ERTAMA kali Ummi lihat Babang di kampus SIM, Ummi terkejut kerana Babang tidak seperti yang Ummi bayangkan sebelum berjumpa dengannya.  Ummi dapati Babang berkulit cerah. Padahal dalam gambar yang Ummi lihat di laman jaring Babang, kulit Babang gelap macam Mat Bangla. "Hensem jugak si Babang ni,  Tapi kenapalah dia kudut sangat," cetus hati Ummi ketika kali pertama bertentang mata.

      "Awak Maeyniz?" -- ungkapan pertama yang meluncur dari bibir Babang bila dia tercegat di depan Ummi.  Suara Babang yang Ummi dengar secara langsung lebih sedap dari suaranya yang selama ini Ummi dengar melalui fonsel.  "Dan awak Babang? Kenapa tak tunggu kat atas saja tadi?". Jantung Ummi mula berdegup cepat bila Ummi rasa Babang merenung wajah Ummi seperti Romualdo yang jatuh cinta pandang pertama pada Phantaghiro.

      "Saja nak jemput Maeyniz naik ke atas.  Kalau Babang tak turun, takut Maeyniz tak nak naik pulak.  Terlepas peluang Babang jumpa Maeyniz nanti," jawab Babang. Ummi faham apa yang ditakutkan Babang.  Tapi Babang tak tahu yang Ummi takut kalau dia jatuh hati pada Ummi. Tubuh Babang terlalu kurus berbanding badan Ummi dan langsung tidak menarik pada pandangan Ummi.  "Janganlah si kudut ni syok kat aku," doa Ummi dalam hati.

      Pertemuan singkat pada waktu rehat semasa menghadiri kuliah di aras yang berbeza pada malam itu, berlaku ketika Ummi dilanda dilema yang dahsyat.  Zali, pemuda idaman Ummi, sehingga saat itu masih bermain 'sorong-tarik' dengan perasaan Ummi.  Ummi sangat berharap dapat mendirikan mahligai bahagia bersamanya kerana Zali pandai mengambil hati Ummi.  Tapi masalahnya, Zali tidak pernah luahkan perasaan sebenarnya terhadap Ummi walaupun Ummi dapat rasakan dia juga menaruh hati terhadap Ummi seperti apa yang Ummi rasa terhadapnya. 

      Sebagai seorang perempuan, Ummi tak mahu jadi seperti perigi cari timba,  tapi Zali tak juga mengambil peranannya sebagai timba. Entah kerana malunya yang mengalahkan perempuan atau sukar membuat pilihan kerana peminatnya yang ramai, tak dapat Ummi pastikan.

      Dalam kebuntuan dan penantian yang menyeksa batin, Babang muncul secara mendadak dalam episod cinta Ummi.  Timbul satu masalah lagi nampaknya.  Ummi masih menantikan Zali menzahirkan perasaannya pada Ummi ketika Babang dengan selamba menawarkan seluruh jiwa jisimnya pada Ummi tanpa berselindung. 

      Lain yang Ummi idamkan, lain pula yang menonjolkan diri.  Ummi mula cemas bila Babang mula berani desak Ummi menerima dirinya sebagai calon suami belum pun sampai seminggu sejak bertemu.  Walhal, Ummi langsung tak ada perasaan cinta padanya.  Nak kata hidung Babang tak mancung, pipi tersorong-sorong pun tak boleh kerana hidung Babang agak mancung walau tak setajam hidung Pinocchio.

      Pada malam bersejarah itu, Babang dengan selamba mengajak Ummi makan tengahari bersamanya pada esok hari.  Ummi tak berani beri jawapan pasti dan setakat mengatakan insya Allah pada Babang.

      Esoknya, Ummi jadi juga jumpa Babang di McDonald’s dekat Stesen MRT Orchard.  Dengan kemeja lengan panjang dan seluar tempahnya, Babang kelihatan ranggi pada hari itu.  Malah seksi pada mata Ummi. Tapi Ummi tetap anggap Babang terlalu kurus untuk diangkat sebagai calon suami.  

