EPAT bang, keluarkan cepat.  Ima tak tahan... geli."  Shima menggoyang-goyangkan punggungnya sambil terkial-kial cuba melucutkan baju kurungnya yang telah dibasahi peluh.  Dadanya turun naik dalam kegopohan itu.

Aku tersenyum seronok melihat Shima melenggok-lenggokkan badannya kerana kegelian. "Ah, dah keluar pun," kataku waktu ku lihat seekor lipas terbang melarikan diri dari celah dada isteriku.  Secepat kilat sang lipas menyembunyikan diri di bawah peti sejuk.

Shima menghembus nafas lega.  Itulah kali pertama seekor lipas tersesat dan merayap ke dalam bajunya.  Pengalaman tadi satu nightmare buat Shima.  Wajahnya pucat seketika.

Sejak kecil Shima memang gerun terhadap lipas.  Walaupun usianya sudah melewati suku abad, fobianya tidak pernah terkikis.  Namun, aku tahu Shima tidak pernah menganggap lipas sebagai musuh, jauh sekali membenci lipas.  Malah, Shimalah yang mencadangkan agar kami sama-sama berikrar untuk tidak membunuh lipas kerana serangga itu telah mencorakkan pengalaman manis dan paling bererti dalam hidup kami.

Waktu Shima membetulkan ikatan kain sarungnya yang hampir terlepas gara-gara lipas, aku sengaja mengusiknya.  "Hee, hee, hee.  Dah tua pun masih takut lipas."

Sepantas peluru, satu cubitan hinggap di pahaku.  Seperti yang kujangka, Shima berasa meluat apabila mendengar usikanku.

"Janganlah gusar sayang, nanti cepat tua."  Aku cuba memujuknya.  Shima tidak menjawab.  Dia terus masuk ke bilik tidur dan menutup pintu.

Sepuluh tahun lalu, usikan itulah yang memulakan persahabatanku dengan Shima.  Waktu aku mengusiknya, Shima tersipu-sipu.  Kemudian daripada air muka dan tutur katanya, aku dapat rasakan Shima senang berbicara denganku.  Naluriku mengatakan aku harus mengenalinya lebih dekat lagi.

Kehadiranku justeru ketika Shima memerlukan, ternyata meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.  Kata Shima, akulah jejaka idaman yang selama ini dinantikannya.

Aku bersyukur mempunyai Shima sebagai teman hidup.  Biarpun ada orang mengatakan Shima tidak sepadan dengan ku kerana pada pandangan mereka Shima tidak cantik, aku tidak pernah pedulikan komen mereka.  Yang penting Shima tidak banyak kerenah.

"Jangan nikahi seseorang hanya kerana kecantikannya.  Carilah pasangan yang patuh kepada agama.  Orang yang tidak cantik tapi akhlaknya tinggi, jauh lebih mulia daripada orang yang cantik tapi akhlaknya rendah," kata Ustaz Fawzi dalam satu ceramah kursus rumahtangga yang aku hadiri.

Sebenarnya aku tertarik kepada Shima kerana kejujurannya.  Waktu ku luahkan hasratku ingin menjadikannya suri hidupku, Shima tidak teragak-agak mengatakan dia tidak layak menjadi isteriku.

"Abang carilah wanita yang lebih sepadan dengan abang.  Shima tak punya rupa atau budi bahasa, tak pandai masak, kurang ilmu agama dan bodoh dalam serba-serbi."

"Kalau macam tu, nampaknya Ima akan jadi anak dara tua."

"Sampai hati abang cakap macam tu.  Tapi kalau dah takdir, Ima terima dengan rela.  Kata orang, jodoh di tangan Tuhan."

"Betul tu Ima.  Sayangnya ada orang sengaja jual mahal apabila Tuhan beri dia peluang."

Setelah ku selidiki lebih lanjut, aku dapati bahawa Shima segan mendampingi ku kerana dia tahu orangtuaku menaruh harapan tinggi agar aku mencari isteri yang solehah.  Mungkin Shima berasa rendah diri kerana waktu itu dia kurang mengambil berat soal agama.

Menurut Shima, salah satu kewajipan yang sukar diterimanya waktu usianya belasan tahun ialah suruhan menutup aurat yang ditekankan ke atas wanita.  Malah, Shima pernah menganggap wanita yang tidak berani berpakaian sexi sebagai kolot.  Ketika itu Shima selalu meniru gaya pakaian artis-artis Barat.  Tapi kini Shima telah sedar hikmah di sebalik kewajipan menutup aurat.

