Penguasaan
bahasa Amri agak sederhana. Walau
tidak pernah mengikuti sebarang kursus linguistik secara formal, itu tidak
menghalangnya dari meneruskan minatnya menghasilkan tulisan kreatif dan
kadangkala memberi komen di akhbar tentang penggunaan bahasa Melayu di
kalangan masyarakat. Misalnya,
jika mendapati ada iklan di media dan tempat awam yang menggunakan bahasa
yang kurang tepat, Amri akan mengirim surat ke ruangan forum di akhbar
membincangkan perkara tersebut.
Kadangkala tegurannya dipandang sepi kerana beliau bukan linguis
seperti Chomsky, yang mahir tentang struktur bahasa. Atau mungkin isu yang dikemukakannya
dianggap remeh oleh kebanyakan orang. Jika
anda menaiki MRT menuju stesyen Tampines, khususnya dalam gerabak lama, sila
amati sebutan perkataan bandar itu oleh pengumuman pihak MRT. Yang jelas kita dengar ialah
Tem-pe-ni. Entah mengapa, huruf 's' disenyapkan hingga sebutannya menjadi lucu. Kesilapan seperti inilah yang selalunya
dikomen Amri sedangkan ribuan orang lain tidak ambil
kisah. Amri
mempunyai pandangan tersendiri tentang bahasa. Meskipun beliau tidak suka mendengar
seseorang menyebut sesuatu perkataan dengan sebutan yang salah, beliau
menyokong penyerapan kata-kata asing ke dalam bahasa Melayu. Baginya, kemasukan kekata pinjaman
memperkayakan kosa kata bahasa Melayu.
Lantas, dalam karya-karyanya, beliau banyak memperkenalkan kata-kata
baru yang diambil dari bahasa asing atau diciptanya sendiri. Jika
individu-individu tertentu bebas melakukannya tanpa banyak bantahan daripada
masyarakat, Amri juga ingin mengamalkan kebebasan bersuaranya dalam hal
ini. Beliau perhatikan beberapa kata
baru telah memasuki bahasa Melayu lewat akhbar. Antaranya 'mantan', 'koswe', 'bajet',
'respons' dan sebagainya, hinggakan kata-kata asal iaitu 'bekas', 'tambak',
'belanjawan' dan 'gerak balas' kian terpinggir. Ada
orang memandang negatif fenomenon ini.
Tapi Amri tidak melihatnya sebagai sesuatu yang perlu dirisaukan
kerana bahasa bersifat dinamis. Yang
dikesalkannya ialah sikap sesetengah pihak yang sukar menerima kekata asing
tetapi tidak segan pula mengamalkan budaya asing seperti menyambut hari lahir
dengan meniup lilin di kek dan melupakan kenduri doa selamat. Tiap
kali menghantar karyanya ke akhbar, Amri berharap agar kata-kata baru dalam
karya beliau lulus saringan penyunting. Beliau sering hampa apabila penyunting
enggan toleredƒ pemilihan kata-katanya.
Selalunya penyunting akan menukar atau memadam perkataan yang cuba
dipopularkannya. Beliau
tidak akan komplen jika yang diubah ialah kesilapan taiponya. Namun, Amri
tetap berterima kasih kerana sekurang-kurangnya penyunting sudi menyiarkan
karya beliau daripada terus 'dipendamkan' (meminjam ungkapan Rasiah Halil, BM 21 April 2002, ms13). Jika itu berlaku, sia-sia usahanya menyumbangkan
catatan peribadinya buat renungan pembaca.
Jika ada kesilapan ketara dalam karyanya, beliau sedia terima teguran
pengkritik supaya beliau tahu di penjuru mana harus digilap bakat
bercelotehnya. Cerita
yang sedang digarap Amri mungkin membosankan sesetengah orang kerana tidak
sehebat kisah Seribu Satu Malam. Juga
tidak semenarik novel Harry Potter yang membuatkan pengarangnya mewah. Namun, Amri yakin pembaca pasti mendapat
sedikit ilmu kerana beliau cuba turunkan sejengkal pengetahuan yang dimilikinya. Amri
berkongsi cerita bukan hendak berlagak pandai atau mengajar kucing mengiau
tapi menyahut seruan akhbar yang mengalu-alukan sumbangan pembaca. Sudah lebih sedekad beliau ceburi bidang
penulisan. Sepanjang tempoh itu, lebih
sedozen cerpen, berpuluh sajak dan rencana tulisannya terbit di pelbagai
media seperti Berita Harian, Berita
Minggu dan beberapa halaman Internet. Namun,
secara purata, hanya sebuah cerpennya tersiar di media cetak setiap
tahun. Jadi, beliau tidak termasuk
dalam golongan penulis prolifik.