      Perbualan Ummi dan Babang tengahari itu berkisar pada kerjaya masing-masing dan kursus ijazah secara sambilan yang sedang diikuti di SIM.  Babang berada di tahun akhir pengajian dan bakal bergelar graduan bahasa Inggeris sedangkan Ummi baru berada di tahun pertama.  Babang menceritakan kepada Ummi betapa sulitnya membahagi masa untuk mengulangkaji pelajaran sepanjang tempoh pengajiannya. Mentelah lagi usia Babang sudah melewati 30.  Kata sesetengah orang, otak pun dah berkarat.

      Namun, ada rakan sekuliah Babang yang sudah berusia lewat enam puluh dan telah bersara tapi masih bertenaga memburu ilmu di usia sebegitu.  Kehadiran guru pesara itu memberi motivasi dan inspirasi untuk Babang meneruskan pendakian walau pernah terfikir untuk berhenti separuh jalan pada suatu ketika.  Semangat menuntut ilmu hingga ke liang lahat begitu kental dalam sesetengah orang sementara ada yang diberi peluang bersekolah, lebih gemar ponteng atau berhenti sekolah walau belum mendapat sebarang sijil asas pendidikan, tegas Babang.

      Kata Babang lagi, pelbagai jenis rintangan ditempuhi pelajar-pelajar dewasa.  Ada antara mereka yang menduduki peperiksaan ketika sarat mengandung.  Lazimnya, pelajar yang sudah berumahtangga dan menyara keluarga mendapati lebih sukar mengikuti pengajian berbanding yang masih bujang kerana perlu menguruskan keluarga dan meluangkan masa untuk belajar. Inilah antara sebab Babang menangguhkan niat untuk berkahwin lebih awal kerana ingin memiliki segulung ijazah dulu sebagai bekal mengharungi hari depan.

      Kini Babang sudah bersedia menempuh alam perkahwinan dan entah bagaimana Ummi pula yang jadi sasarannya.  Ummi hanya ingin menganggap Babang sebagai kawan biasa dan tak lebih dari itu.  Tapi Babang dah jatuh hati pada Ummi dan mati-mati ingin mengahwini Ummi.  Sejak pertemuan kedua, Babang mula tak henti-henti mengirim SMS, merayu Ummi menerima cinta Babang yang melimpah ruah.  Jadi seram Ummi dengan desakan dan kerenah Babang yang semacam desperado.

      Dalam banyak-banyak kawan lelaki yang Ummi kenali, belum pernah Ummi jumpa seorang yang seberani dan sedegil Babang.  Dah kebas jari Ummi tekan butang fonsel dan kering liur Ummi mengatakan tidak dan menolak cinta Babang bulat-bulat, tapi Babang tak faham bahasa.  Babang tetap menghantar SMS berhambur kekata cinta hingga Ummi terfikir untuk menukar saja nombor fonsel demi menyelamatkan diri dari Babang.

      Ummi tidak mahu terima cinta Babang bukan semata-mata kerana Babang terlalu kurus atau kerana janggut dan misai Babang yang merimbun, Babang sebenarnya tampan jika bercukur rapi dan Ummi selesa berjalan di samping Babang yang lebih tinggi dari Ummi sekalipun Ummi memakai kasut tumit tinggi.  Yang menghalang Ummi dari menerima cinta Babang ialah secebis harapan yang masih berbara di hati Ummi.  Harapan untuk melayari hidup bersama Zali. 

      Babang tahu dilema yang Ummi hadapi dan betapa sukar baginya menawan hati Ummi selagi Ummi masih menanti Zali.  Dia sedar Ummi tidak taruh hati langsung padanya.  Justru Babang akhirnya reda dengan pendirian Ummi dan mengirim sekuntum sajak sebelum mula mengundur diri.  Sajak bertajuk 'Kita hanya sahabat' itu amat mengharukan hati Ummi hingga timbul belas yang mendalam terhadap Babang.  Ummi masih simpan sajak itu hingga hari ini.  Tulis Babang:   

Jelas, takdir begitu kejam

tak pernah ku temui

idaman yang semimpi

tak perlu sekajang alasan

aku bukan cangkir sirapmu

itu hakikatnya

laluan kita telah bersilang

hanya sebagai sahabat

entah mengapa

tiap kali ku cuba

'Tidak' jawabannya

sedang jauh di sanubari

ku sangka doaku telah dimakbuli

hanya mendapati

ia tak seperti yang ku ingini

kita hanya sahabat

jika itu yang kau pinta

namun kau kan tetap ku terima

menjadi mitra jiwaku

andai Allah berkenan satukan kita

di suatu masa …

Setelah membaca sajak Babang, Ummi mula simpati padanya.  Babanglah orang pertama yang mencipta sajak buat Ummi.  Terasa diri begitu dihargai dan disanjungi.  Perhatian sebegini merupakan pengalaman manis buat Ummi walau isi sajak Babang bernada sayu. Namun dalam kesayuan, ada jalur harapan.

