesti beristiqamah dan sentiasa berdoa agar masyarakat kita sedar bahaya budaya drama."

     "Mus, kau mesti tolong aku.  Kaulah satu-satunya wartawan yang faham visi dan misi MADRAS.  Kau perlu sebarkan mesej MADRAS kepada masyarakat.  Gunakanlah bakat menulis kau untuk kebaikan.  Jangan jadi seperti sasterawan Rossac Akhlag yang asyik menulis karya porno.  Atau seperti sesetengah penulis yang kerap mengulas karya orang tapi berdiam diri macam siput babi dalam menghadapi isu pergaulan bebas dalam drama dan filem.

     "Ingat Mus, kita orang Islam.  Kiblat kita Kaabah.  Bukan Globe Theatre atau Hollywood.  Hidup dan mati kita biar untuk Allah seperti yang kita lafaz setiap hari dalam doa Iftitah.

     "Budaya drama dan filem sering menjauhkan masyarakat dari mengamalkan nilai-nilai Islam.  Kita dah lama dijajah oleh ideologi Barat yang dari dulu memusuhi Islam.  Kini sudah tiba masanya kita bangkit dan tegakkan kembali kegemilangan tamadun Islam.  Kita mesti berjihad dan hapuskan virus hedonis dalam bentuk drama dan filem maksiat."

     "Zil, aku memang berminat menyertai MADRAS, tapi tugas aku kadang kala memerlukan aku menulis yang baik-baik saja tentang sesebuah persembahan drama atau filem.  Itu yang buat aku serba salah.  Aku mesti ikut selera editor dan tak boleh suka-suka kutuk drama.  Aku mesti jaga periuk nasi aku."   

     "Aku faham Mus.  MADRAS sendiri mengamalkan konsep tiada paksaan dalam menambah bilangan anggota dan menyampaikan mesejnya kepada masyarakat.  Cuma aku bimbang Profesor Mavrik dah mula berlembut dan tak sekeras dulu.  Musuh Islam sering ambil kesempatan atas sifat lembut orang Islam seperti yang terjadi di Turki, Algeria, Bosnia, Xinjiang, Chechnya, Myanmar dan beberapa negara lain.

     "Mus, kalau kita biarkan virus hedonis mengalir dalam darah setiap Muslim, lambat laun orang Islam di rantau ini akan berfahaman sekular.  MADRAS tak mahu orang Melayu/Islam jadi sekular macam Kamal Atarturk.  Atau murtad macam Salman Rushdie dan Taslima Nasreen.  Mulanya mereka berfahaman toleran dan sederhana, akhirnya terus jadi skeptikal dan buang agama.

     "Eh Zil, cakap punya cakap, dah pukul sepuluh, lain kali kita sambung.  Seronok dapat berbual dengan kau tentang MADRAS.  Banyak yang boleh aku tulis."

     "Mus, jangan lupa, Jumaat depan ada usrah.  Aku boleh kenalkan kau dengan Profesor Mavrik.  Nanti aku page kau kalau confirm."

     Fazil melangkah pulang dengan rasa terharu.  Dia tak sangka Musa yang kerap mengulas persembahan drama rupanya berminat terhadap perjuangan MADRAS.  Kalau Musa rela menganggotai MADRAS, Fazil ada rancangan untuk mencalonkan namanya sebagai jurucakap MADRAS.

     Pertemuan Fazil dengan Musa seolah menjanjikan era gemilang buat MADRAS.  Wartawan seperti Musa adalah aset berharga yang mesti dimiliki oleh MADRAS jika ingin menyempurnakan misinya, fikir Fazil.  

˜ ˜ ˜

     Ustaz Sharel memberi salam kepada lebih 300 ahli MADRAS yang telah berkumpul di markas mereka sebelum membentangkan laporannya.  Usrah kali ini nampaknya mendapat sambutan di luar dugaan hingga terpaksa diadakan di auditorium Wisma MADRAS.

     Selalunya sekitar 30 ahli yang hadir dalam usrah bulanan persatuan itu dan ceramah hanya disampaikan dalam bilik persidangan.  Perkembangan terbaru ini memberi nafas segar kepada para peneraju MADRAS.  Penat lelah mereka mentarbiyah masyarakat tentang bahaya drama sejak beberapa tahun lalu nampaknya mula berhasil.      

