Seterusnya, Sha ucapkan terima kasih atas kesudian Noora membaca surat
ini dan kerelaan Noora menganggotai Malay/Muslim
Anti-Drama Society (MADRAS). Atas
nasihat Profesor Mavrik, Sha ingin melantik Noora sebagai ketua MADRAS
cawangan Dungun, Terengganu. Terpulanglah
kepada Noora untuk mencari dan melatih para pendakwah kita. Buku panduan kita ialah Al Quran dan Sunnah
Nabi. Misi kita tetap satu: Menjauhkan masyarakat Islam dari bahaya
budaya drama (yang kerap merosakkan akhlak gadis, janda, isteri orang,
pokoknya wanita dan juga lelaki yang mudah diperdaya dan diexploit semata-mata
kerana wang). Sha
terbaca di akhbar baru-baru ini PM Dr Mahathir Mohamad berasa tersentak
melihat jumlah masalah sosial yang meningkat, terutamanya di kalangan orang
Melayu. Agaknya, inilah yang dinamakan
dah terantuk baru tersedar. Yang
sering kita anggap sampah atau kudis masyarakat ialah penagih dadah, pelajar
yang tercicir, bohsia, mat rock dan baru-baru ini mat punk. Yang sering kita sanjung bagai dewa hingga
mereka disyorkan tidak perlu bayar income
tax ialah para artis yang gaya hidupnya amat liberal, iaitu pelakon dan
penyanyi. Alahai, macam mana nak
bendung penyakit sosial. Kadang-kadang
orang bijak pandai cuma setakat bijak keldai. Cuba
Noora buat kajian. Kadar maksiat dan
penceraian di kalangan artis adalah antara
yang tertinggi, walau mungkin bukan tertinggi. Buktinya, banyak sungguh artis yang
ditangkap khalwat hingga mengakibatkan perceraian meningkat. Ada yang berkali-kali disensasikan, tak
serik-serik juga. Masih terus diberi
peluang muncul di media. Tambah
bangga, malu tiada.
Cuba kita tinjau latar belakang golongan artis. Mengapa banyak sungguh yang bercerai,
sedangkan mereka sepatutnya menjadi contoh baik untuk masyarakat? Jawapannya mudah. Terlalu banyak godaan hidup sebagai
artis. Terlalu banyak peluang untuk
bermaksiat. Akibatnya, banyak skandal
di sana-sini. Lakonan
artis adalah cermin masyarakat. Jika
artis melakukan maksiat dalam lakonan, misalnya wanita penggoda, itu satu
gambaran bahawa seseorang artis mudah menurut kemahuan penerbit dan pengarah teater
atau filem tanpa memikirkan soal malu dan maruah, apalagi agama. Implikasinya,
masyarakat (artis dan bukan artis) tidak malu membuat maksiat kerana sudah
menjadi tren atau kebiasaan. Silapnya,
sesetengah ulama dan umarak gagal melihat drama dan filem sebagai salah satu
punca utama maksiat. Apa fungsi ketua
agama? Kenapa tidak tegaskan kepada
masyarakat bahawa drama, teater dan filem yang banyak menjerumuskan anggota
masyarakat kepada dosa, mesti dibasmi? Noora
tahu tak, pada zaman kegemilangan Islam (zaman Rasulullah s.a.w. hingga ke
zaman kerajaan Abbasiyah) belum lahir penulis drama bernama Shakespeare yang
begitu berpengaruh. Juga belum wujud
Hollywood dan Bollywood. Begitupun,
drama telah wujud sejak tamadun Yunani kuno berada di kemuncaknya. Sesiapa
saja yang mengkaji sejarah Islam pasti sedar bahawa keagungan dan
kegemilangan Islam terletak di tangan ulama yang juga ahli falsafah, saintis,
doktor dan golongan bijak pandai dalam erti kata sebenar. Ketika
zaman keemasan Islam, tiada drama dalam dunia Islam dan agama kita terus
gemilang. Sayang, kegemilangan itu
dihancurkan oleh bangsa barbarik Monggol pada tahun 1258M. Berakhirlah keagungan yang sekian lama dibina
dengan payah. Puncanya pelbagai. Noora fikirkanlah sendiri. Untuk
pengetahuan Noora lagi, pada abad ke 16 dan 17 Masihi, zaman Shakespeare dan
John Milton, masyarakat Inggeris amat konservatif berbanding zaman ini. Misalnya, pergaulan antara wanita dan
lelaki tidaklah sebebas zaman ini.