      Teringat pula Ummi pada lagu sentimental Suatu Masa.  Lagu yang menjadi siulan Ummi ketika remaja.  Mungkin Babang  mendapat ilham mencipta sajak sayu buat Ummi dari lagu itu, fikir Ummi.  Walau kata-katanya berbeza, isinya hampir sama – cinta tak terbalas.  Mungkinkah simpati Ummi akan berubah menjadi sayang buat Babang di suatu hari nanti?  Soalan ini kerap menyelinap dalam benak Ummi. 

      Bukan niat Ummi menghampakan hati Babang dengan menolak cinta Babang.  Ummi masih mencintai dan mengharapkan Zali yang ilmu ukhrawinya lebih tinggi dari Babang.  Ummi ingin memiliki suami yang dapat membimbing Ummi dan anak-anak menjadi isteri dan insan-insan soleh.  Mampukah Babang menjadi imam dan memimpin solat jemaah sedangkan Ummi dapati Babang kerap ponteng solat?

Pandangan Babang terhadap Islam juga kadangkala menakutkan Ummi.  Pernah Babang kemukakan soalan yang seakan meragui kewenangan Allah dengan menyatakan Allah juga ada 'menipu' dalam kitab suci AlQuran.  Babang kata, "Malaikat dah tentu tak dapat namakan benda-benda di hadapan Allah tanpa diajar terlebih dulu seperti mana Allah telah ajarkan kepada Nabi Adam alaihisalam.  Jadi, bukankah perintah Allah supaya malaikat tunduk kepada Adam kerana tidak dapat menamakan benda-benda seperti 'menipu' atau 'mempermainkan' malaikat?"

      Mengucap panjang Ummi bila Babang berani kata Allah 'menipu'.  Ummi terpaksa berhujah mengatakan kisah yang terdapat dalam surah AlBaqarah sebenarnya bukan bertujuan membayangkan Allah sebagai 'penipu'.  Tetapi kisah penciptaan Nabi Adam alaihisalam itu bermaksud menunjukkan kekuasaan Allah atas semua ciptaanNya.  "Bukankah malaikat bersikap tidak wajar apabila mempersoalkan rancangan Allah ingin menurunkan khalifah di muka bumi?  Malah, prasangka malaikat yang mengatakan manusia akan membuat onar dan menumpahkan darah di muka bumi, jelas menunjukkan, malaikat 'cemburu' kepada manusia," terang Ummi.

      "Kita mesti percaya semua yang terkandung dalam AlQuran adalah benar.  Allah sudah beri amaran supaya kita tidak mengikuti Iblis yang enggan tunduk hormat kepada Nabi Adam alaihisalam kerana keangkuhannya.  Firman Allah dalam surah 2, ayat 39: "Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya."  Tidakkah Babang takut dengan kemurkaan dan balasan Allah?" Ummi cuba nasihati Babang.

      Jawapan Babang tambah memeranjatkan Ummi.  Babang dengan spontan mengatakan yang dia kadangkala meragui adanya neraka.  Kata Babang, "Jika Allah Maha Pengasih, mengapa Allah perlu cipta neraka sedangkan Allah tahu manusia yang dijadikanNya amat lemah dan cenderung membuat dosa dan melanggar perintahNya.  Mengapa perlu Allah seksa dan jahanamkan ciptaanNya sendiri?"

      Terperangah Ummi mendengar kata-kata babang.  Tapi Ummi tidak mati akal.  Pernah soalan serupa ditanyakan oleh seorang rakan Hindu Ummi yang ingin tahu mengapa orang Islam dan Kristian mempercayai wujudnya syurga dan neraka.  Lalu Ummi terangkan kepada Babang seperti yang Ummi jelaskan kepada rakan Ummi dulu.

