I Pengintip mengesat peluh di dahinya. Dia berasa seperti ingin membuka pakaian seragam askar yang dipakainya. Panas matahari rembang benar-benar mencengkam tubuh kurus Si Pengintip.

       "Endure, endure," kata-kata itu sering dibisikkan ke dalam hatinya tiap kali menghadapi kesukaran.  "Apapun cabaran yang datang kau mesti tabah jalankan tugas sulit ini," pesan ketua Si Pengintip kepadanya.

       Si Pengintip sedar dia mesti sempurnakan tugas penting itu sebelum malam tiba. Dia terpaksa mengintip pada waktu siang kerana penghuni teratak lazimnya tidur awal.

       Pohon rambutan yang jaraknya beberapa meter saja daripada teratak itu menjadi tempat persembunyian Si Pengintip. Dari celah-celah daun, dia memerhatikan gerak-geri penghuni teratak melalui kamera videonya.

       Jendela teratak yang terbuka luas dengan langsir terselak memudahkan tugas Si Pengintip. Dia yakin rahsia yang dicarinya akan ditemuinya melalui jendela itu.

       Si Pengintip bersyukur kerana cuaca pada tengahari itu amat cerah. Sesekali bayu bertiup lembut, mengurangkan cengkaman terik matahari.

       "Minta-minta janganlah hujan," doa Si Pengintip.

       Selalunya Si Pengintip tidak kisah dengan hujan kerana dia percaya bahawa hujan itu rahmat. Tapi jika hujan turun ketika itu, tugasnya pasti tertangguh. Penghuni teratak itu tentu menutup jendela dan dia pula akan berada dalam bahaya bila petir sabung-menyabung.

       Si Pengintip tidak mahu menangguhkan kerjanya kerana setiap detik berlalu bermakna berjuta jiwa akan gugur di medan pertempuran. Setiap hari ada saja peperangan berlaku di seluruh dunia. Ada saja pembunuhan sesama manusia.

       Tugas Si Pengintip bukan tugas main-main. Si Pengintip akan dipersalahkan oleh masyarakat jika gagal membongkar rahsia penghuni teratak. Dia mesti bertindak cepat.

       Sudah berpuluh tahun Si Pengintip mengembara untuk mencari rahsia yang bakal mencipta damai di dunia. Kini dia semakin hampir mencapai matlamatnya setelah mendapat maklumat tentang tiga saudara kembar yang tinggal di Desa Permai.

       Si Pengintip telah diberitahu bahawa penghuni teratak itu, iaitu Timah, Linah dan Surin adalah tiga saudara kembar yang hidup rukun.  Tugas Si Pengintip ialah mengupas rahsia mereka supaya ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.  Si Pengintip juga dikehendaki mengkaji latar belakang penghuni teratak dan mendapatkan nama penuh mereka.

       Menurut maklumat yang diterimanya, penghuni teratak itu yatim piatu, berusia dalam lingkungan dua puluh tahun dan masih belum berkahwin.

       Ketika Si Pengintip merakamkan gerak-geri mereka, Timah, Linah dan Surin sedang hangat membincangkan masalah kekurangan wang untuk mengubahelok teratak mereka.

       Perbualan mereka dapat diikuti dengan jelas oleh Si Pengintip kerana semasa mereka keluar ke pekan, Si Pengintip telah memasang peranti pepijat pada tempayan yang berada di tepi tangga teratak.

       Dengan mengikuti perbualan mereka melalui fonkepala yang dipakainya, Si Pengintip berasa seolah-olah sedang mendengar sebuah drama radio. "Nasib baik ada peranti pepijat, kalau tidak aku kena lekapkan telinga di dinding," hatinya berkata.

       Di dalam teratak, penghuninya tidak sedar ada mata yang memerhatikan gerak-geri mereka dan ada telinga yang mendengar perbualan mereka. Di atas pohon, Si Pengintip berasa seperti menjalankan tugas malaikat sambil mencatatkan perkara yang menarik perhatiannya.

       Di antara tiga saudara itu, Linah didapati lebih pintar berhujah sehingga Timah dan Surin sering mengalah kerana tidak dapat menyanggah pendapat Linah yang selalunya benar.

