"Hadirin mungkin kenal atau pernah
dengar nama yang saya sebutkan tadi.
Mungkin saja tidak jika hadirin tak pernah baca akhbar Melayu. Saya sendiri hanya kenal Shafique melalui media;
melalui tulisan-tulisannya, bukan secara rapat. "Apa yang saya rasa saya tahu
tentangnya ialah beliau sering menulis kepada akhbar Melayu dengan idea-idea
menarik yang kadang kala lucu dan kadang kala menimbulkan kontroversi. Malah saya pernah terbaca poem Shafique bertajuk Don’t Read If You’re A Smoker yang
tersiar dalam akhbar Beyond Classified
bertarikh August 4 to 17, 1995. "Saya masih ingat tarikhnya kerana
saya simpan sajak itu. Malah saya
pernah terjemahkan sajak tersebut ke dalam bahasa Melayu kerana sangat
tertarik dengan idea yang dikemukakan.
Hadirin nak dengar terjemahannya?" "Silakan Profesor." "Terima kasih Tuan Pengerusi,
begini isinya: JANGAN BACA JIKA ANDA SEORANG
PEROKOK! [Di
Mana Ada Kemahuan, Di Situ Ada Laluan] JIKA
seorang perokok mempelawa
anda merokok jangan
sekali berkata TIDAK sebaliknya
katakan padanya menurut
pendapat seorang bijak Merokok
adalah Tabiat BODOH Anda perlu berani menegurnya agar berhenti merokok segera jika dia tanya Mengapa? katakan anda prihatin jika
dia buat tak endah suruh
orang itu beredar sebab kita perlukan udara segar! Perokok
sebenarnya penderita yang dahagakan pertolongan kita seperti
penagih dadah mereka
ketagih pada nikotin yang
boleh menyebabkan barah dan lain-lain penyakit parah namun
semua perokok boleh
membuang tabiat mubazirnya jika mereka cukup arif dan rela mengakui bahawa merokok memang Tabiat BODOH Jika
perokok mengatakan Berhenti
lebih mudah disebut
daripada dilakukan katakan
pada mereka Jangan
putus asa kerana
kita tahu ia boleh dicapai pokoknya, di mana ada kemahuan Di situ sentiasa ada laluan! "Ooo..." "Hi hi hi..." "Hishh..." "Keras tuu..." "Hadirin! Harap senyap dan bertenang! Teruskan Profesor." "Nah, begitulah sajak beliau yang telah
saya terjemahkan dan pernah hantar kepada Mingguan
Nasional tapi belum tersiar.
Agaknya, sajak terjemahan saya tu terlalu keras. Tak boleh disiarkan sebab takut menyinggung
perasaan masyarakat yang terlalu sensitif. "Anehnya, poem Shafique tersiar pula dalam akhbar Inggeris BC yang mempunyai lebih banyak pembaca
dari pelbagai kaum. "Apapun, saya ingin minta maaf
setulus hati jika ada di antara anda yang hadir di usrah kita malam ini,
masih merokok dan rasa tersinggung.
Saya tak berniat menyinggung atau memperli mana-mana pihak. Jauh sekali mahu berkempen menyuruh orang
berhenti merokok. Saya cuma ingin beri
penjelasan. "Menyentuh hal ini, saya
sebenarnya dah give up dan fed up. Dulu saya rajin
nasihatkan teman-teman dan saudara mara saya supaya berhenti. Malah saya pernah tulis rencana, sajak dan
beberapa cerpen dengan tema anti-merokok, dengan niat ikhlas mengajak orang
berhenti merokok. "Tapi satu hari, saya dapat
kesedaran. Saya mula rasakan kempen
anti-merokok hanya sia-sia dan tak kan berjaya selagi bahan perosak itu masih
boleh didapati dengan mudah, biarpun harganya amat mahal. "Bagi saya, kempen berhenti
merokok akan lebih berhasil jika penjualan rokok terus diharamkan sepertimana
firearms, chewing gum, bahan lucah dan dadah diharamkan di negara ini. Hanya itu cara yang paling berkesan. Kempen demi kempen hanya membazir wang,
masa dan tenaga. Pendek kata, sia-sia. "Lagipun, jika orang dah anggap
merokok tabiat glamor seperti yang diiklankan oleh syarikat rokok dari masa
ke masa, sukar untuk ubah tanggapan tersebut kecuali kita bersungguh-sungguh reverse the process. Ini hanya boleh dilakukan jika slogan
anti-merokok yang lebih keras disebarkan secara meluas. Misalnya, Merokok tabiat bodoh seperti yang disarankan oleh Shafique atau Merokok amalan anti-sosial. Malah kita boleh tegaskan bahawa Smoking is a stupid and selfish habit! "Tapi Profesor Ma..." "Saudara di sana, tolong jangan
menyampuk, Profesor belum habis bercakap.