"If you have it, flaunt it."  Itulah yang pernah Shima tegaskan satu ketika dulu kepada teman akrabnya Nurul apabila Nurul cuba menasihatinya agar tidak memakai pakaian yang terlalu menjolok mata.

Aku ingin ceritakan pengalaman menarik yang pernah dilalui Shima.   Aku kira ada pelajaran yang boleh dicedok dari kejadian yang menimpanya.  Yang nyata, ketegasan dan keberanian Shima telah menyelamatkannya dari kejadian yang tidak diingini.

Kisah bermula semasa Shima sedang mengikuti latihan jasmani di sekolah kami.  Waktu itu  Shima memakai kemeja-T yang ketat hingga menyerlahkan bentuk dadanya yang padat.  Seluar pendek yang dipakainya juga ketat dan amat singkat.

Sepanjang sesi latihan, tanpa disedari Shima, rakan sekelasnya Eric, memerhatikannya dengan penuh berahi.  Naluri kejantanan Eric telah terangsang untuk menggoda Shima.  Setelah selesai latihan jasmani, Eric menghampiri Shima.

"Shima, sini sekejap.  Wa ada hal nak cakap dengan lu."

"Ada apa Eric?" tanya Shima.

Eric menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tiada orang lain mendengar perbualan mereka.  Kemudian Eric mengucapkan sesuatu yang memeranjatkan Shima.  Kata-kata Eric serupa dialog dalam filem-filem lucah.  Berderau darah Shima apabila mendengarnya.

Dia tidak menduga Eric sanggup mengeluarkan kata-kata kesat itu kepadanya.  Dalam keadaan masih terkejut, Shima sempat menepis tangan Eric ketika Eric cuba menyentuhnya.

Dengan perasaan gusar berbaur malu, Shima bergegas meninggalkan Eric.  "Kalau aku ikutkan hati, ingin aku tampar mulut kau yang celupar Eric," kata hatinya.

"Apa harus aku buat?  Si keparat tu bukan sebarang orang.  Kata Nurul, Eric pernah ditahan polis sebab disyaki menganggotai kumpulan kongsi gelap.

"Kalau aku adukannya kepada guru besar, belum tentu aku akan bebas daripada gangguan Eric.  Silap hari bulan, kena rogol.  Lagi parah."

"Itulah, tak mahu dengar nasihat aku," suara Nurul seolah-olah menempelaknya.

"Ha, ha, ha," suara garau Eric pula terngiang di fikirannya.

"Kepada siapa harus aku mengadu?  Kepada Nurul?  Ah, salah aku juga tak mahu dengar nasihatnya dulu.  Kalau aku beritahu Nurul, aku juga yang malu.  Pasti syarahannya berjela.

"Lagi pun aku rasa tak ada orang yang melihat perbuatan Eric sebab masa tu tak ada orang lain kat situ.  Kalau aku nak mengadukannya pun mesti ada bukti.  Jika tidak, siapa yang akan percaya?

"Macam mana pula nanti kalau Eric nafikan perbuatannya?  Aku mesti ada bukti atau saksi.  Tak boleh suka-suka buat aduan.

"Kalau aku laporkan kepada polis, pasti aku sendiri jadi bahan cerita orang.  Eee, malunya nanti.

"Kalau aku bawa perkara ini ke mahkamah belum tentu aku akan menang.  Lagipun mana aku ada duit untuk bayar lawyer.

"Bagaimana pula kalau Eric bertindak balas sekiranya aku laporkan perbuatan biadabnya kepada pihak berkuasa?  Dah banyak cerita aku dengar tentang orang disimbah asid angkara dendam.  Lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup membunuh dan memotong mayat mangsa mereka gara-gara dendam.

"Eee, nauzubillah.  Aku tak mahu jadi mangsa pendendam.  Nanti bukan aku saja yang susah.  Nasib tak baik, keluarga aku pun turut terancam.  Setahu aku Eric pantang dicabar.

"Tapi, perbuatan Eric sungguh biadab.  Aku takut si keparat tu buat lagi perkara tak senonoh tu.  Bingung aku dibuatnya.

"Dibiarkan nanti menjadi-jadi, dilawan boleh jadi tragedi."Shima termenung panjang memikirkan apakah yang harus dilakukannya.  Dia benar-benar dalam dilema.

"Apa fasal si Shima termenung seorang diri?  Mungkinkah dia kecewa ditinggalkan mata airnya?” Itulah soalan yang muncul dalam benakku ketika terpandang Shima sendirian.