       "Macam mana nak dapatkan wang yang banyak untuk besarkan rumah kita ni ya?" tanya Timah kepada Linah.

       "Apa kata kita bela toyol banyak-banyak, lepas tu kita suruh curi duit dalam bank?" Surin mencelah.

       "Eh eh, masih percaya tahyul," kata Si Pengintip dalam hati.

       Timah dan Linah tersentak mendengar cadangan Surin sehingga mereka terdiam dan tergamam seketika.

       "Aku fikir idea tu sangat baik. Lebih-lebih lagi kalau toyol mampu kumpulkan banyak wang," kata Linah.

       "Masalahnya sekarang, aku tak yakin dengan kebolehan toyol. Kalau dia kena tangkap, kita juga yang susah.  Mana nak letak muka kalau orang tahu kita bela toyol?" tanya Linah.

       Timah terkejut bila mendengar kata-kata Linah.  "Masya-Allah, kau orang berdua tak takut berdosakah? Bukankah itu berkawan dengan syaitan? Kalau itulah cara terbaik mengikut kepala otak kamu, aku rasa pengemis tepi jalan lebih mulia dari kamu! Sekurang-kurangnya dia tak mencuri," jelas Timah.

       Linah dan Surin tersipu-sipu mendengar teguran Timah yang amat pedas.

       "Aku setuju cakap kau Timah. Membela toyol atau hantu hukumnya salah dan datangkan dosa. Tadi aku tak ingat langsung tentang dosa sebab aku fikir ia cara paling mudah dapatkan wang. Ini semua gara-gara idea karut Surin," ujar Linah.

       "Hoi cik kak, sekalipun idea aku karut, sekurang-kurangnya ada juga idea. Yang penting, aku tak hina orang lain.

       "Adakah patut Timah kata pengemis tepi jalan lebih mulia dari kita?  Sejahil-jahil aku dalam agama, aku tetap sedar bahawa mengemis tak pernah digalakkan. Sebab tulah aku cadangkan kita berikhtiar dengan membela toyol," kata Surin.

       "Sudahlah tu Surin, bukankah cara tu jelas salah? Yang penting kita muafakat dan adakan sesi sumbangsaran untuk cari cara yang lebih sesuai," kata Linah.

       "Sumbangsaran? Apa benda tu?" Si Pengintip terus catatkan dalam notanya.

       "Aku pun setuju dengan kau Surin. Timah tak sepatutnya hina kita. Aku sendiri tak suka lihat orang mengemis jika dia masih mampu kerja. Tapi aku sedia hulur derma jika pengemis tu benar-benar tulen. Bukankah tangan yang ikhlas memberi lebih mulia dari tangan yang puas menerima?" Linah bermadah.

       Kata-kata Linah menyentuh hati Timah. Kini dia berasa bersalah kerana terlalu mengikut perasaan tatkala menyatakan pendapatnya tadi sehingga tanpa disengajakan Surin dan Linah tersinggung.

       "Maafkan aku Linah...Surin, lain kali aku akan lebih berhati-hati bila berkata," rayu Timah.

       Linah, Timah dan Surin mula bersalaman. Suasana dalam teratak itu sungguh syahdu kerana masing-masing berikrar untuk saling menghormati.

       Si Pengintip terus mencatatkan perkara yang menarik perhatiannya: sumbangsaran; muafakat; saling menghormati; dan saling bermaafan.

       Sewaktu memfokus kamera videonya untuk mendapatkan gambar yang lebih jelas, pandangan Si Pengintip tertumpu kepada sebuah lukisan di dinding teratak itu. Lukisan itu menggambarkan pemandangan sungai yang indah dan menyejukkan pandangan.

       Si Pengintip cuba meneliti huruf-huruf halus yang tercatat di penjuru kanan bahagian bawah lukisan itu.  "Alamak, halus sangat. Terpaksa gunakan teropong," rungut Si Pengintip.

       Setelah meneropong, Si Pengintip dapati huruf-huruf itu ialah satu puisi pendek. Lalu dicatatnya puisi itu.