Jika ada sebarang soalan, kemukakan waktu sesi soal-jawab." "Maaf Tuan Pengerusi." "Minta maaf pada Profesor." "Maaf Profesor." "Slogan 'When you care, they’ll quit smoking' bagi saya terlalu
lembut. Dari dulu lagi orang dah ambil
berat, seperti kata-kata Shafique dua tahun dulu: 'If the smoker asks you ‘Why?, tell the
smoker that you care.' Namun
bilangan perokok malah bertambah hingga kita masih perlu berkempen. Mungkin bilangan orang yang bersikap hanya
mementingkan diri sendiri semakin bertambah. "Yang nyata, di kalangan remaja
terutamanya, merokok dianggap cool. Seperti yang kita tahu, ada orang memakai handphone atau membeli kereta untuk
bergaya. Samalah dengan tabiat
merokok! Betapa mahal sekalipun harga
rokok, orang akan tetap merokok untuk bergaya atau jika sudah ketagih bahan
beracun itu. Cuba renungkan, walaupun
harga kereta dan COE mahal, demi menjaga status, sesetengah orang sanggup
membelinya secara berhutang. "Sebenarnya, orang yang gemar
merokok ada pelbagai penyakit jiwa.
Salah satu penyakit yang paling menonjol dan telah dikenalpasti oleh
ahli sosiologi dan ahli perubatan ialah penyakit suka memberontak tanpa sebab munasabah. "Merokok juga boleh dianggap
sebagai satu cara melahirkan protes terhadap sistem sosial yang regimental. Lazimnya, perokok pemberontak terdiri dari
golongan belia. Kelompok ini tak akan
berhenti merokok selagi rebel instinct
mereka masih kuat, biarpun mereka sedar bahaya merokok. Menasihatkan mereka hanya akan memarakkan
semangat mereka untuk terus merokok. "Sesetengah perokok pula
menghidapi penyakit low self-esteem
tanpa mereka sedari. Menurut
pakar-pakar motivasi, orang yang kurang keyakinan diri tapi tak mahu
kelihatan lemah, selalunya akan cuba melakukan sesuatu untuk menaikkan
egonya. Bagi mereka, satu cara untuk
menaikkan ego ialah merokok. "Bukankah gaya hidup perokok masih
digambarkan penuh glamor melalui iklan dan filem yang berterusan? Itulah sebabnya ada remaja dan wanita yang
merokok semata-mata untuk membuktikan mereka handal atau setaraf dengan
lelaki sasa. "Sesetengah wanita pula merokok
untuk menampilkan imej sexi atau kata orang Jakarta, bahenol. Lazimnya pelacur
atau perempuan yang rendah akhlak, gemar merokok. Mungkin imej ini yang dikaitkan dengan
kesexian atau kebahenolan. Kalau anda tanya pendapat saya, maaf cakap,
saya lebih cenderung mengatakan tiada langsung imej bahenol pada wanita yang merokok.
Imej bahalol adalah! "Ooo..." "Hishhh..." "Kurang ajar..." "Ini dah melampau! Profesor jantan cauvinis! Sexiz! !
!
! Tak hormat hak wanita!" "Hadirin, tolong bawa
bertenang. Usrah ini bukan medan
memaki hamun. Ketua Wanita harap
beristighfar." "Maafkan saya Ketua Wanita dan
hadirin sekelian. Saya tak bermaksud
menghina sesiapa." "You don’t have to apologise Professor, we know you said it in jest,
with no intention to cause offence.
This Ketua Wanita is too much." "Encik Jantan! Cuba kurangkan bahasa asing. Inikan bulan bahasa Melayu. Profesor kita sendiri cakap Melayu walaupun
pernah tinggal bertahun-tahun kat Amerika." "I’m
sorry." "Profesor, saya rasa ada baiknya
Profesor terus bincangkan mimpi Profesor.