Dalam konteks ini, tanggapan masyarakat Inggeris silam terhadap drama
amat menarik untuk dikaji. Rata-rata
masyarakat zaman itu menganggap drama sebagai hiburan yang kurang berfaedah,
sekurang-kurangnya dari sudut pandangan paderi Kristian. Malah, melibatkan diri dalam drama dianggap
sebagai sinful. Pegangan agama kaum Kristian ketika itu
boleh dikatakan amat kuat jika dibandingkan zaman sekarang. Yang
menariknya, mereka cuba terapkan ajaran paderi mereka ke dalam setiap aspek
seni dan budaya. Natijahnya, drama
hanya dilakonkan oleh pelakon lelaki.
Watak-watak wanita dalam drama hanya dilakonkan oleh kanak-kanak
lelaki yang didandan hingga menyerupai wanita. Pada
zaman itu juga, muncul golongan Puritan atau pemurni agama Kristian yang amat
berpengaruh. Mereka terdiri dari
golongan saudagar kaya yang taat menjalankan ajaran agama Kristian. Golongan saudagar Kristian ini banyak
melibatkan diri dalam kegiatan dakwah.
Mereka itu lebih kurang macam saudagar Muslim Gujerat yang
beristiqamah menjalankan kegiatan dakwah di Nusantara. Ya
Noora, sepanjang pemerintahan Ratu Elizabeth I (dari tahun 1558 hingga
1603M), golongan Puritan telah cuba sedaya upaya menutup panggung-panggung
drama. Ini kerana penulis drama kerap
menyajikan kisah-kisah memualkan seperti The
Revenger’s Tragedy yang dipercayai dikarang oleh penulis Cyril
Tourneur. Dalam drama oleh Tourneur
yang diterbitkan pada tahun 1608M itu, terdapat banyak babak tidak senonoh
seperti perselingkuhan, adegan mencium tengkorak, pembunuhan, keganasan dan
sebagainya.
The Revenger’s Tragedy hanya
satu daripada beratus-ratus drama yang membuat golongan Puritan gusar
(marah). Satu lagi drama yang buat
mereka gusar ialah The Atheist’s
Tragedy yang mempersendakan kepercayaan kepada Tuhan atau agama. Bahasa
yang digunakan dalam skrip-skrip drama juga kerap menyinggung golongan
Puritan kerana berbau lucah atau mengandungi ucapan memuja syaitan. Menurut
novelis kontemporari Anthony Burgess, juga guru bahasa dan sastera Inggeris yang
pernah mengajar di Malaya dalam tahun 1950an, golongan Puritan "inginkan agama Kristian yang begitu murni
sehingga tidak memberi ruang kepada tolak ansur dan keseronokan, bahkan tidak
membenarkan orang memberi dan menerima sedekah; satu agama tegas yang tidak
suka melihat pembaziran masa melulu dan menghukum pembuat maksiat dengan cara
yang paling keras." (English
Literature, Burgess, ms103) Untuk
pengetahuan Noora, golongan Puritan adalah pengikut fahaman John Calvin dari
Geneva yang mengajar bahawa akhlak dan tingkah laku individu dalam masyarakat
hanya boleh dibentuk melalui persekitaran yang baik. Dengan kata lain,
masyarakat mesti dibentuk menjadi baik melalui satu sistem di mana golongan
alim dan warak sahaja yang layak memerintah.
Di bawah sistem Calvinisme, Gereja dan Kerajaan harus menjadi
satu. Lantas,
timbul konflik berpanjangan antara golongan Puritan yang mewakili Parlimen
Inggeris dan Kerajaan. Ia melibatkan
isu agama, moral masyarakat yang kucar-kacir dan kuasa raja yang berlebihan. Kerajaan mula rasa tercabar apabila
golongan Puritan menyebarluaskan pengaruh mereka. Raja Charles I (yang memerintah dari tahun
1625 hingga dibunuh pada 1649M) mendapat tentangan hebat dari golongan
Puritan buat beberapa lama. Pada
1642 tercetus Perang Saudara antara pihak Raja dan Parlimen, yang akhirnya
membawa kemenangan kepada pihak Puritan.
Setelah kematian Charles I, Oliver Cromwell, Ahli Parlimen yang
mengetuai golongan Puritan mula mengambil alih tampuk pemerintahan. 1642M.
Itulah tahun keramat. Golongan Puritan
akhirnya berjaya mencapai matlamat mereka.
Bermula tahun 1642, semua panggung teater di tanah Inggeris ditutup.
Selama hampir 20 tahun selanjutnya tiada drama untuk tatapan masyarakat. Jika ada pun, dilakukan secara
sembunyi-sembunyi atau underground,
jauh dari pengawasan Polis Cromwell.