Dibandingkan dengan penulis-penulis tanah air yang lain,
sumbangannya amat minimal. Apapun,
Amri tetap menulis tiap kali ilham melintas walau kebanyakan karyanya tidak
mendapat tempat di ruangan terhad mingguan tempatan. Mungkin
kerana beliau kerap menggarap tema bernada protes dan tak selari dengan
kehendak budayawan tempatan. Mungkin
kerana karya-karyanya terlalu celupar hingga menyinggung pihak tertentu. Mungkin
kerana pemurni bahasa bimbang gaya tulisannya yang kerap melanggar konvensi
akan mempengaruhi murid-murid sekolah untuk mencemar kemurnian bahasa Melayu.
Mungkin
kerana karya-karyanya dianggap terlalu dogmatik atau berkhutbah, lantas
rendah nilai estetiknya untuk disiarkan.
Dan seribu kemungkinan lagi. Amri
memakai pelbagai nama samaran demi mengelakkan diri dari dikenali
pembaca. Padanya, pemakaian nama
samaran tidak bermakna seseorang penulis takut menghadapi kecaman
pengkritik. Beliau berselindung di
balik nama-nama penanya kerana percaya jika seseorang pengkritik tidak tahu
identiti sebenar beliau, lazimnya dia akan mengkritik karya beliau secara
jujur dan tanpa prejudis. Selalunya
pengkritik mengulas sesuatu karya semata-mata bersandarkan isi karya tersebut
dan tidak akan teragak-agak membuat kenyataan-kenyataan yang mungkin akan
menyinggung perasaan pengkarya. Tapi,
jika si pengkritik kenal orang yang menghasilkan sesuatu karya secara
peribadi, mungkin dia tidak sedia mengulas karya si penulis walaupun
mendapati banyak kekurangan yang wajar ditegur dalam karya kenalannya. Pengkritik
sebagai seorang yang peka (sebutan bakunya peykar), masih terikat dengan
konvensi sosial yang lebih mengutamakan menjaga hati kawan dari berkata jujur
tapi pahit. Amri akur hakikat ini
kerana ada kalanya beliau sendiri bertindak sebagai pengkritik dan selalunya
beliau elakkan diri dari mengulas karya-karya yang dihasilkan oleh
teman-temannya sendiri. Suatu
masa dulu Amri pernah mengulas gaya penulisan seorang rakannya yang baru
berjinak-jinak menghasilkan sajak.
Mulanya beliau sangka temannya itu dapat menerima teguran beliau demi
membaiki mutu penulisannya. Tetapi
sejak ditegur, temannya mula menjauhinya dan tidak lagi berkongsi
karya-karyanya dengan beliau. Amri
lalu menyimpulkan bahawa temannya tersinggung dengan tegurannya yang terus
terang. Amri
faham perasaan seseorang yang tercalar egonya. Karya dan idiya beliau sendiri pernah dikritik beberapa pembaca yang tidak
sependapat dengan beliau hingga memudarkan semangatnya untuk terus
berkarya. Manusia
mana yang tidak berasa kecewa apabila dipersenda oleh orang-orang yang
menganggap dirinya lebih sempurna dan lebih suka mencemuh daripada memberi
dorongan kepada orang lain? Namun Amri
tebalkan muka dan baluti perasaannya yang terguris dengan kata-kata
perangsang dari orang-orang yang berkongsi wawasan dan impian beliau. Pengalaman
yang dilaluinya amat pahit tapi semangat penakat dalam dirinya mengajaknya
bangkit dan terus mengharungi gelora dan meneroka buana yang terbentang. Banyak
kerenah masyarakat yang boleh Amri pantulkan dalam karya-karyanya. Namun beliau lebih gemar menceritakan
pengalaman peribadinya kerana berpendapat apa yang terluah lebih nyata dan
lebih mendekati kebenaran. Membaca
karya-karyanya, pembaca akan dapati watak-watak dalam karyanya sering
mempunyai persamaan dengan sifat beliau sama ada di segi pemikiran atau latar
belakang mereka. Tapi, ada juga
karya-karyanya yang bersifat rekaan semata-mata. Watak-watak di dalamnya
tiada kena mengena langsung dengan keperibadian beliau. Yang mendorong Amri menterjemahkan
kisah-kisah peribadinya dalam bentuk cerpen dan puisi tidak lain ialah keinginan beliau merakam peristiwa semasa buat
renungan posteriti„. Beliau juga mahu menyampaikan
impiannya untuk dunia yang lebih aman di hari muka. Amri benci
pada peperangan, penindasan dan keganasan.