Keadaan nampaknya sukar dikawal kalau Profesor asyik sentuh isu rokok
atau sindir kaum wanita." "Sebenarnya, memang usrah
tergempar ini diadakan khusus untuk bincangkan mimpi semalam. Tapi seperti biasa, saya suka minum air
sambil menyelam." "Bahaya tu Profesor, silap hari
bulan boleh lemas." "Kalau macam tu kenalah saya cipta
peribahasa baru, apa pendapat Tuan Pengerusi jika saya kata Sambil bersenam tarik nafas?" "Maksud Profesor Membunuh dua ekor burung dengan sebutir
peluru?" "Yang betul bukan sebutir peluru
tapi seketul batu." "Tapi saya gunakan meriam." "Awak merosakkan alam
sekitar. Nanti pencinta alam
marah." "Ha, ha, ha, biar mereka gusar. Saya cuma pakai peluru getah." "Hoi Pengerusi! Don’t
get carried away. Nanti kami
baling kerusi." "Baiklah Profesor, nampaknya
hadirin dah mula gusar. Kalau kita
asyik berceloteh, banyak pula kerusi yang melayang nanti. Saya lihat, hadirin tak sabar menanti kisah
yang bakal Profesor ceritakan. Silakan
Profesor." "Okay, oleh kerana usrah ini amat
rahsia dan hadirin semua telah bersumpah untuk tidak membocorkan butir-butir
pertemuan ini kepada media atau sebarang pihak atas tanah, saya harap semua
yang akan saya sebutkan nanti menjadi rahsia sesama kita saja. Biar pecah di perut, jangan berkecah di
mulut. "Kisahnya begini: Seperti yang
saya terangkan pada awal perbincangan, semalam saya mimpi jadi Shafique
Slamat, penulis yang sering bertanya soalan susah. Sesetengah orang menganggap kebanyakan
tulisan Shafique remeh dan tak berisi, hingga karya dan idea beliau kerap
dikritik sebagai merosakkan minda dan mencemarkan bahasa. "Menurut sumber risik kami, ada
ketikanya tulisan Shafique mendapat ulasan yang menggalakkan dari kalangan
pengikut sastera, namun mungkin nasib tidak menyebelahinya kerana yang lebih
banyak tersiar di akhbar ialah cemuhan terhadap karya beliau. "Kadangkala idea Shafique terlalu
keras hingga pengkritik tak berani buat ulasan kerana takut dikritik balik
oleh penulis yang agak prolifik dan ambitious
ini." "Ooo" "Baiklah hadirin, seperti yang
dijelaskan tadi, yang menggerakkan saya mengadakan usrah tergempar ini ialah
isi tulisan Shafique dan ideanya yang amat membingungkan saya sejak terjaga
dari mimpi semalam. "Kenapa saya bermimpi menjadi
Shafique? "Apa yang sangat menakjubkan ialah
dalam mimpi itu saya rasa amat bertenaga seperti dua puluh tahun lebih
muda. Umur saya baru 28 tahun mengikut
IC yang saya miliki dalam mimpi. Saya
yakin saya bermimpi menjadi Shafique Slamat dan bukan orang lain kerana nama penulis itu tercatat dalam IC. "Sebagai Shafique, jiwa saya
sering bergolak dan saya sentiasa berasa marah melihat sikap segelintir orang
Melayu yang suka membunuh sesuatu idea sebelum idea itu difikirkan
masak-masak dan dikembangkan. Saya
rasa orang Melayu masih mempunyai sifat iri dan dengki yang mendalam. Dengan kata lain, tidak suka melihat orang
lain berjaya. "Sesetengah orang Melayu abad
ke-20 masih mengamalkan mindset penasihat
raja dalam Sejarah Melayu, yang
menghasut raja membunuh pemikir tunas dan
menghumbankannya ke dalam laut. Itulah
sebabnya bila ada orang biasa beri
idea, ada saja yang menentang tanpa usul periksa. "Tapi, jika sesuatu idea datang
dari pihak atasan, tak pula ada orang berani membantah. Malah ramai yang berlumba-lumba
menyokongnya walau kadang kala idea itu tak logik. Inilah fikrah pengecut golongan pengkritik
yang hanya tahu mengampu! "Sebagai Shafique, saya amat benci
kepada penindasan dan kebohongan.