     "Hadirin yang dihormati, terima kasih kerana sudi meluangkan masa emas hadirin untuk bersama saya pada malam ini.  Tajuk perbincangan hari ini ialah Menjana Hiburan Halal atau Generating Halal Entertainment.  Jawatankuasa Bertindak MADRAS (JBM) telah melakukan penyelidikan mendalam terhadap pelbagai jenis hiburan yang terdapat dalam masyarakat Melayu/Islam sejak awal kurun ini hingga dekad ini dan mengenalpasti empat hiburan utama yang mengandungi unsur-unsur yang amat bercanggah dengan ajaran Islam. 

     "Yang pertama ialah drama dan filem yang melibatkan pergaulan bebas antara wanita dan lelaki ajnabi atau bukan mahram.  Kedua, konsert muzik yang menampilkan penyanyi dan pemuzik yang tidak berkeperibadian Muslim.  Ketiga, persembahan dikir barat yang mana ahlinya tidak menghormati tata susila Islam.  Keempat, semua jenis tarian yang mana terdapat pergaulan bebas dan pergerakan memberahikan oleh penari wanita dan lelaki.

     "Pada pandangan kami, empat jenis hiburan ini mesti dijauhi oleh masyarakat kerana boleh mendatangkan masalah sosial dalam jangka panjang.  Apa yang paling menonjol dalam tinjauan kami ialah penggiat drama/filem, muzik, dikir barat dan tarian kebanyakannya mengambil ringan kewajipan menutup aurat dan kewajipan bersolat.  Aspek menutup aurat dan menghormati waktu solat mesti diambil kira dan diutamakan jika para pemimpin kita ingin menggalakkan seni dan hiburan dalam masyarakat. 

     "Misi utama MADRAS ialah menyedarkan masyarakat tentang kewajipan kita menjana hiburan halal.  Oleh itu, MADRAS sentiasa tekankan bahawa sesuatu persembahan hanya boleh dianggap halal jika penggiatnya menutup aurat di khalayak ramai, menunaikan solat bila sampai waktu dan tidak melanggar tata susila Islam. Selagi penggiat seni berbangga mendedahkan aurat dan meremehkan waktu solat, kami tidak akan menyokong sebarang kegiatan mereka.

     "Kami amat prihatin tentang penampilan dan perilaku artis kerana golongan ini amat berpengaruh.  Peminat suka meniru fesyen dan tingkah laku artis.  Oleh itu adalah wajar menggalakkan artis menutup aurat dan menjauhi pergaulan bebas.

     "Fikirkan logik ini.  Sesuaikah seorang artis yang bertudung atau bersongkok mendendangkan lagu dan terkinja-kinja dalam disko?  Tentu tidak!  Jadi, menutup aurat dan berpakaian Muslim secara automatik boleh menghindarkan orang Islam dari melibatkan diri dalam hiburan yang tidak Islamik.

     "Dengan menutup aurat, misalnya, seseorang pelakon, baik lelaki atau wanita akan sentiasa sedar bahawa dia mesti menjaga tingkah lakunya sesuai dengan jati dirinya.  Begitu juga penari dan ahli dikir barat.  Pakaian yang menutupi aurat memberi citra positif kepada pemakainya.

     "Pernahkah hadirin fikirkan mengapa biarawati Nasrani pun memakai tudung dan bukan hanya wanita Islam?  Tidak lain kerana pakaian sopan itu lambang mahmudah!  Lantaran itu, kita perlu galakkan seniman Islam menutup aurat agar hiburan yang mereka sajikan tidak mengandungi unsur-unsur maksiat.

     "Kami telah menonton drama Sakinah yang dipentaskan oleh Teater Bohemian baru-baru ini dan kami dapati kesemua pelakonnya, baik wanita atau lelaki, tidak menutup aurat.  Babak inses dan zina dilakonkan tanpa segan silu dan tanpa tapisan.  Lantas kami telah membuat aduan kepada Majlis Ulama Kota Maddia (MUKM) agar mengeluarkan fatwa melarang pementasan serupa pada hari muka. 