Justru, tema keamanan kerap menjadi inti karya-karyanya. Jika
ditakdirkan bertemu jin yang dapat menghadiahkannya tiga hajat, pasti beliau
akan pertama-tama meminta jin itu menghapuskan semua senjata pemusnah yang
dimiliki semua negara di dunia serta kumpulan-kumpulan pengganas. Lalu menggantikannya dengan haiwan seperti
unta, kambing dan ayam yang boleh dibuat makanan. Kedua: Memohon agar semua ketua negara yang zalim
dan bertuhankan selain Ilahi, digantikan dengan individu berakhlak mulia
seperti para rasul. Ketiga: Meminta agar segala
yang dihajatinya menjadi nyata walau hanya seketika. Insan yang tak berkuasa sepertinya hanya
mampu berangan-angan. Inilah yang
lebih rela dilakukannya daripada mengampu orang-orang atasan untuk mencapai
kepentingan sendiri. Fikiran
Amri agak berkecamuk hari ini. Beliau masih terkial-kial menyusun ayat-ayat
dan memilih kata-kata yang sesuai untuk menyampaikan idiyanya kepada masyarakat.
Untuk merehatkan fikirannya sejenak, Amri membuka vanoli… dan memutar tombol ke saluran 94.2 FM. Berita
Ringkas jam 5 petang sedang ke udara. Laporan-laporan yang dibentangkan
tambah memeningkan kepalanya hingga dia terus menutup vanoli dan kembali memikirkan sampai bila dunia mesti
bergolak. Sebuah
kereta telah meletup di perkarangan Markas PBB di Iraq, membunuh dua orang
dan mencederakan sekurang-kurangnya tujuh orang. Taufan Isabel pula telah melanda Amerika
Syarikat, menyebabkan sekurang-kurangnya 30 kematian, 17 darinya di
Virginia. Di Singapura, sebuah kapal
berdaftar di Malta dan sebuah lagi berdaftar di Panama telah bertembung dan
menyebabkan tumpahan minyak berdekatan Pulau Kusu. Semua
berita ini hanya menambahkan kekacauan dalam benak Amri. Keganasan, bencana
alam dan kesilapan manusia sering meragut nyawa dan meningkatkan kesengsaraan
di dunia. Jika bencana alam tidak
dapat dicegah, sekurang-kurangnya kehilangan jiwa boleh dielakkan jika
manusia memilih damai dan mencintai sesama makhluk daripada berbunuhan. Amri
yakin anarki yang berlarutan di Iraq tidak akan terjadi sekiranya negara itu
tidak diserang pada awalnya. Perang
boleh dielakkan jika setiap insan, khususnya pemimpin dunia cintai keamanan. Dalam
cerpennya, Amri menyelitkan kisah bagaimana seorang wazir yang pintar pada
tahun 1078 Masehi, telah menyelamatkan kota Seville dan kerajaan Abadid di
Sepanyol, pimpinan al-Mutamid daripada diserang tentera Nasrani pimpinan
Alfonso VI. Ibnu
Ammar, wazir kepada al-Mutamid, selain terkenal sebagai seorang penyair dan
cendekiawan, adalah seorang pemain catur handalan. Beliau mengetahui bahawa Raja Alfonso amat
meminati permainan catur, yang berasal dari Parsi. Kebetulan
Ibnu Ammar memiliki sebuah set catur exquizit† yang diperbuat dari kayu eboni dan cendana serta bertatah emas. Bagi pihak al-Mutamid, beliau telah pergi
ke khemah Alfonso, yang menerima kedatangannya dengan penuh hormat. Raja
Nasrani itu telah banyak mendengar cerita tentang kehebatan Ibnu Ammar dan
menganggap beliau sebagai salah seorang yang amat berkebolehan di
Sepanyol. Setelah mengetahui tentang
set catur indah yang dimilki Ibnu Ammar, Alfonso mengundang Ibnu Ammar untuk
menunjukkan set exquizitnya dan
bermain satu permainan dengan baginda menggunakan set catur tersebut. Ibnu
Ammar bersetuju tetapi dengan satu syarat.