Lantaran itu, saya sentiasa berjuang menegakkan keadilan. Setiap saat saya didorong oleh semangat
ingin mencari kebenaran biarpun saya tahu kebenaran mutlak tidak pernah
wujud. Seperti kata bekas penyanyi kumpulan
Triumph, Rik Emmett, 'nothing is
absolute - truth is what you choose to believe.' (The Rik Emmett Network, Rik
Emmett - News, p3) "Saya juga tahu bahawa apa yang
kita yakini hari ini, esok lusa kita boleh tinggalkan mengikut peredaran
masa. Tidak hairanlah Dr Mahathir,
penulis buku Malay Dilemma kini
mengakui ada pendapatnya yang silap dalam buku itu dan dia tidak lagi yakini
apa yang pernah ditulisnya. "Sebagai Shafique, walau usia
masih mentah, saya berasa cukup matang dan tahu membezakan yang benar dari
yang batil. Saya tahu kebenaran selalu pula
diselindung dan diputarbelitkan oleh orang yang berkuasa tapi lupa kekuasaan
Tuhan. Kelompok yang saya maksudkan
ialah mereka yang suka berequivokat,
iaitu sengaja bersikap ambiguous
dengan niat untuk mengelirukan. "Namun, itu tidak pula mematahkan
semangat saya untuk terus berjuang demi kebaikan. Sekalipun terkandas dan ditindas,
sekurang-kurangnya, saya telah berusaha.
Biarlah Tuhan yang mengadili kinerja
atau performance saya. "Sebentar lagi saya akan bacakan
surat yang saya tulis dalam mimpi sebagai jawapan kepada surat seorang
penulis yang tak setuju dengan cadangan Shafique tentang pembinaan parkir di masjid. Hadirin, inilah yang amat menghairankan,
entah apa kuasa yang melekat dalam minda saya — hingga dapat mengingat segala
baris dan butir dalam mimpi itu — saya tak dapat pula pastikan. Begini isi suratnya: Saya
merujuk kepada surat Encik X bertajuk Tambah Parkir Satu Pembaziran: MAIS Tak Perlu
Proaktif (Berita Nasional, Mei 31, 1997).
Encik X tak perlu bimbang, tanpa surat bantahan Encik X pun, MAIS tak
akan membina parkir yang saya cadangkan.
Bagaimana MAIS nak bina — dana masjid sentiasa tak cukup! Lagipun, MAIS tak pandang langsung kepada
pandangan itu sebab saya orang biasa lagi tak berharta. Kalau saya jutawan macam Sultan Haji
Hassanal Bolkiah dan beri cadangan itu, mungkin MAIS akan tabik dan segera
dapatkan dana dari saya untuk jadikan idea itu satu kenyataan. Sebenarnya, dalam kes ini, kelemahan MAIS
dan seluruh masyarakat Melayu jelas terpampang. Pertama, MAIS seharusnya buat kajian
mendalam dan menyeluruh tentang demand
and supply bagi parkir, sebelum memberi jawapan yang seolah melepaskan batuk di eskalator. Tapi MAIS tak lakukan. Agaknya, MAIS tak ada kepakaran dalam soal
buat kajian. Kedua, badan-badan Melayu/Islam seperti
Angkatan Muslim Berjaya (AMB), Gerakan Saudara Baru dan Pertubuhan Pemimpin
dan Pemikir Muslim (3PM) punya ramai pakar dan bijak pandai. Tapi tak ada yang tunjukkan minat dalam isu
ini. Sebab apa? Not
our problem. Ketiga, krew rancangan Tinjau-tinjau di
media elektronik boleh mengunjungi masjid pada waktu-waktu sesak dan
bentangkan masalah ini melalui TV.
Tapi mereka tak kuasa dan buat tak tahu. Sebab apa?
Sebab orang TV agaknya tak baca akhbar gara-gara persaingan. Keempat, LPM lebih suka tanam pokok dan
rumput keliling masjid demi mencantikkan masjid dan memanfaatkan ruang yang
terhad. Walhal tanah tersebut lebih
elok dimanfaatkan dengan membina tempat letak kereta atau sekurang-kurangnya
tempat letak motosikal dan basikal.