       "Aku ada satu idea. Apa kata kita kumpulkan khazanah kita yang dah terpakai dan kita adakan jualan murah? Dengan cara ni, kita dapat kumpulkan wang dengan mudah," cadang Linah.

       "Itu idea yang baik!" sahut Timah dan Surin serentak. Bercahaya wajah mereka menyambut idea Linah yang tampak menarik.

       "Selain dapat wang, kita juga akan kurangkan pembaziran sebab jualan murah sama seperti ulang-guna. Betul tak?" tanya Linah.

       "Ulang-guna tu apa?" tanya Surin seperti anak kecil.

       "Maksud aku recycling. Aku saja cakap ulang-guna sebab aku fikir perkataan tu lebih elok digunakan," jelas Linah.

       "Hah, aku rasa akulah yang akan dapat kumpulkan wang terbanyak sebab aku ada banyak barang nak buang. Aku ada baju, seluar, kasut, beg, jam tangan, barang kemas, radio, telefon bimbit, televisyen, pager dan banyak lagi," Surin menerangkan dengan ghairah.

       "Baguslah Surin kalau kau ada banyak barang nak buang. Lagi pun, kebanyakan khazanah kau tu tak perlu sebenarnya. Hanya menyempitkan rumah ni saja," komen Linah terus-terang.

       "Bagaimana dengan kau Timah?" tanya Linah.

       "Aku tak ada banyak harta nak jual kecuali sebuah cermin muka dan lukisan antik yang tergantung di dinding tu. Hanya itu saja yang dapat aku sumbangkan," jawab Timah perlahan, seolah-olah menyesali kekurangan dirinya.  "Cermin muka dan lukisan yang kau nak jual tu, aku fikir sangat tinggi nilainya.  Pasti ada yang mahu membayar harga tinggi untuk memilikinya," puji Linah.

       Linah memandang wajah lembut Timah dan mengukirkan senyuman mesra untuknya. Dia tahu Timah senang mendengar pujiannya yang ikhlas.

       "Sebenarnya, aku pun tak punya harta untuk dijual kecuali buku-buku yang telah aku baca berulang kali hingga banyak ilmu yang aku timba.  Selain buku, khazanah aku cuma alat tulis seperti dakwat dan pena," kata Linah.

       "Nampaknya betul kata Surin. Dialah yang akan dapatkan wang terbanyak untuk kita kerana khazanahnya ternyata lebih banyak daripada sumbangan kita berdua," ujar Timah.

       "Betul cakap kau Timah. Kita patut berterima kasih pada Surin," akur Linah.

       "Ah, tak payahlah berterimakasih. Bukankah kita dah sepakat untuk bekerjasama dalam apa jua bidang?" ujar Surin merendah diri.

       Maka mereka pun mulalah sibuk mengumpulkan barang terpakai masing-masing dan melonggokkannya di luar teratak.        Setelah semua barang itu diletak di luar, ternyata terdapat ruang yang sangat luas dalam teratak itu. Mereka mula berasa selesa dan dapat bergerak bebas dalam teratak.

       "Kenapalah dari dulu kita tak terfikir untuk buat macam ni?" tanya Timah.

       "Lebih baik terlewat daripada tiada, kan?" jawab Linah.

       "Hey, kau orang perasan tak yang rumah kita sebenarnya dah cukup besar?" tanya Surin.

       "Hah, betul kata aku tadi, khazanah Surin cuma sempitkan rumah ni. Tengok tu, sekarang baru dia sedar," sindir Linah.

       "Apalah kau ni Linah, asyik menyakat Surin. Dah bagus dia nak buang barang lamanya," ujar Timah.

       "Nasib baik Timah sokong aku, kalau tidak aku simpan balik semua barang tu," kata Surin.

       "Ampunkan dinda kanda, dinda janji tak usik lagi," Linah memujuk.

       "Tadi Surin kata rumah ni dah cukup besar. Sebenarnya aku pun rasa begitu," ujar Timah.

       "Ya lah, aku pun fikir macam tu. Jadi, apa kata kita batalkan saja rancangan untuk besarkan rumah ni?  Lagipun rumah yang besar tak semestinya datangkan kebahagiaan," Linah berfalsafah.