Aku melihat ke arah Shima secara kebetulan sahaja.  Waktu itu kami berada di kantin.  Bola mataku tatkala itu sedang mengekori pergerakan seekor lipas yang berlari ke arah kaki Shima.

"Makk! Lipas!"

Shima menjerit dan melompat apabila terasa sesuatu memanjat betisnya.

"Hee, hee, hee. Dah tua pun takut lipas," usikku lalu menghadiahkan sekuntum senyuman kepada Shima.  Shima menyambutnya dengan tersipu-sipu.

Mulai detik itu, terjalinlah ikatan persahabatan antara kami.  Justeru dari peristiwa itulah, lipas menjadi maskot percintaan kami.  Kami bernikah tiga tahun kemudian setelah mengenali hati budi masing-masing.

Pada malam pertama perkahwinan kami barulah Shima menceritakan tentang insiden Eric cuba mencabulinya.  Aku sangat terkejut apabila mendengarnya kerana tidak menduga begitu lama Shima merahsiakan peristiwa itu daripada pengetahuanku.  Lantas aku berasa sangsi terhadap kejujuran Shima.

"Kenapa baru sekarang Ima ceritakan pada abang?  Sepatutnya Ima laporkan perkara ini siang-siang.  Kita tak boleh biarkan Eric berbuat sesuka hatinya.  Ini perkara serius."

"Sebenarnya Ima sengaja rahsiakan peristiwa tersebut daripada pengetahuan abang sebab Ima sayang dan takut kehilangan abang.  Ima tak mahu abang bersemuka dengan Eric.  Ima takut Eric akan bertindak ganas dan menyerang abang sekiranya dicabar."

Begitulah lebih kurang jawapan Shima yang amat menyentuh perasaanku.

"Habis tu, apa lagi yang Eric buat?"

"Sebulan selepas insiden itu, Eric cuba sentuh dada Ima tapi Ima tepis tangan dia.  Ima tenung muka dia dan dengan tegas Ima cakap kat dia:

"Eric, kalau kau berani sentuh aku, aku akan menjerit dan beritahu guru besar."

"Apa pula reaksi Eric?"

"Dia tenung Ima atas bawah.  Kemudian, dia kata:

"Shima, lu banyak berani.  Wa suka sama lu.  Kumpulan wa mahu orang berani macam lu."

"Ima terus kata: "Eric, aku tak ingin.  Kalau kau terus ganggu aku, aku akan buat aduan kepada polis.  Eric dengan pantas menjawab: "Okay, wa tak mahu kacau lu tapi lu mesti janji jangan repot polis atau cikgu."

"Mulai hari itu, Eric tak berani ganggu Ima lagi."

"Apa fasal Ima tiba-tiba jadi berani?"

"Sebenarnya Ima dah tak ada pilihan.  Waktu Ima bingung memikirkan masalah gangguan Eric, tiba-tiba Ima mendapat ilham daripada tulisan seorang penyair terkenal.  Katanya: Tiada cara lebih baik menyelesaikan sesuatu masalah selain menghadapinya dengan berani.

"Tahukah abang siapa penyair tersebut?"

"Entah, abang tak pasti.  Tapi abang rasa abang pernah dengar madah tu."

"Apalah abang ni, cepat sangat jadi pelupa. Abanglah penyair yang Ima maksudkan.  Ima petik madah tersebut daripada karya abang yang tersiar dalam majalah sekolah."

"Betulkah apa yang Ima cakap?  Abang dah tak ingat langsung tentang madah tu."

"Buat apa Ima nak bohong.  Ima masih simpan majalah tu."

Kesangsianku terhadap Shima hilang serta-merta. Malah aku berasa gembira mendengar pengakuan Shima.  Tapi, betulkah madahku yang semudah itu berjaya mengatasi masalah Shima?

Pelbagai ingatan bermain dalam fikiranku.  Aku teringat karya pertamaku dalam majalah sekolah dan kisah percintaanku dengan Shima.

Aneh, Shima berani menghadapi Eric tapi masih gerun terhadap maskot cinta kami.

"Abang, apa lagi yang abang taip tu?  Dah pukul dua pagi, abang masih tak mahu tidur?"  Ima memanggilku dari bilik sebelah.

"Okaylah sayang, abang pun dah ngantuk.  Sekejap lagi abang tidur."

Lalu kutekan kunci F10 di papan kekunci komputer.  Document to be saved: A:\SHIMA

 

˜ TAMAT

 

 

 

 

˜ SHIMA 1995

 

Berita Minggu, 9 Julai 1995 (ms 12)