Kesannya, kegiatan maksiat berkurangan secara drastik di bumi
Inggeris. Golongan
Puritanlah yang telah memulakan tradisi mengunjungi gereja setiap pagi Ahad
manakala kedai-kedai semua ditutup pada hari itu. Puritanlah yang membentuk dan membaikpulih
moral masyarakat Inggeris yang telah rosak teruk. Ya
Noora, di bawah pemerintahan Cromwell yang tegas, bermulalah era baru dalam
sejarah kesusasteraan Inggeris. Naskah
drama picisan digantikan dengan karya prosa dan puisi bermutu tinggi. Tiada bahan lucah dibenarkan terbit,
pembuat maksiat didenda dengan sekeras-keras hukuman. Ketika itu muncul beratus pengarang moralis
di samping segelintir pengkritik yang anti-Puritan. Antara pengarang agung yang memperjuangkan
ideologi Puritan ialah John Milton (1608-1674M) yang terkenal dengan syair
keagamaannya Paradise Lost. Beliau
ialah seorang penulis/penyair yang benar-benar hebat hinggakan dalam sejarah
kesusasteraan Inggeris, abad ke 17 dinamakan sebagai zaman Milton. Prosa dan puisinya amat bermutu hingga
penulis anti-Puritan sendiri berasa kerdil dan kagum dengan
kehebatannya. Ringkasnya, Milton yang
mendapat didikan di Universiti Cambridge, dapat mematahkan semua kritik yang
dilontarkan terhadap golongan Puritan dengan mudah. Namun,
menurut pengkaji, Milton juga ada menulis sebuah drama, Samson Agonistes yang mengisahkan tentang riwayat hidupnya secara
samaran. Tetapi, perlu dijelaskan
bahawa Milton tidak pernah menulisnya dengan niat untuk mementaskan. Beliau cuma ingin membuktikan bahawa beliau
juga mampu menulis skrip drama dan bukan setakat pandai mengkritik. Lagipun, itu dilakukannya ketika Raja
Charles II yang korup berada di takhta.
Apapun, pada zaman Milton, pentas sunyi sepi. Sekalipun drama mula dipentaskan kembali
pada tahun 1660an, yakni setelah kematian Cromwell, golongan anti-maksiat dan
Puritan tetap menganggapnya satu penyakit.
Pada
tahun 1698M, seorang paderi bernama Jeremy Collier dengan lantang menyerang
teater Inggeris yang dianggapnya 'tidak bermaruah dan mempersendakan
agama'. Pandangan Collier terakam
dalam bidasannya bertajuk A Short View
of the Immorality and Profaneness of the English Stage. Ini jelas menandakan drama semakin lama
semakin korup. Pendek
kata, golongan yang anti-maksiat amat bimbang dengan pengaruh drama. Perlu dinyatakan sekali lagi bahawa pelakon
wanita tidak pernah ada pada zaman itu melainkan kanak-kanak lelaki
berpakaian wanita! Noora,
begitulah sedikit sebanyak yang Sha tahu tentang sejarah jatuh bangun drama
Inggeris. Sha bukan mahu mengagungkan
golongan Puritan atau mendakwahkan agama Kristian. Sha cuma ingin menekankan bahawa kaum
Kristian pun sedar akan bahaya budaya drama.
Bagaimana pula orang Islam?
Setahu Sha, Rasulullah s.a.w. melarang lelaki Islam berpakaian
menyerupai wanita dan sebaliknya.
Bagaimana pula hukumnya berlakon sebagai pondan atau tomboy? Ini belum kira berlakon mendedahkan aurat! Sha
sedih melihat orang Islam mengambil ringan hal-hal 'remeh' ini. Kemudian, apabila banyak berlaku perceraian
dan kes anak terbiar tanpa bimbingan, mulalah masyarakat tercari-cari punca
masalahnya. Apabila kita kritik, orang
tak mahu dengar sebab kita bukan ulama.
Hari
ini, Sha rasa golongan umarak dan juga ulama lebih banyak bijak keldainya
daripada bijak pandai. Maaf, jika ada
saudara-mara Noora yang bergelar ulama, Sha ni celupar sikit. Kata kawan Sha, A R Basrun, 'orang Melayu
kena kurang ajar sikit kalau ingin mengajar orang
yang tak suka diajar'. Jadi, Sha harap
Noora baca surat ini menggunakan akal dan lapangkan fikiran. Jangan gunakan hati supaya tidak
tersinggung. Eh,
teringat pulak kata-kata penyair Usman Awang dalam sajaknya Melayu
Johor. Katanya, orang Melayu Kurang ajarnya tetap santun Dajalnya
cukup selamba Budi
bahasa jangan dikira Beraninya
cukup benar Tunduk
bila bersalah Lembutnya
cukup jantan…
Dalam surat ini Sha ingin mengamalkan semangat berterusterang kerana
Sha tak ingin bersubahat dengan golongan yang menggalakkan maksiat. Sha ingin kembali menemui Pencipta dengan
rasa lega, bukan bersalut dosa. Noora,
sepatutnya pemimpin masyarakat telah lama buka mata. Pada hemat Sha, kalau nak kurangkan
maksiat, jangan galakkan seni hiburan yang tak senonoh. Adakah
patut pelakon, penyanyi, lelaki dan perempuan yang terdedah sana, terselak
sini ditonton ramai-ramai dan dipuja-puji?