       "Betul tu Linah. Kita boleh ambil iktibar dari negara besar yang akhirnya porak-peranda kerana cuba meluaskan wilayahnya," jelas Timah.

       "Kalau macam tu, apa kita nak buat dengan barang kat luar? Nak buang sajakah?" tanya Surin.

       "Barang-barang tu biar kat luar dulu. Sekarang kau tolong aku bersihkan apa-apa yang patut kat dalam ni," kata Timah.   "Kenapalah kau ni lembab sangat Surin? Kita masih boleh jual barang tu dan wangnya kita boleh simpan," kata Linah.

       "Aku rasa lebih baik kita dermakan saja barang tu. Lagipun banyak orang yang lebih susah dari kita di kampung ni," ujar Timah.

       "Eh, aku nampak macam ada orang atas pokok rambutan tu," kata Surin bila dia memandang ke arah Si Pengintip.

       "Alamak mampus aku," Si Pengintip mula cemas.

       "Jangan merepeklah Surin, agaknya toyol yang kau nampak tu," usik Linah.

       Linah dan Timah sama-sama tergelak. Surin hanya dapat menahan geram.

       Ketika Linah dan Timah leka ketawa, Si Pengintip cepat-cepat terjun dari pohon rambutan dan lari menyelamatkan diri.          Sekalipun Surin nampak Si Pengintip terjun, dia tak berani membuka mulut.

       "Lebih baik aku buat bodoh saja daripada salah cakap," fikir Surin.

       Keesokan harinya, Si Pengintip menyamar sebagai seorang wartawan dan pergi ke rumah penghulu Desa Permai.

       "Apa hajat encik datang ke mari?" tanya penghulu.

       "Saya wartawan Berita Hiburan. Saya nak buat liputan tentang kemajuan penduduk kampung ni," kata Si Pengintip.

       Penghulu Desa Permai menyambut kedatangan Si Pengintip dengan mesra dan memberikan kerjasama tanpa mengesyaki apa-apa.

       "Pakcik tahu nama penuh Timah, Linah dan Surin?" tanya Si Pengintip.

       "Anak Allahyarham Abdullah tu? Kalau tak silap pakcik, si Timah nama penuhnya Hatimah. Si Linah nama penuhnya Akalinah dan si Surin tu Nafsurin," jelas penghulu.

       Si Pengintip pulang dari rumah penghulu dengan penuh kepuasan. Dia berjaya merakamkan dengan jelas semua adegan yang dilihatnya. Rahsia yang dicarinya juga telah ditemui. Tugas Si Pengintip hampir selesai.       

       Lantas Si Pengintip membuat kesimpulan:

       "Setelah mengamati gerak-geri Akalinah, Hatimah dan Nafsurin, saya dapati formula untuk hidup rukun terletak pada kesediaan dan kesungguhan kita untuk hidup bersatu hati dan bukan pada sikap berlumba-lumba mengumpul harta.

       Yang jelas dan harus dijadikan iktibar ialah ketiadaan rasa iri hati di antara Linah, Timah dan Surin. Mereka bahagia dengan apa yang ada pada diri masing-masing. Kebahagiaan yang mereka kecapi lebih bermakna daripada segala-galanya.

       Rahsia yang saya cari, sebenarnya tersembunyi dalam epigram yang tercatat pada lukisan antik milik Hatimah:

Hati yang murni

ibarat sungai

yang bersih

menjadi nadi hidup

dan lambang harmoni

"Hoi, bangunlah! Giliran kau pula buat prowling."

"Eh, suara siapa pula tu?"

"Patutlah aku panggil dia tak dengar. Rupanya telinga dia sumbat earphone.  Tak apa, tidur lagi puas-puas, sekejap lagi tahulah nasib kau...

"Guards turn-out! Turn-out!"

"Alamak, guards turn-out! Eh, kat mana aku?"

 

˜ TAMAT

 

 

 

 

˜ RAHSIA 1995

 

Berita Minggu, 26 Mac 1995 (ms 12)