      "Inilah bukti Allah Maha Adil.  Di dunia, manusia mungkin terlepas hukuman jika berlaku salah kepada orang lain.  Misalnya, ada manusia yang diseksa dan dipaksa oleh golongan berkuasa untuk meninggalkan agama yang diyakininya.  Jika ingkar, mereka dibunuh.  Ramai orang yang tidak bersalah dihukum dan dianiaya oleh pemerintah yang zalim kerana cuba membela nasib golongan yang tertindas.  Jadi, neraka dicipta untuk menghukum mereka yang zalim di dunia."

      Babang cuma tersenyum mendengar penjelasan Ummi.  Apa yang bermain di fikiran Babang ketika itu hanya Allah yang tahu.  Ummi sentiasa berdoa agar Allah pelihara akidah Babang dari terpesong. 

      Pada lain ketika, Babang ada mengatakan hukuman Islam tidak adil dan tidak memihak kepada wanita.  Kata Babang, syariah mewajibkan seseorang wanita yang mengadu bahawa dia telah dirogol untuk mengemukakan empat saksi sebelum kesnya dapat diadili.  Kata Babang, "Mana boleh mangsa rogol kemukakan empat aksi, Kalau sudah ada empat saksi, kejadian rogol mesti tak berlaku.  Lainlah kalau empat saksi tadi turut sekaki.  Balik-balik, mangsa rogol yang teraniaya sedangkan pesalah dibebaskan."

      Mulanya Ummi rasa hujah Babang memang benar dan agak terkilan jika itulah yang dikehendaki syariah.  Tetapi setelah merujuk kepada Al Quran, Ummi yakin yang Babang telah tersilap menafsirkan firman Allah dalam kes ini.  Jauh dari berlaku zalim kepada wanita, Al Quran sebenarnya menggariskan perintah yang mempertahankan maruah wanita.  Ayat yang tercatat dalam surah AnNur ialah, "Dan mereka yang menuduh wanita-wanita  mulia (berbuat zina) tetapi tidak mengemukakan empat saksi, deralah mereka (yang menuduh) dengan lapan puluh sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka lagi. Sesungguhnya mereka itu orang-orang yang fasik – kecuali mereka yang kemudiannya bertaubat dan memperbaiki diri.  Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Penyayang." 

      Bukankah ini jelas menunjukkan Allah ingin melindungi kaum Hawa, bahkan kaum Adam dari menjadi mangsa fitnah?  Firman Allah lagi, "Dan mereka yang menuduh isterinya berzina tetapi tidak mempunyai saksi kecuali diri mereka sendiri, persaksian penuduh ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah bahawa dia berkata benar."

"Dan isterinya akan terhindar dari hukuman dengan bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali jika apa yang dikatakan oleh penuduh adalah pembohongan." 

      Isu ini jika tidak dikupas secara terperinci oleh ulama, boleh mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.  Hikmah dari ayat-ayat AlQuran dalam konteks ini ialah menjauhkan diri dari membuat fitnah ke atas orang lain. Kes rogol adalah berbeza dari kes fitnah.  Seseorang mangsa rogol tentulah tidak diperlukan mengemukakan empat saksi untuk membuat tuduhan jika mangsa dapat mengenalpasti identiti perogol.

      Jadi, Ummi selalu nasihatkan Babang supaya kaji dulu hukum syariah sebelum cepat menuduh Islam sebagai kolot atau tidak adil.  Ummi tegaskan pada Babang, jika Islam tidak adil, kolot serta menghalang kemajuan, tidak mungkin orang Yahudi, Kristian dan Islam hidup rukun dan mencipta tamadun gemilang di Andalusia di bawah pemerintahan Islam selama hampir lapan ratus tahun.  Malah, semasa Gereja Katolik melakukan Pasitan (Inquisition), ribuan orang Yahudi mencari perlindungan di negara-negara Islam di utara Afrika.  Mujur Babang bersikap terbuka dan dapat terima hujah-hujah Ummi serta mengaku kesilapannya dalam beberapa perkara.

      Banyak lagi perbahasan antara Ummi dan Babang yang ingin Ummi ceritakan, tapi Ummi terpaksa hentikan rakaman ini setakat ini.  Mata Ummi dah kelat. Kita sambung di lain hari, k.

 

˜ TAMAT

 

 

 

 

 

 

˜ MONOLOG 2003

 

Berita Minggu, 29 Feb 2004 (ms 14)