Padahal kewajipan menutup aurat bukan suruhan yang boleh dibuat
main-main. Dalam
lakonan pakai tudung dan telekung. Di
luar lakonan, semua tu campak tepi hingga nampak punggung. Yang menyedihkan, ada yang di luar pakai
tudung, tapi lakonan punya pasal pakai bikini pun sanggup. Dan
yang paling ironis, ada yang bergelar Hajah dan Haji tapi masih sibuk bikin
filem ala Hollywood. Semua ini kerana
terpedaya budaya hedonis. Seronok
kejar glamor biarpun baunya hamis. Wahai
Noora yang budiman, hari baik bulan baik ni bukan tujuan Sha mengumpat dan
mengeji. Sekadar melahirkan rasa
keprihatinan tentang penyakit sosial yang menjadi-jadi. Noora
sebagai seorang pendidik wajib beritahu anak-anak didik generasi baru supaya
tidak keliru dengan cakap-cakap bijak keldai.
Noora tentu tertanya-tanya apa itu bijak keldai, kan? Bijak
keldai ialah golongan pemimpin yang gagal melihat drama dan teater sebagai
satu punca maksiat. Bijak keldai
termasuklah mereka yang berbondong-bondong menonton teater dan menggalakkan
masyarakat mengembangkan budaya drama.
Pendek kata, mereka gagal melihat bahaya drama. Yang nyata, pelakon drama dan teater
berkemungkinan besar berlakon filem.
Dalam filem anything goes. Tak percaya, tanya mana-mana pelakon. Mana
suara pemimpin agama dalam hal ini?
Mengapa tidak berani bersatu hati dan mengatakan yang hitam tetap
hitam dan putih itu putih? Mengapa
tidak seberani Puritan? Balik-balik
dalam syarahan dan khutbah ditekankan supaya kita kuatkan iman dan takut
kepada Allah. Kenapa tak katakan terus
terang bahawa drama, teater, filem dan berdansa macam kera dalam disko itu
haram dan membazirkan wang?
Kenapa? Sebab takut digam? Sha lebih takut kepada Allah. Kalau
semua ulama bersatu hati dan menyokong Prof Mavrik dan lain-lain yang kena
gam, pasti bijak keldai kelam kabut.
Noora tolonglah sampaikan mesej ini demi kebaikan generasi sekarang
dan akan datang. Sha di sini tak dapat
berbuat banyak kecuali menyebarkannya di kalangan rakan-rakan. Media
di sana sini amat selektif dalam menerbitkan rencana. Ini satu hakikat. Nasib baik ada alternatif dan kita dapat
berutus surat. Kalau tidak, tak tahu
apa nak buat. Sha ini ibarat timun sedangkan
bijak keldai ibarat stimrol! Yang
menyedihkan, golongan konservatif Islam sering diberi macam-macam gelaran
negatif seperti fanatik, extrimis dan militan. Sebenarnya semua label tu propaganda
ciptaan anti-Islam. Perkataan yang
tepat untuk golongan Muslim konservatif ialah Committed Muslims, yang tidak berkompromi dalam soal halal haram. Sha
tidak menganggap diri Sha cauvinis Islam atau Melayu. Sha cuma menyuarakan apa yang Sha rasa
perlu. Kita hidup tidak lama. Inilah sumbangan Sha untuk masyarakat. Terimalah jika kata-kata Sha benar. Tegurlah jika Sha keliru. Noora
yang budiman, seorang pegawai Inggeris, Sir Gerald Templer, pernah berkata, 'A nation which does not look back with
pride upon its past, can never look forward with confidence towards its
future.' (A Short History of Malaya,
G.P. Dartford, ms192). Dengan
kata lain, kita boleh timba kekuatan dan keyakinan
diri yang kukuh dari kejayaan masa silam.
Marilah bersama kita bina dunia yang lebih sempurna buat generasi
sekarang dan akan datang. Kita boleh
melakukannya sekalipun tanpa drama.
Ini telah terbukti dalam sejarah kegemilangan Islam! Eh,
tulis punya tulis tak sedar dah berjela surat Sha kali ini. Maaf sebab mencuri masa emas Noora. Sampai bertemu lagi. Wassalam. Sharel Ketua
MADRAS Cawangan Tampines 4 Februari 1997 ˜ TAMAT ™ |
|
˜ WARKAH ™ 1997 Berita Minggu, 30 Mac 1997 (ms 10) |