     "'Sakinah' bermakna damai atau tenang dalam bahasa Arab.  Ironisnya, drama ini meninggalkan kesan kacau dalam jiwa audiens.  Yang saya alami bukan katarsis selepas menonton teater itu tapi perasan mual dan kecewa.  Para pelakon yang saya interviu selepas persembahan itu semuanya gagal membaca surah Al-Fatihah dengan tajwid yang betul.  Lebih menyedihkan, ada yang tak tahu makna surah itu!  Anehnya mereka mampu menghafal skrip drama Sakinah yang panjang berjela.

     "Pihak media telah memutarbelitkan fakta kehadiran kami pada pementasan itu.  Kami dilaporkan memberi sokongan moral dan memuji drama Sakinah.  Walhal tujuan kami kesana untuk menyebarkan utusan MADRAS.  Kami telah menasihati para pelakon Sakinah agar berbincang dengan para ulama sebelum mengadakan apa-apa pementasan.  Hal ini tidak pula dilaporkan dalam akhbar!

     "Hadirin, MADRAS perlukan sokongan padu masyarakat.  Sebarkanlah mesej MADRAS di mana saja anda berada.  Perjuangan ini amat penting demi memelihara kemurnian Islam.  Rasulullah s.a.w. dan masyarakat Islam silam berjaya membunuh virus hedonis atau VHS.

     "Kesannya, drama tidak pernah wujud pada zaman Nabi dan sepanjang zaman keemasan Islam.  Ia hanya muncul tanpa kawalan sejak awal kurun ini akibat pengaruh negatif media Barat.

     "Mengapa kita biarkan VHS yang lebih bahaya dari HIV, hidup kembali?!  

     "Golongan sekular sering menuduh mujahid MADRAS sebagai 'pembunuh budaya'.  Tapi kami rasa kami tidak layak mendapat gelaran mulia itu.  Gelaran itu seharusnya diberikan kepada para rasul yang berjaya mempopularkan konsep amar makruf nahi mungkar.  Kami hanya penyambung ajaran para rasul, tidak lebih dari itu.

     "Saya ingin menyeru hadirin agar beristiqamah dalam beribadah dan usah gentar menghadapi serangan dari golongan anti-MADRAS yang diketuai oleh Dr Eric dan Cikgu Husin.  Jadikanlah kematian Profesor Surin dalam Perbahasan Pemikir Prima satu peringatan bahawa perjuangan kita diredhai Allah.

     "Ingatlah janji Allah dalam surah Al Baqara ayat 2:212

     "Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman.  Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat.  Dan Allah memberi rezki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas."

     "Akhir kata, tingkatkanlah usaha kita menjana hiburan halal.  Pesan-pesanlah kepada seniman Islam supaya menutup aurat dan selalu berdamping dengan para ulama.  Insya-Allah, dengan cara ini citra umat Islam akan kembali bersinar dan dihormati warga dunia." 

˜ ˜ ˜

Menjana Hiburan Halal

Pesan MADRAS untuk Muslim

Oleh Musa Bin Malik

--------------------------------------------------------

KOTA MADDIA: Lebih 300 ahli Malay/Muslim Anti-Drama Society (MADRAS) telah menghadiri ceramah Menjana Hiburan Halal di auditorium Wisma MADRAS Jumaat lalu...

     Laporan dan pendedahan Musa tentang aktiviti MADRAS dalam akhbar Mingguan Cendekia bertarikh 7 September mengejutkan masyarakat Melayu.  Di luar dugaan, pejabat akhbar tersebut dihujani beratus-ratus panggilan telefon yang mengalu-alukan dan memuji keberanian Musa menyiarkan isu sensitif ini secara profesional dan bertanggungjawab.  Bermulalah era baru dalam sejarah kesusasteraan Melayu

     Kini Profesor Mavrik, Dr Taufik, Ustaz Sharel serta beberapa mujahid MADRAS sedang bertungkus-lumus menyiapkan sebuah buku yang kandungannya boleh mengubah pola kesusasteraan Melayu dan Islam.  Buku yang ditaja sebahagiannya oleh MUKM dan MADRAS akan dicetak pada penghujung tahun ini, insya-Allah.  Ia diberi tajuk 'Drama: From the Islamic Perspective'.

 

˜ TAMAT

 

 

 

 

˜ MISI 1997