Iaitu jika beliau kalah, papan catur dan tokoh-tokohnya akan menjadi
milik baginda. Namun, jika beliau
menang, baginda mesti menunaikan satu permintaannya. Alfonso
amat ingin mendapatkan set catur itu tetapi baginda agak keberatan mengambil
risiko. Namun, beberapa penasihat
baginda berjaya memujuknya menerima tawaran Ibnu Ammar. Hujah
mereka, "Jika tuanku menang, tuanku akan memiliki set catur paling indah yang
pernah dimiliki seseorang raja; dan jika tuanku kalah, kami akan mengajar
orang-orang Moro cara bersopan sekiranya Ibnu Ammar membuat permintaan yang
tidak munasabah." Alfonso
termakan hujah penasihat-penasihat baginda untuk bermain satu permainan, yang
akhirnya baginda kalah. Ibnu Ammar,
yang sememangnya seorang sifu‡ catur, berjaya menshahmatikanˆ baginda. Apabila
Alfonso bertanya kepada beliau apa yang beliau inginkan, Ibnu Ammar memohon
kepada baginda untuk mengundurkan tenteranya dari sempadan Kota Seville. Baginda sangat kesal lalu berkata kepada
penasihat-penasihatnya, "Inilah yang beta bimbangkan dan kalian membuat
beta melakukannya." Begitupun, Alfonso mengotakan janjinya dan Seville
terselamat dari diserang. Kebijaksanaan
Ibnu Ammar menjadi inspirasi buat Amri.
Jika ditakdirkan mendapat zuriat, Amri ingin menamakan anaknya sempena
gelaran wazir yang masyhur ini.
Menurut kamus Arab, 'Ammar' bererti 'pereka'; 'pembina'; dan 'orang
yang tekun mengerjakan solat dan saum‰'. Amri
sering berdoa agar dikurniakan anak yang cerdas dan elok pekertinya. Besar harapannya agar keturunannya dapat
menghapus stigma kemunduran bangsa Melayu.
Dalam cerpennya yang masih
belum berpenghujung, Amri cuba paparkan kisah kejayaan anak Melayu dan
tokoh-tokoh Muslim. Kepincangan Melayu
tidak perlu lagi diperbesarkan. Bagi
Amri, pencapaian material dan kemewahan tidak sepatutnya dijadikan kayu ukur
kejayaan sesuatu bangsa. Pencapaian
material harus diimbangi dengan kemajuan rohani. Apa gunanya kaya harta jika papa budi
bicara dan enggan pula menyembah Illahi, fikir Amri. Sudah
genap seminggu sejak Amri memulakan cerpennya yang telah melebihi 1700
perkataan. Hari ini dia bertekad
menamatkan cerpennya yang memaparkan kisah kejayaan seorang anak Melayu yang
buat julung kalinya menjuarai peraduan catur peringkat antarabangsa. Dalam cerpennya yang masih belum diberi
tajuk, Amri menjelaskan bahawa ungkapan Inggeris 'checkmate' berasal dari ungkapan Parsi 'ash-shah-mat' yang bermaksud 'raja telah mati'. Tegas
Amri, matlamat setiap pemain catur ialah mematikan gerakan atau menawan raja
pihak lawan untuk menjadi juara. Ini
memerlukan strategi, mata yang awas dan kebijaksanaan mengatur gerakan. Dalam kehidupan, kita juga perlu membuat
pilihan tepat dan bijak jika tidak ingin dishahmatikan
oleh saingan. ˜ TAMAT ™ ganini : komputer [dari b. Tamil] ‚ idiya : ilham [dari b.
Inggeris, idea] ƒ tolered : terima tanpa
mengalukan [dari b. Inggeris, tolerate] „ posteriti : anak cucu [dari
b. Inggeris, posterity] … vanoli : radio [dari b.
Tamil, van(angkasa) + oli (suara)] † exquizit : indah; elok
[dari b. Inggeris, exquisite] ‡ sifu : mahaguru [dari b.
Mandarin] ˆ shahmati : ungkapan dlm
catur bila raja ditawan [dari b. Parsi, ash-shah-mat] ‰ saum : puasa [dari b. Arab] |
|
˜ SHAHMATI ™ 2003 |