Sebenarnya parkir boleh mendatangkan wang setiap saat jika dibuka
kepada awam iaitu termasuk kepada pengguna-pengguna bukan Islam. LPM mungkin terlupa bisnes parkir halal
dari segi syarak. Jika LPM tak ada
kepakaran mengurus parkir, mengapa tidak belajar dari LPG atau Lembaga
Pentadbir Gereja? Jika kos masih
dikatakan penghalang, mengapa LPG di mana-mana saja mampu menyediakan parkir
yang mencukupi? Sudahkah LPM meninjau
kemudahan parkir di gereja-gereja dan mengkaji bagaimana LPG mendapat dana
yang mencukupi untuk penyenggaraannya?
LPM tidak harus malu belajar dari LPG dalam menguruskan parkir. Kepada Encik X, diharap Encik berpuas
hati dengan jawapan saya. Jika masalah
tanah terhad yang Encik risaukan, suka saya nyatakan bahawa kekurangan itu
hanya ilusi. Kalau betul tanah terhad,
mengapa dibiarkan disko-disko, pawagam-pawagam, kelab malam, kolam renang,
deretan syurga dunia di Geylang, Petain Rd, Desker Rd dan lain-lain ceruk,
tumbuh subur macam cendawan lepas hujan? Jika tanah amat terhad, sepatutnya kita
kurangkan padang golf, padang bola dan taman-taman bunga yang tiap masa
dikunjungi pasangan remaja dan orang dewasa untuk riadah melulu. Bangunan-bangunan sekular lebih banyak
mengambil ruang dan menyuburkan maksiat.
Sebaliknya, kemudahan yang sempurna untuk bangunan spiritual dianggap
bukan satu keutamaan? Fikirkan. Kepada pertanyaan Encik X yang 'begitu
hairan sekali' kenapa saya 'begitu ghairah menggesa MAIS agar menyediakan
lebih banyak parkir di masjid', jawapannya kerana saya hyper-prihatin. Usahlah
disangsikan motif orang yang memberi sesuatu idea yang bermanfaat. Walhal baik-buruk idea itu tidak pula kita
bincangkan secara mendalam. Sayang, majoriti orang kita masih
miskin. Jika tidak, masjid-masjid di
negara ini pasti mempunyai parkir mencukupi, seperti yang terdapat di besmen
Masjid Madinah yang mampu menampung 4500 buah kereta. (Suara Karya, 6 Jun 1997, ms 7) Ironinya,
orang kita mewah bila menganjurkan acara-acara budaya. Misalnya, majlis khatan besar-besaran,
konsert raksasa dan pelbagai persembahan seni. Bayangkan berpuluh ribu dolar dihabiskan
untuk persembahan-persembahan budaya.
Penagih filem pula tidak teragak-agak membelanjakan wang yang banyak
untuk menonton keruntuhan akhlak di media elektronik. Bukankah ini yang sepatutnya dianggap
pembaziran? Mahukah
contoh lebih jelas? Lihat saja kawasan
sekitaran menjelang Syawal. Lampu
lap-lip bergemerlapan di sana sini.
Hanya meningkatkan bil elektrik dan membazir wang. Wajarkah pembaziran ini? Mengapakah membina parkir pula dianggap
satu pembaziran sedangkan bayaran parkir boleh mendatangkan wang setiap saat,
hari, minggu, bulan dan tahun? Janganlah sempitkan fikiran dan menyangka
parkir hanya boleh dibuka pada waktu-waktu solat dan hanya kepada orang
Islam. Tinjaulah parkir-parkir yang
diuruskan LPG di pusat bandar, malah di estet-estet perumahan. Terimalah cadangan saya dengan hati
terbuka, bukan sikap prasangka. Saya
menulis bukan mencari nama kerana saya sudah ada nama — seperti yang tercatat
dalam IC saya. Sebelum mengundur diri,
saya minta maaf jika ada kata-kata saya yang menyinggung sesiapa. Saya amat hargai sambutan balas
pembaca. Salam ukhuwah. “Begitulah lebih kurang isi surat
Shafique yang saya mimpi saya tulis.
Aduh! dada saya sebak. Seperti ada jarum mencucuk-cucuk...aduh
bisanyaaa. "Profesor?!" "Tuan Pe..nge..rusi... tolong pa..pah saya ke
tepi, sa..ya su..kar
bernaf..." "Jantan! Tolong saya angkat tubuh Profesor, beliau
kena heart attack!" "Somebody call the doctor quick! Professor Mavrik is dying!" "Tapi sumpah
kita?" ˜ TAMAT ™ |
|
˜ USRAH ™ 1997 Berita Minggu, 7 Dis 1997 (ms 6) |